Friday, May 10, 2013
Ya Rabb.. Kurniakanku Afiat
Assalam alaik..
Bismillah..
Alhamdulillah.. masih diberi nafas segar pagi ini.. tatkala memandu keluar rumah pula terpampang pelangi yang sangat indah dan jelas di langit bertabirkan awan berarak.. Sebelumnya, semasa bangun awal pagi bertahajjud kepadaNya juga kedengaran hujan renyai membasahi.. Subhanallah..Sungguh dekat Maha Pencipta dengan hambaNya..
Teringat akan suatu penulisan yang saya jumpa di blog.. berkisar permohonan atau doa seorang hamba kepada Ya Rabb. Diriwayatkan dari Abbas bin Abdul Muthalib ra, ia berkata, “Aku memohon kepada Rasulullah saw, “Ajarilah kepadaku sesuatu yang digunakan untuk berdoa kepada Allah.” Maka, baginda Rasulullah saw menjawab, “Wahai Abbas, paman Rasulullah saw, mintalah kepada Allah afiah (keafiatan) di dunia dan akhirat.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Dalam hadis lain yang diriwayatkan Ibnu Umar ra, baginda Rasulullah saw bersabda maksudnya, “Tiadalah suatu yang diminta seorang hamba dari Allah yang lebih dicintai daripada meminta afiah.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).
Afiat atau sihat diri adalah penting untuk kita sendiri. Dari Ibn Abbas, Rasulullah saw bersabda maksudnya, "Manfaatkan 5 perkara sebelum 5 perkara..." dan sihat atau afiat adalah salah satu daripadanya. Kesihatan dan afiat adalah kurniaan Allah swt kepada hambaNya agar sentiasa menunaikan perintahNya, menerima qadha dan qadarNya dengan redha dan berserah diri. Kurniaan kesihatan Allah swt kepada hambaNya bukan sahaja dari segi fizikal dan mental tetapi merangkumi jasmani, rohani, rezeki halal, taufik dan hidayah Allah. Jadi kita memohon afiat daripada Allah swt agar kita dapat melakukan lebih banyak perkara kebaikan dan kebajikan yang dihajati. Betul tak?
Doa ini juga merupakan sebahagian daripada bekalan untuk menolak bahaya bencana dan mendekatkan diri kepada semua urusan kebajikan. Ibnu al-Jauzi mengatakan orang yang berbahagia adalah orang yang merendah diri di hadapan TuhanNya dan selalu mendoakan keafiatannya kerana kurniaan afiat tidak akan dikecapi tanpa melalui ujianNya.
Justeru orang yang pemikir akan memastikan salah satu doanya adalah memohon keafiatan diri untuk mengatasi atau mengalahkan semua ujian dalam apa jua situasi. Di samping itu, kita perlu bersabar dalam menghadapi ujian walau pun ujian kecil. Insyaa Allah kita akan memperoleh keredhaanNya jika berjaya menangani ujianNya.
Tahap kesabaran yang sebenarnya akan lahir jika kita menerima semua takdir Ilahi berlapang dada. Kerana, ketentuanNya jarang sekali senada seirama dengan keinginan kita yang mungkin berbaur godaan nafsu atau hasutan syaitan yang cuba menyesatkan. Jadilah orang cerdas yang mampu menguasai nafsunya dan mengalahkan bisikan syaitan kerana setiap kesabaran dijanjikan ganjaran besar.
Kita memohon kepada Allah swt diberi kesihatan atau afiat ketika kehidupan di dunia dan selepasnya (akhirat) kerana kesolehan seorang hamba tidak akan sempurna kecuali dengan ampunanNya dan tahap keimanan kita. Keimanan ini yang boleh membantu kita dijauhkan dari mendapat seksa akhirat manakala dengan memohon keafiatan menjauhkan atau menolak diri kita dari penyakit dunia sama ada dapat dilihat oleh mata kasar atau pun penyakit hati(rohani/batin) atau pun di dalam badan.
Sebenarnya keafiatan di dunia merupakan anugerah nikmat Allah swt yang sangat besar, orang yang afiat wajib menjaga dan melindungi dirinya dari hal-hal yang boleh merosakkan.
Al-Mubarokfuri mengulas, “Perintah Rasulullah saw kepada Abbas agar memohon keafiatan merupakan dalil tegas bahawa memohon keafiatan adalah doa yang tiada tandingannya dibandingkan doa lain.
Insaflah diriku, keafiatan yang dimiliki suatu hari nanti akan kembali semula ke PemilikNya.. sehingga tika itu tiba gunakanlah setiap detik waktu yang ada dalam melakukan perkara kebaikan dan memperbanyakkan amal ibadah kepadaNya.. in syaa Allah.
Penghargaan Prof Dr KH Achmad Satori
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment