Dalam kamus dendam diertikan sebagai perasaan cinta dan kasih yg amat sangat terhadap seseorang dan yang kedua, hati perasaan (keinginan) hendak membalas perbuatan seseorang (biasanya perbuatan jahat). Ada 2 perspektif yang indah dan yang tak baik. Kedua2nya berkaitan perasaan. Jika di sudut negatif dendam ialah apabila perasaan seorang itu merasa sangat berat terhadap seorang lain seperti membenci, menjauhkan diri dari orang tersebut dan perasaan itu kekal bersemadi di dalam hati sehingga timbul rasa keinginan untuk membalas balik. Dendam berpunca dari sifat marah yang tidak dikekang atau diredakan dengan segera.
Bahaya jika kita menyimpan perasaan dendam bersifat negatif ini kerana ia boleh mencetuskan perkara mungkar antaranya:
1. Mewujudkan perasaan hasad atau dengki dalam diri maka jadilah dia seorang pendengki. Orang yang didengkinya ini ibarat musuh atau lawannya. Pendengki merasa tidak suka bila melihat orang yang didendam itu hidup senang atau bahagia lalu ia mengharapkan terhapusnya nikmat tersebut. Sebaliknya sangat gembira dan berpuashati apabila lawan/musuhnya itu ditimpa kesusahan kecelakaan atau bencana. Ini adalah contoh sifat seorang munafik.
2. Pendengki akan menjauhkan diri dan memutuskan hubungan dengan musuh/lawannya.
3. Pendengki akan menggunakan perkataan yang tidak patut diucapkan terhadap musuh/lawannya seperti berbohong, mengumpat, mendedahkan rahsia lawannya, mengejek, mencaci, menjatuhkan kehormatan dan sebagainya.
4. Pendengki akan menganiaya musuh/lawannya sama ada secara fizikal ataupun tersembunyi.
5. Pendengki akan menahan hak milik musuh/lawannya seperti menahan hutang yang patut dibayar dan enggan mengembalikan amanah yang diserahkan kepadanya. Perbuatan seperti ini tidak sepatutnya dilakukan kerana ia menyamai sifat dan perbuatan iblis terkutuk.
Sekiranya orang yang berdendam itu dapat menguasai dirinya dari perbuatan buruk yang disebutkan di atas, tetapi masih memiliki perangai yang tidak baik seperti sengaja tidak mahu bermuka manis terhadap orang yang didendamnya itu, tiada belas kasihan terhadapnya, tidak bertanggungjawab dalam menunaikan segala keperluannya, tidak bersedia membantu pada perkara yang memberi kebaikan kepada orang itu, maka itu menandakan sifat dendam masih ada. Semua perkara yang disebutkan itu akan menjatuhkan darjat seseorang dan akan melenyapkan banyak pahala yang dikumpul hingga akhirnya ia menjadi rakan iblis.
Pernah berlaku, apabila Saidina Abu Baka As-Siddiq ra bersumpah tidak akan memberikan bantuan (harta) kepada ahli kerabatnya, Misthah kerana suatu penganiayaan yang dilakukan maka Allah swt menurunkan ayatNya yang bermaksud,
“Janganlah sampai bersumpah orang yang mempunyai kelebihan dan kekayaan di antara kamu, kerabat, orang miskin dan orang yang berhijrah pada jalan Allah, tetapi hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, tidakkah kamu suka, Allah Maha Pengampun dan Penyayang,”(Surah An-Nur, ayat 22)
Sebaik sahaja firman itu disampaikan kepada Saidina Abu Bakar, maka beliau akur dan redha dengan pengampunan Allah swt itu. Lalu beliau kembali menyambung semula bantuannya terhadap Misthah, meskipun Misthah telah melakukan penganiayaan terhadap beliau.
Iktibar daripada ayat di atas adalah suatu pengajaran kepada kita bahawa dendam(negatif) itu suatu yang tidak disukai Allah swt. Maka kita sebagai hambaNya hendaklah memperteguhkan diri menjauhi perasaan dendam dan hasad. Sebaliknya Allah swt menyarankan agar kita berlapang dada dan memaafkan. Jika kita boleh redha dan terima setiap ujian musibah dan dugaan yang mencetuskan marah dan dendam ini adalah sebahagian perencanaan Allah swt menguji tahap keimanan dan ketaqwaan kita padaNya atau kerana Allah swt hendak mengurniakan ganjaran pahala yang banyak atas kesabaran kita menghadapinya.. saya pasti kita akan berlapang dada.. bukankah kita hidup di dunia untuk mengumpul bekalan akhirat..
Anggaplah ia sebagai ujianNya dan teruskanlah melakukan kebaikan sekalipun mendapat penganiayaan dan selainnya. Bahkan kalau boleh tingkatkan lagi tahap kebaikan dan kebajikan dari kebiasaan sebagai suatu usaha menundukkan hawa nafsu dan mengecewakan hasutan syaitan. Memaafkan bukan senang dan ia mengambil masa, sekurang2nya berusahalah.. tetapi jika ingat janji Allah Yang Maha Pengampun siapalah kita untuk menyimpan dendam dan hasad ini. Yang paling indah bila kita telah melepasi atau berjaya menawan perasaan hasad dan dendam ini, usaha itu menghampirkan kita mencapai kedudukan dan darjat para siddiqin.. in syaa Allah.
Jika kita menjunjung Nabi dan Rasul kita, pasti kita mencontohi sifatnya. Ingatlah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Orang mukmin itu bukanlah seorang yang pendendam.”
Namun Rasulullah saw memberi pengecualian terhadap perasaan hasad ini bersandarkan sabdanya yang bermaksud, “Tiada hasad (dibenarkan berhasad) kecuali dalam dua perkara sahaja, iaitu seorang yang dikurniakan Allah harta yang banyak, lalu ia menaburkan harta itu pada perkara yang haq/benar sehinggalah hartanya habis. Dan seorang lagi dikurniakan Allah ilmu, lalu ia mengamalkan ilmu itu dan mengajarkannya kepada orang ramai.”
Tidak mengapa kita berhasad atau berlumba2 untuk memberi balik harta duniawi kurniaan Allah swt kepada mereka yang memerlukan dan dijalan kebenaran dan tidak salah kita mencemburui orang yang berilmu, beramal dengannya dan menyebarkan ilmu tersebut demi kebaikan bangsa agama dan negara. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud, “Dan dalam (mencari kelebihan) itu, maka hendaklah berlumba-lumba orang yang ingin perlumbaan.”(Surah Al-Muthaffifin ayat 26)
Justeru andai kita diuji dan seteruk mana pun musibah tersebut melanda diri usahalah menjauhkan diri daripada sifat dendam dan hasad.. Dendam dan Hasad ibarat bara, godaan nafsu dan hasutan syaitan adalah pencetus nyalaan api tetapi padamkanlah ia menjadi abu dengan keredhaan ketaqwaan dan kemaafan.. pilihan ditangan anda.. suka kepanasan api bernyala atau kedamaian dan ketenangan jiwa..
No comments:
Post a Comment