Pages

Kelopak mawar

Tuesday, May 14, 2013

Berikanku keKuatan menContohi Didikan Luqman pada anaknya

Assalam alaik..
 
Bismillah..
 
Luqmanul Hakim.. siapakah gerangannya?.. mesti seorang yang sangat istimewa hinggakan Allah swt menurunkan Surah Luqman untuk panduan hambaNya.. Di sekolah dahulu saya suka tengok budak lelaki yang namanya Luqman Hakim.. tampan dan berbudi bahasa.. gtu2 je.. tapi saya namakan juga anak lelaki saya Luqman Hakim.. semoga anakku membesar menjadi mukmin yang waras seperti Luqmanul Hakim seperti dalam surah tersebut..

Tidak banyak yang kita ketahui tentang peribadi beliau namun Ibnu Katsir ada mencatatkan sedikit sebanyak tentang Luqmanul Hakim ini..  Menurut Ibnu Katsir, Luqman yang dimaksud dalam surah ini adalah Luqman bin Anqa’ bin Sadun. Pengabadian kisah Luqman adalah berkenaan nasihat dan petuanya yang sangat layak dijadikan contoh dalam mendidik anak dalam suasana Islamiah.

Adapun pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya yang terkandung dalam surah ini sebenarnya adalah pesanan Allah swt yang disampaikan secara lisan oleh Luqman Al-Hakim yang mana sifatnya adalah mutlak dan mengikat.  Pesanan Luqman dalam bentuk perintah bermaksud ia adalah perintah Allah swt sebaliknya peringatan atau larangan Luqman kepada anaknya adalah sebenarnya larangan Allah swt yang harus kita sebagai hambaNya dihindari.

Bermacamlah pendapat ahli Tafsir mengenai sejarah Luqman. Ada yang mengatakan dia Nabi pada masa antara Isa dan Muhammad s.a.w . Ada yang mengatakan kadi pada masa Bani Israil dan  pendapat lain. Nasihat beliau kepada anaknya difirmankan Allah swt dalam surah Luqman ayat 13-19 yang bermaksud,
 

Rangkaian peringatan dan nasihat Luqman yang terkandung dalam 7 ayat (13-19) di atas secara  dapat dibagi menjadi 3 kategori iaitu berbentuk larangan berjumlah 3 ayat dan melaksanakan perintah yang berjumlah 3 ayat dan mengapit antara keduanya adalah pesan untuk sentiasa muraqabtullah (kewaspadaan atau pengawasan Allah Ta'ala) kerana Allah swt Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh setiap hambaNya tanpa terkecuali meskipun hanya sebesar biji zarrah atau suatu tindakan dilakukan di tempat yang sangat mustahil diketahui oleh siapapun melainkan oleh Allah swt. Tiga larangan yang dimaksud adalah larangan mempersekutukan Allah swt, larangan mentaati perintah kedua orang tua dalam konteks melakukan kemaksiatan, serta larangan bersikap sombong. Nasihat dalam bentuk perintah diawali dengan perintah berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibubapa  diringi dengan mensyukuri Allah swt atas segala anugerah dan limpahan rahmatNya, perintah untuk mendirikan solat, melaksana amar ma’ruf dan nahi munkar serta perintah bersikap sederhana.

Masih banyak lagi pendekatan yang boleh kita amalkan sebagai ibu bapa dalam mendidik dan memenuhi dada anak kita dengan ciri Islam seperti kalamullah lain, hadis dan keperibadian baginda Rasulullah saw itu sendiri. Namun, pesanan Luqman ini bukan sekadar didikan biasa seorang bapa kepada anaknya. Beliau menyampaikan nasihat kepada anaknya dengan sentuhan kasih sayang, mempunyai maksud yang sarat dengan keperluan ciri keperibadian seorang muslim yang mulia dan sangat teliti serta tersusun berdasarkan keutamaan bermula dari perintah meng'Esa'kan Allah swt dan tidak mempersekutukannya sehinggalah pesanan untuk bersikap tawadu’ dan santun yang tercermin pada cara berjalan dan berbicara. Jika kita amati, pesanan, nasihat dan larangan tersebut ternyata tidak keluar dari dua prinsip utama ajaran Islam iaitu akidah dan akhlak.

Nasihat Luqman dalam mendidik anaknya bercirikan akidah di antaranya berbakti dan berbuat ma’ruf kepada kedua orang tua sebagai bukti rasa syukur atas kasih sayang dan pengorbanan mereka. Ini adalah tuntutan akidah yang benar atas setiap hamba kepada TuhanNya. Sentiasa merasa kehadiran dan pengawasan Allah swt dalam setiap langkah dan perbuatan adalah lahir dari keyakinan akan sifat Allah swt Yang Maha Mengetahui, Maha Mendengar dan Maha Mengawasi. Serta menjalankan tanggungjawab atau melaksanakan amanah amar ma’ruf dan nahi munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) dengan  sabar menghadapi segala rintangan dan tentangan merupakan antara bukti kekuatan dan keteguhan iman dalam diri hinggakan Luqman berpesan agar sentiasa bersikap tawadu’ dan tidak sombong dari swgi tingkah laku atau pun tutur bicara. Semuanya ini adalah tuntutan akidah dijalan yang benar.

Walau pun ada ulama yang berpendapat Luqman adalah seorang nabi, kebanyakan jumhur ulama lebih cenderung memilih pendapat yang mengatakan bahawa ia hanya seorang hamba yang soleh dan ahli hikmah. Gelaran Al-Hakim di akhir namanya mencerminkan keperibadiannya yang bijaksana dalam menyampaikan pengucapan dan mempamerkan tingkah laku serta sikap. Allah swt sendiri menganugerahkannya hikmah seperti yang ditegaskan dalam ayat berikut bermaksud,
“Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman iaitu: “Bersyukurlah kepada Allah. dan barang siapa yang bersyukur (kepada Allah), Maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri dan barang siapa yang tidak bersyukur, Maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji“. (Surah Luqman ayat 12)

Yang boleh difahami daripada ayat ini adalah Luqman bukan seorang yang terkenal pada zamannya atau seorang berpengaruh. Menurut cerita kitab ia hanya seorang hamba Habasyah yang berkulit hitam dan tidak mempunyai kedudukan sosial yang tinggi di tempatnya. Namun hikmah yang dikurniakan Allah swt kepadanya menjadikan ucapannya dalam bentuk pesan dan nasihat layak untuk diikuti oleh semua manusia segenap lapisan masyarakat. Hal ini terungkap dalam riwayat Ibnu Jarir bahawa seorang berkulit hitam pernah mengadu kepada Sa’id bin Musayyib. Maka Sa’id menenangkannya dengan mengatakan: “Janganlah engkau bersedih (berkecil hati) kerana warna kulitmu hitam. Sesungguhnya terdapat tiga orang pilihan yang kesemuanya berkulit hitam iaitu Bilal bin Rabah, Mahja’ Maula Umar bin Khattab dan Luqman Al-Hakim”.

Anak zaman sekarang sangat mendambakan nasihat kita yang memberi kekuatan keimanan dan bukan memanjakan mereka. Anak kita hidup dalam era zaman yang berbeza dari zaman kita keduaseperti sabda Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud,
“Pilihlah tempat nuthfahmu (peringkat pertama bermula selepas persenyawaan atau minggu pertama. Ianya bermula setelah berlakunya percampuran air mani) untuk dibuahkan. Kerana sesungguhnya anak-anakmu dilahirkan untuk zaman mereka yang berbeza dengan zamanmu.”

Jom kita lihat apakah kandungan surah Luqman surah ke 31 dalam kitab AlQuran.. secara kasarnya pada fahaman saya..

Bahagian 1 Ayat 1-11 Allah Maha Mengetahui dan Maha Sempurna terhadap hambaNya (Tahap 1)
Ayat 1 Alif Lam Mim (Hanya Allah Maha Mengetahui)
Ayat 2-5 memperjelaskan Ayat alQuran sebagai petunjuk kepada orang yang benar (mendapat petunjuk) dan amalan yang dilakukan mereka
Ayat 6-7 mengenai azab yang dikenakan bagi orang yang tidak melakukan kejahatan dan menolak kalamullah.
Ayat 8-11 menyatakan Balasan syurga dan nikmat dijanjikan bagi orang beriman dan beramal soleh serta memperlihatkan kekuasaan Allah swt

Bahagian II ayat 12-15 Larangan
(seperti tafsiran ayat di atas)

Bahagian III Ayat 16 -17 Penegasan
(seperti tafsiran ayat di atas)

Bahagian IV Ayat 18 dan 19 Peringatan diri sebagai hambaNya
(seperti tafsiran ayat di atas)  

Bahagian V Ayat 20-34 Allah Maha Mengetahui dan Maha Sempurna terhadap hambaNya (Tahap 2)
Ayat 20 dan 21 Peringatan kepada hambaNya yang ingkar dan balasan (azab) yang akan diterima
Ayat 22 mengenai ciri2 orang mempercayai(beriman) Allah swt berbanding mereka yang ingkar
Ayat 23 'memujuk' agar Nabi Muhammad saw tidak bersedih atas orang yang ingkar dan kufur tersebut kerana Allah Maha Mengetahui.
Ayat 24-28 menyatakan bukti Keesaan dan KeberKuasaan Allah swt yang tidak terbatas ditegaskan semula
Ayat 29 -32 menerangkan kejadian dan ketentuan Allah swt adalah untuk kebaikan hambaNya yang bersabar dan bersyukur
Ayat33 - 34 menyatakan keluasan ilmu Allah swt dan sebahagiannya adalah ghaib(hari berlakunya kiamat, kejadian yang ditentukan pada suatu masa akan datang, bilangan hujan atau dedaun di pokok) kerana Allah swt Maha Mengetahui Maha Bijaksana dan Maha Memahami.

Daripada beberapa pendapat dan penulisan pula mengatakan terdapat 50 pesanan atau nasihat dan larangan Luqman kepada anaknya.. Wahai anak2ku tersayang ingatlah pesanan berikut.

1.  “Wahai anak kesayanganku! Allah swt memerhatikan dirimu dalam kepekatan malam, semasa engkau bersolat atau tidur lena di belakang tabir di dalam istana. Dirikan solat dan jangan engkau berasa ragu untuk melakukan perkara makruh dan melempar jauh segala kejahatan dan kekejian.”

2.  “Wahai anakku! Selalulah berharap kepada Allah swt tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah swt. Takutlah kepada  Allah swt dengan sebenar-benar takut (taqwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah swt.”

3.  “Wahai anak! janganlah engkau mempersekutukan Allah swt (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

4.  “Wahai anakku, Bersyukurlah kepada Tuhanmu kerana kurniaanNya. Orang yang mulia tidak mengingkari Penciptanya kecuali orang yang kufur.”

5. “Wahai anakku! Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah seperti orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.”
 
6.  “Wahai anakku! Ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Jika engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama TAQWA, isinya ialah IMAN dan Layarnya adalah TAWAKKAL kepada Allah swt.”

7. “Wahai anakku! Orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah swt. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, maka dia akan sentiasa menerima kemulian dari Allah swt juga.”

8.  “Wahai anakku! Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”

9.   “Wahai anakku! Jangan engkau berjalan sombong serta takbur, Allah swt tidak meredai orang yang sombong dan takbur.”

10. “Wahai anakku! Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”

11.  “Wahai anakku! Bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”

12.  “Wahai anakku! Apabila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.”

13.  “Wahai anakku! Sesesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.”

14.  “Wahai anakku! Bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”

15.  “Wahai anakku! Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan hati, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, dan janganlah mensia-siakan hartamu.”

16.  “Wahai anakku! Sekiranya kamu di dalam solat, jagalah hatimu, sekiranya kamu makan, jagalah kerongkongmu, sekiranya kamu berada di rumah orang lain, jagalah kedua matamu dan sekiranya kamu berada di kalangan manusia, jagalah lidahmu.”

17.  “Wahai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, berusahalah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.”

18.  “Wahai anakku! Berdiam diri itu adalah hikmah (perbuatan yang bijak) sedangkan amat sedikit orang yang melakukannya.”

19.  “Wahai anakku! Janganlah engkau menghantarkan orang yang tidak cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.”

20. “Wahai anakku! Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”

21.  “Wahai anakku! Sesungguhnya orang bertalam dua muka bukan seorang yang jujur di sisi Allah swt.”

22.  “Wahai anakku! Jauhilah sifat dusta, sebab berbohong itu mudah dilakukan bagaikan memakan daging burung padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”

23. “Wahai anakku! Sesiapa yang berbohong hilanglah air mukanya dan sesiapa yang buruk akhlaknya banyaklah dukacitanya.”

24. “Wahai anakku! Bersabarlah di atas apa yang menimpa dirimu kerana yang demikian itu menuntut kepastian kukuh daripadamu dalam setiap kejadian dan urusan.”

25.  “Wahai anakku! Apabila engkau mempunyai dua pilihan di antara takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati sebab ia akan mengingatkanmu kepada akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”

26. “Wahai anakku! Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada  anjing sahaja.”

27.  “Wahai anakku! Janganlah engkau terus menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.”

28. “Wahai anakku! Aku pernah makan makanan yang baik dan memeluk yang terbaik tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih lazat daripada kesihatan.”

29. “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk beribadat.”

30. “Wahai anakku! Apabila perutmu telah penuh sesak dengan makanan, maka akan tidurlah fikiranmu, menjadi lemah hikmahmu dan berhentilah (malas) seluruh anggota tubuhmu daripada beribadat kepada Allah SWT dan hilanglah kebersihan hati (jiwa) dan kehalusan pengertian, yang dengan sebab keduanyalah dapat diperoleh lazatnya munajat dan berkesannya zikir pada jiwa.”

31.  “Wahai anakku! Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.”

32. “Wahai anakku! Jangan engkau derhaka terhadap ibu dan ayahmu dengan apa jua sekalipun, melainkan apabila mereka menyuruhmu derhaka kepada Yang Maha Berkuasa.”

33. “Wahai anakku! Allah mewasiatkan dirimu berbuat baiklah dengan ibu dan ayahmu. Justeru, jangan engkau mengherdik mereka dengan perkataan mahupun perbuatan dibenci.”

34. “Wahai anakku! Seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang kamu lakukan maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.”

35. “Wahai anakku! Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah swt maka dia tawadduk kepada Allah swt, dia akan lebih dekat kepada Allah swt dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah swt.”

36. “Wahai anakku! Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamun hal yang tidak benar.”

37.  “Wahai anakku! Andainya ada sebutir biji sawi terpendam di dalam batu, pasti ketahuan jua oleh Tuhanmu Yang Maha Melihat, Allah Amat Mengetahui segala sesuatu, zahir mahupun batin atau apa yang engkau sembunyikan di dalam dadamu.”

38. “Wahai anakku! Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.”

39. “Wahai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu adalah bilamana engkau mempunyai jiran yang jahat.”

40. “Wahai anakku! Aku pernah memindahkan batu-bata dan memikul besi, tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih berat daripada hutang.”

41.  “Wahai anakku! Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.”

42. “Wahai anakku! Apakah tidak engkau perhatikan, apa yang Allah swt bentangkan bagimu apa yang ada di langit dan di bumi daripada kebaikan yang amat banyak?

43. “Wahai anakku! Apa yang engkau menikmati di kehidupan ini lantaran kurniaanNya yang penuh keamanan, keimanan dan kebaikan yang melimpah ruah, di taman dunia yang subur mekar dengan bunga-bungaan serta tumbuhan yang berseri-seri.”

44. “Wahai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu.”

45. “Wahai anakku! Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan Allah swt bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.”

46. “Wahai anakku! Jangan engkau buang dunia ini ke bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membebankan orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.”

47.  “Wahai anakku! Tidak ada kebaikan bagimu untuk mempelajari apa yang belum kamu tahu sedangkan kamu belum beramal dengan apa yang kamu tahu.”

48. “Wahai anakku! Ingatlah dua perkara iaitu Allah swt dan mati, lupakan dua perkara lain iaitu kebaikanmu terhadap hak dirimu dan kebaikanmu terhadap orang lain.”

49. “Wahai anakku! Kehinaan dalam melakukan ketaatan kepada Allah swt lebih mendekatkan diri daripada meriah dengan maksiat (perkara menyebabkan dosa) kepadaNya. Janganlah anakku undurkan melakukan taubat sebab kematian datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih dulu.

50. “Wahai anakku! Sesungguhnya lama bersendirian itu dapat memahami untuk berfikir dan lama berfikir itu adalah petunjuk jalan ke syurga.”
Allahu a’lam.

Nasihat Luqman kepada anaknya selain di atas ada juga tersebut dalam beberapa kitab lain. seperti  "Tafsir Ruhul Ma'ani" dan kitab "Hidayatullah Mursyidin".,

Penghargaan sebahagian petikan tulisan Dr. Attabiq Luthfi

No comments:

Post a Comment