Assalam alaik...
Bismillah...
Memandangkan entri sebelum ini menceritakan tentang keagungan AlQuran dan keperluan kita bukan sahaja pandai mengaji tetapi perlu sampai ke tahap mentadaburinya.. maka in syaa Allah entri saya seterusnya secara merangkak2 akan bersandarkan kepada penghayatan ayat2 suci AlQuran.. mudah2an niat dan usaha kita dipermudahkan dan diberkati.. apa yang dibuat lebih kepada pengetahuan dan keinsafan diri... jika ada kekurangan harap maaf dan keampunan Allah swt sentiasa kuharapkan..Ya Rabb Berilah kami petunjuk agar sentiasa di landasan Islam yang benar ...
Surah AlFatihah.. surah pertama yang saya pilih dahulu..lagipun surah ini memang dibaca dalam solat fardhu 5 waktu.. mudah2an dengan mentadaburinya lebih khusyuk dan tenteram diri kita mengadap Ilahi..
Surah ada beberapa nama selain AlFatihah seperti Um al-Kitab dan as-Sab’ai al-Masthani. Imam al-Qurtubi menghitung 12 nama Fatihah sedangkan sebahagian ulama mengira sampai dua puluh dua nama, sama ada secara tauqif daripada nabi atau ijtihad para sahabat. apa pun namanya jom kita dalami pengajian surah ini.
Nas hadis tentang kelebihan surah AlFatihah antaranya :
1. Sebesar-besar surah dari segi kelebihannya - riwayat al-Bukhari daripada Abi Said bin Mu’alla.
2. Tiada tandingan dan bandingan dengan apa jua surah dan kitab (Taurat, Injil, Zabur dan al-Furqan) - riwayat Imam Ahmad daripada Ubay bin Ka’ab.
3. Dua cahaya yang digembirakan oleh malaikat iaitu al-Fatihah dan penutup surah al-Baqarah - riwayat Muslim daripada Ibn Abbas.
4. Penyembuh seperti terkena patukan ular dan sengatan kala jengking (riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abi Said al-Khudri) serta penyakit gila (riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibn Sunni, Ibn Jarir, al-Hakim yang mensahihkannya daripada Kharijah bin as-Salt at-Tamimi daripada bapa saudaranya yang datang bertemu Rasulullah saw dan dalam perjalanan pulang melalui suatu perkampungan terlihat seorang lelaki dirantai dengan besi lantas kata keluarganya, "Adakah kamu boleh rawatnya, kerana kamu datang daripada sahabatmu (Rasulullah saw) yang amat baik". Lalu dibacakan al-Fatihah selama tiga hari sebanyak dua kali pada waktu pagi dan petang setiap hari, aku hembus ke mukanya kemudian dengan izin Allah dia sembuh dan diberikan kepadaku 100 ekor kambing, lalu beliau berjumpa Rasulullah saw dan menceritakannya, Rasulullah saw bersabda, "Makanlah, siapa yang berjampi dengan batil? Sesungguhnya kamu berjampi dengan sebenarnya.")
5. Apabila diwajibkan bacaan dalam setiap rakaat solat - riwayat al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi daripada Abu Hurairah.
Surah ini walaupun merangkumi 7 ayat sahaja tetapi mempunyai maksud secara ijmal (menyeluruh), usul ad-din (cara atau kaedah kehidupan yang ditetapkan oleh Allah swt) dan cabangannya seperti akidah, ibadah, tasyri’(hukum hakam), iktikad (kepercayaan dalam hati) dengan Hari Akhirat, beriman dengan sifat Allah swt, mengesaNya dalam beribadat, meminta pertolongan dan doa. Selain itu memohon hidayah di jalan yang benar di samping menetapkan iman dan jalan para solehin, dijauhkan daripada golongan dimurkai Allah swt dan kesesatan. Justeru surah ini dikenali Um al-Kitab kerana isi kandungannya menghimpun segala maksud dunia dan akhirat... Allahuakbar
As-Shahid Hasan al-Banna berkata, "Tiada syak siapa yang tadabbur alFatihah yang mulia ini pasti dapat melihat kayanya makna dan keindahannya serta keserasiannya, antara lain dapat dilimpahi cahaya pada hatinya." manakala kata As-Shahid Syed Qutb pula, "Sesungguhnya surah ini mengandungi inti pati akidah Islamiyah tasawwur Islami, perasaan dan harapan doa kepada Ilahi yang diisyaratkan daripada hikmah pemilihan surah ini pada setiap rakaat solat."
Tafsir Surah AlFatihah
Firman Allah swt
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani"
(Surah Al Fatihah : 1)
Tujuan membaca Bismillah adalah untuk menunjukkan bahawa konsep penyertaan qudrah Allah swt yang menyebabkan qudrat kita terlaksana. Betapa lemahnya kita sehingga setiap perilaku kita sebenarnya adalah daripada qudrah Allah swt yang Maha Berkuasa. Disebabkan itulah kita disarankan oleh jumhur ulama' untuk memulakan sesuatu tugasan dengan lafaz Bismillah. Di zaman jahiliyyah, kebanyakkan Quraisy (yang sesat) menyertakan perilaku dan sumpah mereka adalah atas nama Hubal, Latta dan Uzza serta Sya'biy sebagai tanda kebanggaan pada tuhan mereka. Berbeza dengan umat Islam yang memberi alternatif kepada penganutnya mengizzahkan (melahirkan rasa kebanggan di atas kefahaman dan penghayatan bahawa Islam yang dianuti ini adalah agama dari Allah swt dan memeliharanya sebagaimana yang diturunkan Allah swt) tuhan mereka dengan adanya Bismillah pada setiap surah kecuali surah At Taubah dan juga jika melakukan kejahatan kemaksiatan dan kemungkaran.
Memulai sebutan 'Dengan nama Allah" sebelum setiap sesuatu perlakuan serta memohon pertolongan kepadaNya dalam segala urusan adalah kerana Allah swt bersifat Maha Perkasa atas setiap sesuatu. Ibn Jarir berkata, "Sesungguhnya Allah mendidik nabiNya Muhammad saw dalam melakukan segala pekerjaan hendaklah dimulakan dengan namaNya yang mulia dan dijadikan sunah bagi sekalian makhlukNya sama ada percakapan, surat, kitab dan hajat. Gesaan ini jelas dinyatakan oleh arahan Allah swt dalam ayat pertama surah al-`Alaq. Justeru Allah swt mukadimahkan ayat ini pada semua surah kecuali surah at-Taubah. Ini kerana mengikut sebahagian ulama, ayat ini untuk memohon rahmat sedangkan surah at-Taubah mengkisahkan perang atau hukuman Allah swt."
Dinaskan dalam hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya, "Setiap sesuatu yang tidak dimulakan dengan bismillah, ia akan terputus." Hadis ini dihasankan oleh an-Nawawi, maksud `terputus’ di sini adalah dicabut daripada kebaikan dan berkat.
Dalam ayat ini terdapat tiga nama Allah swt iaitu Allah, ar-Rahman dan ar-Rahim. Allah swt adalah nama bagi zat yang wajib kebergantungan segala alam denganNya seperti firman Allah swt bermaksud, "Hai manusia, kamu semua fakir (berhajat) kepada Allah, dan Allah bersifat Maha Kaya lagi Terpuji."
Satu-satunya nama yang dikaramahkan Allah swt ialah namaNya sendiri `Allah’ yang tidak disekutukan sama ada Islam atau bukan, bertamadun atau tidak. Hanya Allah (swt) yang berhak disembah dan tiada sekutu baginya, Dialah Tuhan Bersifat Maha Sempurna. Tiada sesiapapun boleh menamakan anak mereka dengan nama Allah.
Allah dan Ilah ada sedikit perbezaan dari segi maksud bahasanya yang mana Allah (swt)merujuk kepada nama khas bagi zat yang Maha Suci tidak disekutukan dengan yang lain, yang bermaksud Tuhan yang diabdikan dengan sebenarnya. Sebaliknya Ilah merujuk kepada sesuatu yang umum, sama ada kepada Allah, Tuhan yang sebenar atau tuhan lain yang batil.
Ar-Rahman dan ar-Rahim menunjukkan rahmat Allah swt yang meliputi sekalian makhluk. Namun, Ar-Rahman dan ar-Rahim apabila disekalikan sebutannya memberi makna yang berbeza. Ar-Rahman lebih umum merangkumi kehidupan di dunia ini, sedangkan ar-Rahim khusus untuk hambaNya yang taat di Hari Akhirat. Jika disebut ar-Rahman atau ar-Rahim sahaja ia hanya membawa makssud perkataan itu sahaja - pendapat Syeikh Abdullah Sirajuddin.
Hikmah dikhususkan sebutan ar-Rahman dan ar-Rahim dalam bismillah adalah:
1. Supaya hambaNya tahu bahawa Allah swt Tuhan mereka bersifat Rahman dan Rahim untuk menjadikan mereka taat dan beribadah memohon kepadaNya.
2. Nama ar-Rahman meliputi segala alam di dunia yang kesannya dapat dilihat dan dibuktikan termasuk semua makhluk seperti manusia, jin dan ciptaan lain dengan rahmat Allah swt. Allah swt Maha Pengasih dan Pemurah.
Allah swt memberi kemurahanNya kepada semua makhluk di dunia ini. Perlu diketahui kesemua makhluk manusia telah mengakui keimanannya sejak alam lahut dan malakut. Lantaran itu kasih sayang Allah swt pada hambaNya tidak bertepi. Allah swt berterusan menunjukkan kemurahan kasihnya. Tetapi ada suatu kasih yang tertinggi iaitu kasih sayang Allah swt khusus buat muslimin yang berada di syurga Firdaus kelak dapat menghayati wajah sebenar Allah swt melalui pemandangan akhirat, yang kekal abadi bukannya melalui pandangan duniawi yang terbatas. Jika kita betul2 menghayati ayat ini boleh menambahkan ketaatan kita kepada Allah swt. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui..
Maka perlu diingatkan bahawa dengan ayat pertama ini, setiap perkara dilakukan kerana ia mengiringi perilaku degan nilai akidah sebenar. Kekuatan AlFatihah pula terletak pada ayat Bismillah. Kekuatan ayat ini ialah pada huruf ba' (ب). Huruf ini membawa maksud dengan, pengiringan dan maksud kebersamaan pembaca Al Quran dan perilaku dengan nama Allah. Ia juga janji awal pembaca AlQuran bahawa hak cipta (copyright) kalam Al Qadim ini adalah milikNya yang tiada sekutu bagiNya.
No comments:
Post a Comment