Assalam alaik
Masih lagi topik AlQuran.. rindu sesangat dengan ayat suci ni.. walaupun setiap hari dalam solat sekurang2nya surah AlFAtihah dibaca.. tak cukup.. Allah swt menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada kita khususnya umat akhir zaman laluan kebenaran dan highway kesesatan yang menyiksakan, Nur cahaya yang menerangi kegelapan di malam hari dan juga siang hari(sebab ada masa kita celik tapi buta), tongkat (Ali) tak pun GPS yang membimbing di tengah perjalanan di dunia hingga sampai destinasi akhir iaitu Akhirat, Kurikulum kehidupan 24/7, nasihat dan peringatan yang penuh bermanfaat semakin dikaji in syaa Allah semakin bertambah keimanan, semakin mendalam keilmuan serta semakin bermotivasi memperbanyakkan amal.
Di dalamnya terdapat makna yang sentiasa segar dan nikmat dari air dingin bagi orang yang kehausan, lebih lembut dari hembusan angin bayu di tanah tinggi, lebih terang dari cahaya mentari yang menyinari alam.
Begitulah diantara ungkapan para ulama tafsir yang mengkaji Al-Quran, satu kesimpulan bahawa walau dibaca berulang-ulang, tidak akan pernah bosan membaca memahami dan mengkajinya, kita akan selalu 'jumpa' suatu yang baru seperti keimanan, ilmu dan kefahaman kerana ia adalah mu’jizat dari sisi Allah swt penuh berkah dan kita diperintahkan untuk mentadaburinya. Allah swt berfirman dan maksudnya,
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آَيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Saad ayat 29)
Imam As-Sa’di dalam tafsirnya menjelaskan makna ‘Mubarokun’ ialah di dalam AlQuran terdapat keberkahan yang luas, ilmu yang melimpah sert, hikmah diturunkan AlQuran ini adalah untuk kita mentadaburinya dan jika disulami dengan mentafakurinya berulang kali in syaa Allah terdapat keberkahan dan kebaikan yang banyak.”
Imam Qusyairi pula dalam tafsirnya mengatakan 'Mubarokun' adalah Al-Quran yang bererti besar manfaatnya, selalu kekal dan tidak terganti dengan kitab yang lain dan turut dijelaskan bahawa keberkahanNya ada dalam mentadaburi dan mentafakuri makna-maknanya.”
Persoalannya...Mengapa keberkahan, ketenangan, kebahagiaan, keindahan akhlak, kemuliaan, kemenangan itu belum dapat dirasakan apatah lagi dikuasai oleh sebahagian besar umat Islam ini (termasuk saya.. why me?) Padahal AlQuran yang ada kini adalah yang sama diturunkan kepada Rasulullah saw yang dipelajari oleh para sahabat baginda saw yang menjadi teladan kepada kita akan keimanan mereka, cara ibadah mereka, akhlak mereka, kehidupan mereka sedangkan kita ni hidup dalam dunia yang semakin canggih.. e teknologi bagai.. (kenapa saya masih merangkak2 mempelajari bacaan AlQuran sedangkan pada usia sebegini saya dah seharusnya berupaya mentadaburinya)...
Yang pasti bukan AlQuran yang salah tetapi disebabkan penerimaan keutamaan kepentingan dan keseriusan kita dalam mematuhi perintah Allah swt mengagungi kitab Al-Quran berbeza, kurangnya kesedaran keinsafan ketaqwaan dan keimanan terhadap Al-Quran.. Astaghfirullah.. masih mnebal hal2 keduniaan dalam diri ini sedangkan pada usia ini lambaian barzakh semakin laju hari kebangkitan semakin menghampiri.
Ketika Allah swt berfirman dan maksudnya, لَقَدْ أَنزَلْنَا إِلَيْكُمْ كِتَابًا فِيهِ ذِكْرُكُمْ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ.
"Sesungguhnya telah Kami turunkan kepada kamu sebuah kitab yang di dalamnya terdapat sebab-sebab kemuliaan bagimu. Maka apakah kamu tiada memahaminya?” (Surah Al-Anbiya aya: 10)
Imam Al-Qurthubi mentafsirkan, “pendapat yang paling kuat dari ayat ini(di atas) adalah,
وَإِنَّهُ لَذِكْرٌ لَكَ وَلِقَوْمِكَ
“Dan sesungguhnya Al Quran itu benar-benar adalah suatu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu.” (Surah Az-Zukhruf ayat 44)
iaitu ia merupakan kemuliaan bagi sesiapa yang mengamalkannya baik dari orang quraisy ataupun buhan orang quraisy."
Tenyata kunci kemuliaan itu ada pada pengamal isi AlQuran. AlQuranul karim mempunyai pengaruh yang agung dalam proses menambahbaik diri dan menyucikannya. Rasulullah saw sangat prihatin dalam membina sahabat-sahabat baginda saw. Seorang sahabat Rasulullah saw, Jundub bin Abdullah ra mengatakan "Kami bersama Rasulullah saw saat kami masih belia, mempelajari keimanan sebelum mempelajari AlQuran maka bertambahlah keimanan kami."
Imam Ibnul Qayyim mengatakan, “Kalau sekiranya orang mengetahui apa yang di dalam AlQuran mereka akan sibuk dengannya daripada urusan lainnya. Apabila engkau baca dengan tafakur, kemudian engkau temui ayat yang mengubati hatimu engkau akan ulangi ayat itu walaupun sampai seratus kali, walaupun sepanjang malam. Membaca ayat dengan tafakur lebih baik dari mengkhatamkannya tanpa tadabur dan pemahaman, dan lebih memberi manfaat bagi hati, menghantarkan kepada keimanan dan merasakan manisnya Al-Quran.”
Suatu malam Rasulullah saw solat dan mengulangi ayat yang sama
إن تعذبهم فإنهم عبادك و إن تغفرلهم فإنك أنت العزيز الحكيم sampai subuh menjelang.”
Begitulah juga kisah Imam Abu Hanifah yang diceritakan oleh Yazid bin Al-Kimyat, ia berkata, “Abu Hanifah adalah seorang yang sangat takut kepada Allah swt, suatu malam Ali bin Al-Husain membaca Surah Al-Zilzalah (Idza Dzul zilatil ardhu zil zalaha) ketika solat isya' dan Abu Hanifah berada di belakangnya. Ketika selesai solat, orang keluar dari masjid dan aku melihat kepada Abu Hanifah sedang duduk, berzikir kemudian ia solat dan mengulangi membaca surat Al-Zilzalah. Aku memutuskan untuk pergi meninggalkannya sehingga beliau tidak terganggu dengan keberadaanku. Lalu aku keluar dari masjid. Ketika aku keluar, aku tinggalkan sebuah lampu yang minyaknya tinggal sedikit. Ketika aku tiba kembali saat fajar, lalu aku mengumandangkan azan dan menyalakan lampu. Ketika itu aku melihat Abu Hanifah masih berdiri sambil membaca surah Al-Zilzalah berulang-ulang. Ketika melihatku ia bertanya, “Apakah engkau akan mengambil lampu?” lalu ku jawab: “Aku telah mengumandangkan azan shubuh.” Kemudian ia berkata: “Sembunyikan apa yang engkau lihat dariku”. Lalu ia solat dua rakaat, kemudian duduk menunggu iqomat dan solat shubuh bersama kami masih dengan wudu' tatkala ia solat isya malam sebelumnya."
Maka adakah ‘tidak mengkaji dan mentadaburi Al-Quran’ merupakan salah satu tanda bahawa ada pintu yang terkunci rapat sehingga menutupi hati ini? Astaghfirullah.. masih jauh tersasar kehidupanku dari jalanmu... Penutup pintu hati itu harus kubuka dan kuncinya adalah mentadaburi AlQuran agar cahaya keimanan menyerap dalam diri ini.
Allah swt berfirman dan maksudnya
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad ayat 24)
Syeikh Muhammad Sayyid Thotowi dalam tafsirnya berpendapat ayat ini(atas) “ayat ini adalah pengingkaran kepada orang munafik yang berpaling dari AlQuran, bahkan mereka tidak mahu mentadaburinya, walaupun di dalamnya penuh dengan pelajaran, perintah dan larangan, kerana di hati mereka ada tutup yang menghalangi antara mereka dan tadabur. Nauzubillah.. Ya Allah, ampunkan hambaMu ini..
Perkataan ‘Al-Aqfalun’ bentuk jama’ dari Quflun, iaitu berupa alat untuk mengunci pintu atau sejenisnya. Maksud ayat ini adalah penjelasan bahwa hati mereka tertutup dan terkunci rapat, tidak masuk keimanan ke dalamnya dan tidak keluar darinya kemunafikan dan kekufuran.”
Manakala dalam tafsir Al-Kasyaf, “maksud hati di sini ada dua, pertama hati yang keras dan kedua hati sebagian orang munafik, adapun kunci di sini adalah kekufuran yang mengunci rapat hati mereka.”
Imam Sayyid Thontowi melanjutkan, “para ulama mengatakan ayat di atas menunjukkan wajib hukumnya mentadaburi dan mentafakuri ayat AlQuran, kemudian mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, dari petunjuk, perintah dan larangan, adab dan hukum-hukumnya. Jika tidak mentadaburinya akan menyebabkan kepada kekerasan hati serta kesesatan jiwa, sebagimana keadaan orang munafik.”
Ustadz Sayyid Qutb mengungkap dalam tafsirnya,“Tadabur Al-Quran menghilangkan penutup hati, membuka jendela, memperoleh cahaya, menggerakkan perasaan (indera), menguatkan hati, mengikhlaskan nurani (batin), menumbuhkan kehidupan di dalam jiwa, berkilau dengannya, kemudian terbit dan menyinari.”
Bahkan dalam tafsirnya dengan agak keras mengatakan “Allah mencela orang yang berpaling dari ayat-ayat Allah sebagaimana dijelaskan dalam firmannya:وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِيَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ إِنَّا جَعَلْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَنْ يَفْقَهُوهُ وَفِي آذَانِهِمْ وَقْرًا وَإِنْ تَدْعُهُمْ إِلَى الْهُدَى فَلَنْ يَهْتَدُوا إِذًا أَبَدًا الكهف : 57 “Dan siapakah yang lebih zalim dari pada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya lalu dia berpaling dari padanya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua tangannya? Sesungguhnya Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka, (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka; dan kendatipun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, niscaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya.” (Surah AlKahfi ayat 57)
ayat di atas menunjukkan bahawa mentadaburi AlQuran, memahaminya dan mempelajarinya adalah harus bagi kaum muslimin. Sesiapa yang tidak disibukkan dengan mentadaburi ayat-ayat Allah atau memahaminya, mempelajari maknanya kemudian tidak mengamalkannya, maka ia termasuk ‘mu’ridh’ atau orang yang berpaling, dan termasuk orang yang dicela dalam ayat di atas jika Allah telah memberinya kefahaman untuk dapat mentadaburinya.”
Rasulullah saw pernah mengadu kepada Allah swt bahawa kaumnya telah meninggalkan AlQuran, sebagaimana firmanNya yang bermaksud, وَقَالَ الرسول يارب إِنَّ قَوْمِي اتخذوا هذا القرآن مَهْجُوراً
"Berkatalah Rasul: "Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan." (Surah Al-Furqan ayat 30)
Imam Ibnul Qayyim menjelaskan ayat ini, “Tidak mengacuhkan AlQuran memiliki beberapa macam pengertian Pertama, tidak mendengarkan dan mengimaninya. Kedua, tidak mengamalkannya, tidak peduli dengan halal dan haramnya, walaupun ia membaca dan mengimaninya. Ketiga, meninggalkannya ialah tidak menjalankan hukum-hukumnya. Keempat, meninggalkannya dengan tidak mentadaburi, memahaminya dan mengetahui maksud dari apa yang disampaikan Allah dalam ayat-ayatNya. Kelima, meninggalkan alQuran dalam erti tidak menjadikan AlQuran sebagai ubat dari penyakit-penyakit hati.”
Begitu banyak nikmat dan barakah yang dikurniakan Allah swt dan diajar oleh baginda Rasulullah saw serta sahabat baginda bagi sesiapa yang mentadaburi Al-Quran... marilah kita memulainya walaupun terpaksa merangkak.. Allah swt Maha Mengetahui.. inysaaAllah seperti bayi .. dari telentang meniarap mengesot merangkak duduk berdiri berjalan berlari.. yakin boleh!!
Wallahu a’lam bishowab.
penghargaan H. Zulhamdi M. Saad, Lc
No comments:
Post a Comment