Pages

Kelopak mawar

Thursday, May 16, 2013

Iktikaf Hati Terapi Jiwa

Assalam alaik...
Bismillah..

 
Hatiku yang sangat segar kini telah mati... oleh kesilapan dan kelalaian ku sendiri.. Ouchh.. sakitnya.. Ingin bangkit dan keluar dari kemelut ini.. Bagaimana? Bagaimana Menghidupkan semula Hati Mati? atau menyegarkan semula hati kering?...Boleh kah?...
Iktikaflah wahai diri yang merana tundukkan hati yang kegelisahan terapikan jiwa yang gundah gelana... Sesungguhnya Allah swt Maha Pengampun Maha Pengasih dan Maha Mendengar..
أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا

Dan apakah orang yang sudah mati (hatinya) kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya?” (Surah Al An’aam ayat 122 )

Terang dan gelap hidup manusia, lapang dan sempit jiwa melaluinya bergantung kepada hati. Hati adalah pusat kehendak. Jika hati sihat dan segar serta melambung tinggi ke langit kerana merasai kenikmatan beribadah, anggota tubuh badan turut mengikutinya. Hati yang terikat kukuh dengan Dzat yang Maha Esa tidak akan membuat jiwanya jatuh ke dalam kehinaan. Namun bila hati tercemar dan dikotori sehingga ia tersungkur ke lembah kehinaan tiada lagi nikmat kebahagiaan dirasakan oleh jiwa. 
 
"Jika hati hanya berpedoman kepada badan, maka ia hanya takutkan batas usia, mati, kemelaratan, ketidakpunyaan. Jika fikiran hanya mengurusi badan, jika fikiran tak kenal ujung, ia akan rakus kepada alam, akan membusung keangkuhan hingga akhirnya tergamam dan kecewa oleh segala yang dihasilkan. " (Ungkapan puisi Emha Ainun Najib - buku 'Dari Pojok Sejarah'.

Allah swt menginginkan kita sebagai hambaNya mempunyai hati yang kuat mengingatiNya. Nama pun kita hanyalah hambaNya.. jangan tahu sebut sahaja kena faham betul2.. Bila hati tidak lekang daripada mengingatiNya jiwa akan selalu pasrah dan redha dengan segala kehendak dan ketentuanNya. Namun sebagai manusia biasa setiap usaha memperkukuhkan keterikatan hati kepada Allah swt ujian dan dugaan sangat hebat menerjah dari pelbagai arah.. ada kalanya kita lemah dan hampir pasrah kerana terjahan ikatan lain lebih kuat cengkamannya.

Maka, berhati2 dan beringat selalu akan ikatan2 yang boleh mempengaruhi hati itu seperti:

Pertama, hati terikat kepada harta.

Tarikan diri kepada materialisme ini adalah berada di tingkat teratas kekuatannya mencengkam hati. Kuatnya tarikan harta  mengikat hati kadangkala mendominasi seluruh tenaga sehingga setiap langkah dan fikiran sejurus bangun dari tidur sehingga tidur semula di malamnya tidak lain hanyalah berkisar kepada harta. Bagaimana nak kumpulkan harta, nak lunaskan hutang, pakai kereta apa hari ini, jika prestasi presentation hari ini bagus dapat naik pangkat dan bermacamla hal duniawi sehingga bagi sebahagian orang, orientasi hidupnya adalah harta atau mudahnya hamba harta. Mereka ini keterikatan hatinya kepada Allah swt hanya sekadar melepaskan kewajiban semata atau yang lebih parah, kewajiban itu dilupakan sama sekali (ikatan hatinya kepada Allah swt sudah tidak ada lagi disebabkan tenggelam dalam arus kenikmatan dunia). Maka tatkala hartanya diambil kembali oleh Allah swt ada dua kemungkinan bakal terjadi iaitu tekanan perasaan atau frustrasi sehingga boleh sampai kepada tindakan membunuh diri dan keduanya, terjebak dalam kesesatan yang nyata dan terdesak memenuhi kehendak nafsu harta seperti menerima atau memberi rasuah, mencuri, menyamun, menipu dan sebagainya.

Pendamba harta tidak akan pernah merasa kepuasan dalam hidupnya. Bila hartanya sedikit, inginkan yang banyak. Jika sudah banyak, ingin yang lebih banyak lagi, demikian seterusnya.  Bahkan seperti sabda Rasulullah saw, "Jika ia memiliki satu gunung emas seperti gunung Uhud sekalipun, ia tetap ingin memiliki satu gunung emas lagi."

Kedua, hati terikat kepada keluarga.

Mencintai dan mengasihi kedua ibu bapa, anak, isteri, suami atau siapa saja, bukanlah suatu yang dilarang malah dituntut dalam Islam, namun yang tidak dibolehkan adalah mencintai mereka melebihi cinta kepada Allah swt dan perjuangan di jalanNya. Allah swt dalam firmannya bermaksud, "Katakanlah: 'Jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya.' Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik." (Surah At-Taubah ayat 24) 

Orang yang hatinya terlampau terikat dengan kasih sayang kepada manusia haiwan atau harta dan pangkat di dunia sukar bagi mereka membuat pilihan di antara perkara menyenangkan hati mereka atau menyenangkan Allah swt dengan menjalankan perintahNya. Kisah Nabi Ibrahim as telah memberikan teladan yang baik kepada kita di mana Allah swt mengujinya dengan memerintahkan agar anak kesayangannya yang telah lama tidak berjumpa di'sembelih'kan (dasyhat nor perkataan nih)..Walaupun Nabi Ibrahim as begitu mengasihi anaknya Ismail, namun hatinya tetap terikat kuat kepada Allah swt sehingga dipenuhi perintah Allah swt tanpa ragu sungguh pun setiap saat syaitan cuba menggusarkannya. Sebelumnya, patuh melaksana perintah Allah swt meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya(Nabi Ismail) yang masih bayi di tanah tandus Makkah tanpa makanan dan minuman.  Namun disebalik kesemuanya mengandungi hikmah yang Maha Agung. Allah swt mengurniakan sesuatu yang luar biasa kepada Siti Hajar dan anaknya Ismail dengan buah-buahan dan air Zam-zam yang tidak pernah putus mengalir sehingga saat ini.
 
Ketiga, hati terikat pada kebiasaan tertentu.

Selain harta dan orang yang disayangi, hati juga terikat kepada kebiasaan tertentu. Kita begitu terbiasa sehingga tanpa disedari kebiasaan itu menjauhkan hati dari Allah swt. Kebiasaan ini terbahagi kepada dua iaitu kebiasaan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat atau kebiasaan umum seperti hobi atau kegemaran menonton TV, bermain komputer, bersukan dsbgnya. Jika hati sudah melekat dengan dosa dan maksiat pendosa ini merasa sangat susah meninggalkannya dan semakin sulit dibersihkan apabila hati sudah menjadi sangat hitam atau gelap. Keterbiasaan umum juga merbahaya kepada kesihatan hati apabila perintah Allah swt atau peringatanNya mula diambil ringan..
 
Sohibul Zhilal mengatakan, "Sesunguhnya jiwa yang tunduk kepada hawa nafsu, meremehkan dan mempermainkan perkara suci adalah jiwa yang sakit. Sikap yang tunduk kepada hawa nafsu tidak akan mampu menanggung beban tanggung jawab. Jiwa yang bertanggung jawab adalah jiwa yang kuat, bersungguh-sungguh dan penuh kesedaran. Sedangkan jiwa yang tunduk kepada hawa nafsu tidak memiliki kesedaran dan meremehkan segala hal. Setiap jiwa yang kosong dari kesungguhan, semangat dan kesucian, maka ia akan berubah kepada gambaran yang sakit dan tercela seperti yang dilukiskan Al-Quran. Jiwa yang sakit telah mengubah haluan kehidupan kepada senda gurau dan kekosongan yang tidak memiliki tujuan dan juga penumpang."

Bagi orang beriman yang hatinya selalu mengingati Allah swt di saat hatinya bersentuhan dengan Al-Quran maka mereka merasakan suatu ketenangan yang tidak dapat digambarkan lalu tumbuhlah perhatian yang membuat hati mereka tidak ambil peduli perihal dunia dan segala kenikmatannya.

Dalam keterangan Al Amidi terdapat biografi singkat dari Amir bin Rabiah, bahawa seorang Arab berkunjung ke rumahnya, dan dia memuliakannya, kemudian orang Arab itu datang lagi kepadanya setelah dia mendapat sebidang tanah dan berkata kepadanya, "Sesungguhnya aku telah mendapatkan harta suatu lembah tanah Arab dari Rasulullah dan aku ingin membahagikan kepadamu suatu bahagian darinya untukmu dan keluargamu sesudah sepeninggalanmu."  Amir menjawab, "Aku tidak mahukan bahagian dari tanahmu kerana hari ini turun surah dari Al-Quran yang membuat kami melupakan segala urusan dunia, iaitu firman Allah swt, "Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling. Tidak datang kepada mereka suatu ayat Al Quran pun yang baru (diturunkan) dari Tuhan mereka, melainkan mereka mendengarnya, sedang mereka bermain-main, (lagi) hati mereka dalam keadaan lalai." (Surah Al-Anbiyaa ayat 1 hingga 3)

Inilah perbezaan antara hati yang hidup, responsif dan terpengaruh dengan memperingati  Allah swt sentiasa dengan hati yang mati, lalai dan keras. Hati mati mengkafani mayatnya dengan main-main, memakai pakaian daripada kekuatan pengaruh hawa nafsu dan tidak terpengaruh sedikitpun dengan peringatan diberikan kerana tidak memiliki tiang kehidupan. Hati hidup adalah hati mulia yang ketika disajikan berbagai kenikmatan dunia (tetapi perbuatan keji) dia tetap menjauhkan dirinya kerana kesedaran dan keinsafannya (terhadap kekuatan Allah swt mengatasi segalanya) dan membenci perbuatan tersebut.
 
Sesungguhnya hati mati tidak dapat membezakan antara kebaikan dan keburukan. Sebagaimana ungkapan Abdullah bin Mas’ud ra dan maksudnya,
هلك من لم يكن له قلب يعرف به المعروف والمنكر
“Celakalah bagi mereka yang tidak memiliki hati, iaitu hati yang bisa mengenal manakah kebaikan dan manakah keburukan”.
 
Hati sakit adalah hati yang diserangi penyakit syahwat. Terkadang penyakit yang bersarang di dalam hati seseorang semakin parah dan pemilik hati tidak menyedarinya. Namun ada yang lebih parah dari keadaan ini, iaitu orang yang hatinya mati, namun dirinya tidak merasakan kematian hatinya itu. (Ibnu Abil ‘Izz Al Hanafi dalam Syarah Aqidah Ath Thahawiyah, Darul ‘Aqidah)  

Sama ada hati mati atau keras hati, kedua2nya merupakan bahaya yang sangat besar, sebagaimana dikatakan oleh Malik ibnu Dinar ra dan maksudnya,

إن لله عقوبات في القلوب والأبدان؛ ضنك المعيشة، ووهن في العبادة، وما ضرب عبد بعقوبة أعظم من قسوة القلب.

Sesungguhnya Allah memiliki berbagai macam hukuman yang menimpa hati dan badan, iaitu sempitnya penghidupan dan lemah dalam beribadah, dan tidaklah ada sesuatu yang lebih bahaya menimpa seorang hamba melainkan kerasnya hati.” (Hilyatul Auliya’, Abu Nu’aim Al Ashbahany, Maktabah Syamilah)

Misalnya, seekor ikan yang dikeluarkan dari air akan menggelapar di atas tanah sehingga jika dibiarkan untuk waktu yang lama ikan itu akan mati.

Sesungguhnya Allah swt menciptakan hati (ibarat air) kepada manusia (ibarat si ikan) dan menjadikan sumber kehidupan dan ketenangan hati adalah dengan mengenal Allah swt, mencintaiNya dan selalu mengingatiNya, manakala berenang (si ikan) mengharungi samudraNya adalah berupa Al-Quran(bagi manusia sebagai panduan).  Dengan itu (si ikan dibiarkan  bebas berenang dalam air/ manusia membiasakan diri membaca kalamullah),  hati akan hidup  dan merasakan nikmat Allah swt. Dengan hidupnya hati, ia akan memberi cahaya pedoman pada liku2 jalan kehidupan yang dilalui semasa hayatnya di dunia.

Namun bila hati diletakkan pada dunia, cinta padanya dan dunia mendapat tempat di dalam hati, maka pastinya hati tersebut tidak akan tenang dan tenteram selamanya. Walaupun secara zahir nampak  kebahagiaan nyata ia hanya bersifat sementara bahkan dirinya dikaburi oleh kesenangan duniawi. Ketika hati lalai dari mengingat Allah swt ia akan selalu resah, gelisah dan tidak pernah merasa tenteram, iapun  menggelepar kemudian hati akan sakit dan pada akhirnya akan mati seperti matinya ikan di daratan seperti misalan di atas.

Allah swt berfirman maksudnya, "(iaitu) Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah, Ingatlah hanya dengan berzikir kepada Allah, hati  menjadi tenang." (Surah Ar-Ra`d ayat 28)

" Sungguh pada yang demikian itu pasti terdapat peringatan bagi orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya sedang dia menyaksikannya." (Surah Qaf ayat 37)

Ketika Rasulullah saw ditanya tentang bagaimana hati lapang? Baginda saw menjawab, "Apabila cahaya itu masuk ke dalam hati maka hati tersebut akan lapang dan terbuka". Kemudian beliau ditanya lagi, "Apa tandanya wahai Rasulullah?" Baginda saw menjawab, "Mempersiapkan diri menuju tempat keabadian (akhirat), dan 'mengasingkan' diri dari tempat yang menipu (dunia), serta mempersiapkan diri sebelum datangnya kematian." (Hadis Riwayat Hakim dan Baihaqi dalam Kitab Az-zuhd). 
 
Maka memperbaiki hati dan menghidupkannya dengan berterusan mempelajari Islam adalah suatu kewajipan bagi setiap hambaNya kerana baiknya hati akan baiklah seluruh kehidupan kita. Rasulullah saw bersabda, "Di dalam jasad itu ada segumpal darah, bila rosak maka rosaklah seluruh tubuh dan jika sihat maka sihatlah seluruh tubuh, segumpal darah itu adalah hati."   
 

No comments:

Post a Comment