Pages

Kelopak mawar

Friday, May 24, 2013

AlQuran.. Akta Dunia Manual Akhirat


Assalam alaik..

Bismillah..
Dr. Subhi Al Salih mendefinisikan Al-Qur'an sebagai,
“Kalam Allah swt yang merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dan ditulis di mushaf serta diriwayatkan dengan mutawatir, membacanya termasuk ibadah”.

Manakala Muhammad Ali ash-Shabuni mendefinisikan Al-Qur'an sebagai,
"Al-Qur'an adalah firman Allah yang tiada tandingannya, diturunkan kepada Nabi Muhammad saw penutup para Nabi dan Rasul, dengan perantaraan Malaikat Jibril a.s. dan ditulis pada mushaf-mushaf yang kemudian disampaikan kepada kita secara mutawatir, serta membaca dan mempelajarinya merupakan ibadah, yang dimulai dengan surat Al-Fatihah dan ditutup dengan surat An-Nas"
 
Al-Qur'an merupakan doktrin (Akta Dunia Manual Akhirat) bagi umat Islam. Kalamullah ini diturunkan melalui wahyu Allah (Al-Quran) dalam bentuk lembaran-lembaran naskah tulis yang utuh dan lengkap secara beransur-ansur selama 22 tahun 2 bulan 22 hari. Al-Quran terdiri daripada 114 surah dan berjumlah 6,236 ayat. Surah terpanjang dengan 286 ayat adalah Al Baqarah dan terpendek hanya memiliki 3 ayat seperyi Al Kautsar, An-Nasr dan Al-‘Așr. Surah yang panjang terbahagi lagi kepada ruku' (tema atau topik tertentu).
 
Setiap surah terbahagi kepada surah-surah Makkiyah (surah Mekkah) dan Madaniyah (surah Madinah) berdasarkan tempat dan waktu penurunan. Surah Makkiyah diturunkan mengambil masa selama 12 tahun semasa kenabian Rasulullah saw dan ciri umumnya surah ini pendek-pendek, berkaitan prinsip keimanan dan akhlaq, panggilannya ditujukan kepada manusia.

Sedangkan surah Madaniyah penurunannya mengambil masa selama 10 tahun dimulai sejak peristiwa hijrah ciri umumnya surah panjang-panjang, berkaitan peraturan-peraturan mengenai hubungan hamba dengan Tuhannya atau seseama manusia dan lainnya (syari'ah).

Susunan kitab AlQuran juga dibahagikan menjadi 30 bahagian yang dikenal dengan nama juzuk. Pembahagian ini untuk memudahkan pengkhataman bacaan Al-Qur'an dalam tempoh 30 hari (satu bulan). Selain itu, pembacaan Al-Qur'an dibahagikan menjadi 7 bahagian untuk tujuan pengkhataman bacaan dalam masa 7 hari (satu minggu).

Penurunan Al-Quran mengandungi tujuan-tujuan (maqasid al-Quran) yang tertentu.

Pertama, tujuan al-Quran ialah membetulkan akidah, mensabitkan ketuhanan Allah Yang Maha Esa, tugas nabi-nabi dan penyataan kewujudan hari akhirat. Al-Quran mengambarkan bahawa syirik merupakan satu perbuatan dosa yang besar dan tidak diampuni oleh Allah swt. Para nabi menyeru manusia kepada Allah Yang Maha Esa. Firman Allah swt yang bermaksud,
"Dan sesunguhnya kami telah mengutus rasul pada setiap umat yang menyeru; sembahlah Allah sahaja dan menjauhi Thaghut itu." (Surah al-Nahl  ayat 36)

Di samping itu, al-Quran menjelaskan keperluan manusia kepada nabi-nabi dan risalahnya, menerangkan tugas para nabi dan menolak dakwaan dan tanggapan yang salah mengenai nabi. Al-Quran juga menjelaskan kewujudan hari akhirat itu benar dan pasti setiap manusia akan menghadapinya. Al-Qur'an meluruskan sejarah.

Dalam Al-Qur'an terdapat cerita mengenai kaum dari rasul-rasul terdahulu, juga mengenai beberapa bahagian mengenai kehidupan para rasul tersebut. Cerita tersebut pada beberapa aspek penting berbeza dengan versi yang terdapat pada teks-teks lain yang dimiliki oleh Yahudi dan Kristian. Al-Qur'an diletakkan sebagai pembenar dan batu ujian (verifikator) bagi kitab-kitab sebelumnya. (surah Al Maidah ayat 48). Al-Qur'an juga menuntut kepercayaan umat Islam terhadap eksistensi kitab-kitab tersebut (Surah al Baqarah ayat 4). Justeru Al-Qur'an menjadi rujukan dan panduan untuk menghilangkan perselisihan pendapat antara umat-umat rasul yang berbeza. (Surah An Nahl ayat 63 dan 64)

Kedua, tujuan al-Quran ialah pengisytiharan terhadap kemuliaan manusia dan haknya. Al-Quran menegaskan bahawa manusia adalah makhluk yang mulia yang dijadikan oleh Allah swt dengan sebaik-baik kejadian. Oleh sebab itu, al-Quran melarang sebahagian golongan pelampau yang mengharamkan perkara-perkara baik dan perhiasan seperti yang diungkapkan oleh Allah swt dalam surah al-Araaf, ayat 32. Al-Quran juga memperakui hak-hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara, berfikir, beriktikad, tempat tinggal dan mencari reziki.

Ketiga, tujuan al-Quran ialah memberitahu bahawa manusia diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah swt. Allah swt yang menciptakan manusia, mengurnia rezeki, memberi pelbagai nikmat yang tidak dapat dihitung. Oleh itu, hak Allah swt untuk manusia bersyukur dan bertaqwa kepadaNya. Orang yang bertaqwa akan mendapat keberkatan, rezeki yang murah, terpelihara dari gangguan musuh, sentiasa mendapat petunjuk dari Allah swt dan berjaya dari azab akhirat.

Keempat, tujuan al-Quran adalah untuk menyucikan jiwa manusia (tazkiyyah al-Nafs). Al-Quran sentiasa menyeru manusia supaya membersihkan jiwanya dengan melakukan kebaikan. Beruntunglah orang yang dapat memimpin jiwanya ke arah keredhaan Allah swt. Secara fitrahnya, jiwa boleh terjerumus ke lembah kehinaan apabila ia tidak dididik dan jiwa boleh mencapai tahap termulia apabila ia dibersihkan. Firman Allah swt yang bermaksud, "Dan jiwa serta penyempurnaan ciptaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya."(Surah al-Syams ayat 7 sehingga 10)

Kelima, tujuan al-Quran ialah membina keluarga soleh yang menjadi teras kepada kekuatan umat. Al-Quran menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perkahwinan itu dapat melahirkan ketenangan, kebahagiaan dan rahmat. Al-Quran memerangi golongan yang menghalalkan homoseksual dan lesbian kerana ia melanggari fitrah manusia. Di samping itu, Islam juga memerangi golongan yang mengharamkan perkahwinan atas alasan bahawa perkahwinan adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Al-Quran juga memberi kedudukan yang mulia kepada wanita dengan mengangkat martabat mereka menyamai kaum lelaki dari segi amalan dan ganjaran pahala.

Keenam, tujuan al-Quran adalah untuk membina umat yang mempunyai kemuliaan dan menjadi saksi atas umat yang lain. Umat yang mengasaskan kehidupannya berteraskan kepada akidah, syariat dan akhlak Islam sekaligus membawa rahmat kepada manusia sejagat. Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidak kami utuskan kamu (Muhammad) kecuali untuk membawa rahmat bagi seluruh alam."(Surah Al-Anbiya ayat 107)

Antara keistimewaan umat Islam ialah sebagai umat rabbani yang hidup kerana mencari keredhaan Allah swt, beribadat kerana Allah swt dan menjalankan manhaj Allah swt di atas muka bumi ini. Di samping itu, ia juga adalah umat sederhana dan seimbang, umat yang sentiasa berdakwah ke arah kebaikan dan umat yang sukakan kesatuan dan bersatu padu. Inilah empat ciri umat Islam berbanding dengan umat yang lain.

Ketujuh, al-Quran menyeru kepada aspek keinsanan tolong menolong sesama manusia. Umat Islam bukan umat yang menyendiri tanpa menghiraukan bangsa yang lain. Oleh itu, Islam menghormati kebebasan beragama dan perbezaan pendapat.

Umat Islam berperanan untuk menyeru manusia ke arah hidayah Allah swt, keimanan, kemakmuran dan kebahagiaan yang hakiki. Dengan sebab demikian, Allah swt memuji umat ini kerana mereka menjalankan amar makruf wan nahi annil mungkar. Inilah tujuh perkara antara yang digariskan oleh para ulamak sebagai tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia.

~ penghargaan jilulquran.com & PoStInG AlHaUdHiE dI hAlAqAh.NeT

No comments:

Post a Comment