Assalam alaik..
Bismillah..
Allah swt berfirman dan maksudnya,
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepadaNya dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. (Surah Ali Imran ayat 102).
Kita menginginkan kehidupan yang baik bahkan setiap kita tentunya mahukan hari ini lebih baik daripada kehidupan semalam. Kehidupan diidamkan tersebut akan dicapai jika kita dinaungi keredhaan Allah swt dan didasari dengan ketaqwaan kepada Allah Taala. Memiliki kekayaan, pangkat yang tinggi dan keluarga/kawan yang ramai hanyalah kenikmatan dunia semata yang boleh kita kaburi setiap mata yang memandang telinga yang mendengar tapi sedarkah bahawa tanpa ketaqwaan kepada Allah swt kehidupan di dunia hanyalah sia-sia.
Untuk mencapai tahap kehidupan yang diredhai Allah swt memerlukan azam yang teguh, usaha berterusan dan perjuangan kerana Allah swt. Mengapa? Saat kita dilahirkan ke dunia telah sedia ada godaan dan dugaan syaitan dan hawa nafsu yang menanti. Bayangkanlah sehingga kini dua entiti ini tak pernah lelah berusaha menyesatkan kita. Ada sahaja dorongan ke arah menggelincirkan kita berbuat dosa dan maksiat. Padahal dosa dan maksiat adalah sumber kesengsaraan atau racun kehidupan. Maka untuk terhindar dari melakukan maksiat dan berbuat dosa kita perlu tahu dan sedar akan balasanNya semoga ia membantu dan mendorong kita untuk menjauhi 2 perbuatan in selamanya.. in syaa Allah.
Balasan pertama, pendosa dan pemaksiat merasa gundah dan gelisah. Mungkin orang disekitarnya tidak tahu tetapi hati orang yang menjauhi Allah swt sangat tidak stabil emosinya tidak tenteram jiwanya. Menurut ‘Aidh Al-Qarni seorang ulama islam mengatakan kesan ini yang paling ketara. Allah swt berfirman dan maksudnya,
وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَى
"Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu Maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta". Berkatalah ia, "Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, Padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?" Allah berfirman, "Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, Maka kamu melupakannya dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan."(Surah Taha ayat 124-126).
Ketenangan jiwa adalah suatu yang sangat berharga tak dapat dinilai dengan sebanyak mana wang ringgit dan harta kekayaan dimiliki tetapi mereka yang berbuat maksiat dan dosa tidak dapat merasainya. Perasaan gelisah menandakan hilangnya ketenangan jiwa dan menghancurkan kenikmatan kasar mata. Duit harta kuasa boleh dicari boleh diusahakan, perasaan ?
Balasan kedua, di antara tanda banyaknya dosa dan maksiat dilakukan adalah terhalangnya rezeki atau merasakan tidak pernah cukup walaupun penerimaan hari ini lebih banyak daripada semalam atau berduit tetapi sentiasa habis tanpa disedari. Para ulama membahagikan ia kepada dua senario iaitu pertama, terhalangnya turun rezeki itu sendiri dan kedua, terhalangnya keberkahan dari rezeki yang diterima. Pemaksiat dan pendosa menjerumuskan seseorang menjadi miskin pape hina dan sengsara.
Benarlah apa yang diungkapkan oleh sahabat Rasulullah saw iaitu Ibnu Abbas ra bahawa kebaikan memberikan kecerahan pada wajah dan cahaya di hati, kelapangan rezeki, mahabbah (kecintaan) pada hati makhlukNya. Dan kemaksiatan itu menyebabkan warna hitam (kegelapan) pada wajah dan hati, kesempitan rezeki dan kemarahan di hati makhlukNya.
Balasan ketiga, pemaksiat dan pendosa menjadi pelupa. Dikisahkan oleh Imam Ibnu Taimiyah bahawa seorang fulan menyatakan dirinya pernah melihat sesuatu yang haram sehingga ada orang soleh menegurnya, "apakah engkau tadi melihat sesuatu yang haram (dilihat)?, sungguh engkau akan merasakan balasannya meskipun tibanya nanti pada waktu yang akan datang", kata orang saleh. Maka hafalan Al-Qur’an akupun hilang ketika aku berumur lebih dari empat puluh tahun.
Imam Syafi’i pernah mengadu kepada guru beliau Imam Waki’ lantaran lemahnya hafalan beliau. Maka Imam Waki’ berwasiat agar muridnya itu meninggalkan maksiat. Ketika Imam Waki’ ditanya tentang resepi (macam sesi masakan pula.. rasa lapar la pula nih) yang paling berkesan untuk memperkukuhkan hafalan, beliau menjawab, "Demi Allah aku tidak mendapatkan petua yang paling ampuh untuk hafalan dibanding dengan meninggalkan maksiat."
Balasan keempat adalah timbulnya rasa marah di hatinya. Perasaan cinta(kasih sayang) dan marah (murka) yang ada pada diri seseorang pada dasarnya datang dari keizinan atau keredhaan Allah swt.
Cuba kita fahami hadis Nabi Muhammad saw dalam kitab Sahih Bukhari, "Apabila Allah swt cinta terhadap seorang hamba, ia akan berkata kepada Jibril “Aku mencintai fulan”, maka Jibril pun ikut mencintainya. Maka Jibril menyampaikan kepada penduduk langit bahawa Allah sw cinta kepada fulan maka cintailah ia, maka mereka mencintai fulan tersebut, kemudian ditetapkan baginya rasa penerimaan di Bumi. Dan apabila Allah swt murka kepada seorang fulan maka ia akan berkata kepada Jibril bahawa ia murka terhadap seorang fulan, maka Jibril pun murka terhadapnya dan ia menyampaikan kepada Malaikat bahwa Allah swt murka terhadap fulan maka merekapun murka kepadanya, kemudia ditetapkan kemurkaan baginya di Bumi."
Balasan kelima dari melakukan maksiat dan dosa adalah rasa keterasingan dan jurang yang jauh dari Allah swt. Keterasingan ini menghilangkan kenikmatan dan kebahagiaan dalam hidup. Walau menggunung harta dimiliki, setinggi kuasa dipunyai dan keluarga ramai tidak bermakna lagi. Rasa
Hinanya kita jika ke tahap keterasingan dari Allah swt.. nauzubillah.... diantaranya:
Hinanya kita jika ke tahap keterasingan dari Allah swt.. nauzubillah.... diantaranya:
- Hilang rasa percaya terhadap janji Allah swt. Tidak yakin terhadap rezekiNya, ketentuanNya, balasan kebaikan, syurga dan seterusnya sungguhpun diperdengarkan bacaan ayat AlQuran dan ia berlalu tanpa membekas sedikitpun dalam dirinya kerana memang ia tidak yakin dengan ayat tersebut.
- Tidak husnu zhan (Tidak bersangka baik.. first time jumpa perkataan nih) pada Allah swt.
- Tidak mahu mengaku diri bersalah kerana seakan hubungan sudah terputus dari Allah swt. Firman Allah swt tidak memberi kesan padanya apalagi untuk menginsafi diri. Dan ini adalah di antara tanda orang munafik. Imam Hasan Basri berkata, “Tidak takut kepada Allah swt kecuali orang mukmin, dan tidak merasa aman dari siksa Allah swt kecuali orang munafik”.
Balasan keenam adalah umur yang berlalu sia-sia. Seperti kata pepatah, masa itu emas. Ia adalah aset paling berharga bagi manusia. Waktu yang sudah berlalu tidakkan kembali atau digantikan. Sayang sekali kehidupan di dunia berlalu diisi dengan kemaksiatan dan dosa. Padahal kehidupan yang kita jalani di dunia sebagaimana yang diungkapkan dalam Al-Qur’an ketika menggambarkan fenomena Akhirat nanti,
كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا
Pada hari mereka melihat hari kebangkitan itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) di waktu sore atau pagi hari. (surah An Nazi’at ayat 46).
Betapa rugi orang yang mengisi waktu dan umurnya di dunia ini dengan dosa dan maksiat. Padahal dunia adalah tempat untuk kita mengumpulkan bekalan menuju Akhirat.
Balasan selanjutnya adalah azab di Akhirat. Insaflah siksaan di Akhirat sangat pedih. Terkena kuali atau air atau minyak panas yang sedikit pun telah mengeluh kesah dan berapa ramai di antara mereka yang terbakar Dunia tempat menanam dan Akhirat tempat menuai. Siapa yang ingin dibebaskan dari Neraka maka hendaknya ia meninggalkan sejauh-jauhnya maksiat dan dosa. Gambaran Neraka betapa hina penghuninya seperti firman Allah swt dan maksudnya,
رَبَّنَا إِنَّكَ مَنْ تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ
"Ya Tuhan Kami, Sesungguhnya barangsiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, Maka sungguh telah Engkau hinakan ia, dan tidak ada bagi orang yang zalim seorang penolongpun." (Surah Ali Imran ayat 192).
Manakala mereka yang selamat dari Neraka maka sungguh ia telah beruntung. Allah swt berfirman dan maksudnya,
فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا مَتَاعُ الْغُرُورِ
"Tiap yang berjiwa akan merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, Maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah Ali Imran ayat 185).
Semoga Allah swt sentiasa memberikan kita kekuatan dan keteguhan meninggalkan urusan sia-sia apalagi maksiat dan dosa. Semoga Allah swt menetapkan kita dalam laluan Islam yang benar, keImanan dan ketaqwaan kepadaNya di dunia sehingga dipenghujung nyawa.
Marilah mengarahkan hati kita untuk sentiasa taat dan mengingatNya.
ربنا اتنا فى الدنيا حسنة وفى الآخرة حسنة وقنا عذاب النار.
Penghargaan: Penulisan asal khutbah Jumaat oleh Ahmad Yani.
"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam Kitab Induk yang nyata (Luh Mahfudz)." (Surah Yaasin ayat 12).
Ramai orang berfikir setelah kematiannya, perbuatan dosanya semasa hayat akan terhenti juga tidak akan berkembang setelah dia meninggal dunia. Tahukah kita selain amal jariyah (pahala yang terus-menerus), ada juga dosa jariyah yakni berterusannya segala dosa ibarat kendati telah berkubang tanah.
"Barangsiapa yang menyeru orang lain pada kesesatan (tradisi buruk), maka dia akan menanggung dosa sebagaimana dosa yang dilakukan oleh orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa orang yang mengikutinya." (Hadis Riwayat Muslim).
Seperti mana seorang yang mengarahkan orang lain pada perbuatan baik dan akan mendapatkan kebaikan atas perbuatannya, begitu juga balasan bagi ke atas mereka yang menyeru orang lain mengikutinya. Mereka yang mengarahkan pada kejahatan, akan mendapat dosa dari orang yang mengikutinya atas sebab dia telah memotivasikan orang lain untuk melakukan dosa.
"(Ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa-dosanya dengan sepenuh-penuhnya pada hari kiamat, dan sebahagian dosa-dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikit pun (bahwa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruklah dosa yang mereka pikul itu." (Surah An-Nahl ayat 25)
Amal seorang manusia setelah wafatnya terbahagi kepada beberapa bahagian. Pertama, seorang yang meninggal dunia, kebaikan dan kejahatannya juga terputus. Dia tidak mendapat apa-apa kecuali yang telah diperbuatnya selama hidup di dunia.
Kedua, orang yang meninggal dunia, tetapi kebaikan dan keburukannya tetap berterusan. Kelompok ini terbahagi kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama, seorang yang meninggal yang mana kebaikan serta dosanya berterusan dan nasibnya di akhirat nanti tergantung dari timbangan amal kebaikan dan keburukannya. Jika lebih banyak kebaikan syurga tempatnya tetapi jika lebih banyak kejahatan neraka tempat tinggalnya.
Kumpulan kedua, orang yang meninggal dunia dan kebaikannya terus mengalir, akan sentiasa mendapat pahala sesuai kadar keikhlasannya kepada Allah swt (beruntungnya orang sebegini) tetapi jika meninggal dunia dan timbangan kejahatannya terus menggunung, (alangkah buruk dan malang nasib orang ini) tak akan mendapat tempat di sisi Allah swt.
Imam al-Ghazali, dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin menyatakan, "Sungguh beruntung orang yang meninggal dunia, maka putuslah dosa-dosanya. Dan sungguh celaka orang yang meninggal dunia, tetapi dia meninggalkan dosa yang ganjaran kejahatan terus berjalan tiada hentinya."
Alangkah bahagianya mereka yang memiliki amal jariyah dan alangkah sengsaranya seorang yang hidupnya menanam dan membajai dosa jariyah. Wallahu A'lam.
Penghargaan: penulisan H.Samson Rahman,MA
No comments:
Post a Comment