Setiap perjalanan dalam kehidupan di dunia menuntut kita menyediakan bekalan dan persiapan untuk memudahkan perjalanan yang ditempuh dan bersiap sedia menghadapi kesukaran yang mungkin terjadi di tengah jalan.
“Berbekallah dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa.” (Surah Al-Baqarah ayat 197)
Dalam konteks ayat di atas, ia berbicara tentang persiapan individu yang merancang perjalanan menuju tanah suci Mekah Al-Mukarramah untuk melaksanakan ibadah haji kerana sememangnya perjalanan ibadah haji adalah perjalanan yang 'berat'. Musim haji sangat berbeza suasananya berbanding selain musim haji tambahan pula pada masa ini didalam masjid dan persekitaran luar Masjidil Haram sedang sarat dengan projek pembesaran dan pembangunan sekurang2nya dalam tempoh 5 tahun akan datang ini. Itu hanyalah suasana luaran tetapi jika kita bersiap sedia memenuhi mendalami ilmu berkaitan pelaksanaan Haji... in syaa Allah segala kesulitan dan kesukaran diterima dengan berlapang dada kerana kita telah berbekalkan taqwa sebenar2nya kepada Sang Pencipta.
Imam Ibnu Katsir menjelaskan dalam tafsirnya bahawa orang Yaman yang berhajat melaksanakan ibadah haji mereka pergi ke Mekah tanpa membawa bekalan dan mereka mengatakan, “Kami bertawakkal kepada Allah” lalu Allah swt menurunkan ayat ini menyuruh mereka membawa perbekalan dalam beribadah haji.”
FirmanNya bahawa Taqwa adalah sebaik-baik bekal menunjukkan bahawa dalam perjalanan mendekati atau memenuhi seruan Allah swt bekal terbaik adalah bekal taqwa. Ayat tersebut juga memiliki makna tersirat iaitu manusia memiliki dua bentuk perjalanan perjalanan di dunia dan perjalanan dari dunia. Perjalanan di dunia memerlukan bekalan berbentuk makanan, minuman, harta, kendaraan, wang, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya. Sementara perjalanan dari dunia juga memerlukan bekalan khas kerana Allah swt juga seperti mengenaliNya, mencintaiNya, menjalankan perintahNya dan menjauhi semua laranganNya. Seluruh bekalan itu terhimpun dalam perkataan taqwa.
Perbekalan perjalanan dari dunia (menuju akhirat) lebih utama dari bekalan dalam perjalanan di dunia disebabkan (perbandingan antaranya dipetik dari kitab Tafsir Ar-Raazi);
1. Perbekalan dalam perjalanan di dunia menyelamatkan kita dari penderitaan yang belum tentu terjadi tetapi perbekalan untuk perjalanan dari dunia akan menyelamatkan kita dari penderitaan yang pasti terjadi.
2. Perbekalan dalam perjalanan di dunia setidaknya menyelamatkan kita dari kesulitan sementara tetapi perbekalan untuk perjalanan dari dunia akan menyelamatkan kita dari kesulitan yang tiada kesudahannya.
3. Perbekalan dalam perjalanan di dunia menghantarkan kita pada kenikmatan kebahagiaan atau rasa sakit, keletihan dan kepayahan. Sementara perbekalan perjalanan dari dunia menuju akhirat akan melepaskan kita dari perangkap merbahaya dan terlindung dari kebinasaan yang sia-sia.
4. Perbekalan dalam perjalanan di dunia memiliki sifat melepaskan dan meninggalkan sesuatu dalam perjalanan. Sementara perbekalan perjalanan dari dunia memiliki sifat kita akan lebih banyak menerima dariNya dan semakin lebih dekat dengan tujuan kehidupan dunia untuk akhirat.
5. Perbekalan dalam perjalanan di dunia menghantarkan kita pada kepuasan syahwat dan hawa nafsu. Sementara perbekalan perjalanan dari dunia akan membawa kita pada kesucian dan kemuliaan kerana itulah sebaik-baik bekalan .
Sesungguhnya perjalanan kehidupan ini masih jauh dan masih banyak bekalan yang perlu disediakan. Sendiri mahu tanya diri.. Sudah sediakah? sudah cukupkah? Maka jika kita anggar bekalan diri itu masih kurang, apa tunggu lagi kenalah berbuat sesuatu.. mungkin hari ini esok lusa kita dijemput kembali padaNya.. Semalam adalah pasti esok ketentuan Ilahi hari ini gunakanlah masa yang ada menjadi hambaNya yang diredhai.. Wallahu a’lam.
Penghargaan Zulhamdi M. Saad, Lc
No comments:
Post a Comment