Pages

Kelopak mawar

Friday, May 31, 2013

Tadabur AlFatihah Siri 4


Assalam alaik

Bismillah

 

Tafsiran Ayat 4 - مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين  (Yang menguasai hari pembalasan)

 

Sebahagian qura' membaca Malik’ dengan meniadakan alif setelah huruf mim (memendekkan mim) yang bererti Raja dan ada yang membaca Maalik (yang menguasai) dengan menggunakan alif setelah huruf mim (memanjangkan mim) yang bererti pemilik.  Kedua2 bacaan itu benar dan mutawatir dalam qira'at sab'ah.


Malik berasal dari kata al-milk (kepemilikan),
sebagaimana dalam firmanNya dalam surah Al-Mukmin(atau dikenali surah Gafir) ayat 16 yang bermaksud, "(iaitu) pada hari (ketika) mereka keluar (dari kubur); tidak sesuatu pun keadaan mereka yang tersembunyi di sisi Allah. (Lalu Allah berfirman)’Milik siapakah kerajaan pada hari ini? Milik Allah yang Maha Esa Maha Mengalahkan.’".

 

Ianya ditegaskan lagi sebagaimana fimanNya yang bererti, "Sesungguhnya Kamilah yang  mewarisi bumi* dan semua yang ada di atasnya. Dan hanya kepada Kami mereka dikembalikan." (Surah Maryam ayat 40).

*setelah seluruh alam ini hancur, maka hanya Allah swt yang kekal


Pada hakikatnya al-Malik adalah nama Allah, sebagaimana firmanNya yang bermaksud, "Dialah Allah tidak ada tuhan [yang berhak disembah] selain Dia, Maha Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Menjaga Keamanan, Pemelihara Keselamatan, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki Segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan." (Surah Al-Hasyr ayat 23).

 

Dalam kitab sahih al-Bukhari dan Muslim, diriwayatkan hadis marfu' dari Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda, "Julukan(gelaran) yang paling hina di sisi Allah adalah seseorang yang menjuluki dirinya Malikul Amlak (raja diraja) Kerana tidak ada malik (raja) yang sebenarnya kecuali Allah."


Dalam kitab yang sama, juga dari Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda, "Allah (pada hari kiamat) akan menggenggam bumi dan melipat langit dengan tanganNya, lalu berfirman, Aku adalah raja, di manakah raja-raja bumi, di manakah mereka yang merasa perkasa, dan di mana orang yang sombong?" Dalam Alquran disebutkan, "Kepunyaan siapakah kerajaan pada hari ini? Kepunyaan Allah yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan." (Surah Al-Mukmin@ Gafir ayat 16).

 

Sebaliknya, penyebutan malik (raja) selain kepadaNya di dunia hanyalah secara majaz (kiasan) sebagaimana petikan firman Allah swt pada surah Al-Baqarah ayat 247 yang bermaksud, "Dan nabi mereka berkata kepada mereka ‘Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi raja bagi kalian’...."

 

Ad-din bererti pembalasan atau perhitungan. Allah swt berfirman yang maksudnya, "Pada hari itu Allah menyempurnakan balasan yang sebenarnya bagi mereka dan mereka tahu bahawa Allah Maha Benar Maha Menjelaskan." (Surah An-Nur ayat 25).

 

Yaumiddin (hari Pembalasan) disebut juga yaumulqiyaamah, yaumulhisaab (Perhitungan), yaumuljazaa' (ganjaran), Hari Agama, Hari Ketaatan, Hari Percaturan dsbgnya. Hari pembalasan bererti hari perhitungan bagi semua makhluk yang disebut juga sebagai hari kiamat. Mereka diberi balasan sesuai dengan amalannya. Jika amalannya baik maka balasannya pun baik. Jika amalannya buruk, maka balasannya pun buruk kecuali orang yang dimaafkan. Seperti mana peribahasa Arab 'Kama tadinu, tudanu' bermaksud ‘Sebagaimana kamu perbuat begitulah pembalasannya’.

Di dunia Allah swt tidak akan menghukum amalan manusia tetapi mereka akan di hukum oleh Allah swt pada hari pengadilan. Segala bala bencana di dunia bukan merupakan hukuman sebenar hanya peringatan dari Allah swt untuk manusia membetulkan dirinya daripada ingkar kepada taat perintah Allah swt kerana balasan daripada amalan buruk di dunia adalah pada hari akhirat. Allah swt tidak akan menghukum manusia ke atas ketidakmampuan manusia makan dan minum secara selesa atau mewah di dunia ini tetapi Allah swt menghukum manusia ke atas amalan buruk semasa di dunia.

Apakah amalan buruk yang manusia lakukan di dunia? Apabila manusia tidak mahu mengucapkan Kalimah Mulia, manusia telah membuat amalan buruk dan apabila manusia yang telah mengucapkan Kalimah Mulia tetapi ingkar perintah Allah swt maka manusia juga membuat amalan buruk. Pada hari pengadilan, tiada pengadilan pada amalan manusia yang enggan mengucapkan Kalimah Mulia. Sesiapa sahaja yang enggan atau tidak mahu mengucapkan Kalimah Mulia, segala amalan lainnya akan menjadi sia-sia dan tidak di terima oleh Allah swt dan mereka akan di campakkan ke dalam api neraka. Nauzubillah...

Allah swt berfirman, "Pada hari itu kalian dihadapkan (kepada Rabb kalian), tiada sesuatu pun dari keadaan kalian yang tersembunyi (bagiNya)." (surah Al-Haaqqah: 18).

 

Allah swt adalah Raja pada hari kiamat bermaksud hanya Allah swt merupakan satu-satunya Hakim pada hari pengadilan yang mengendalikannya dengan penuh bijaksana kesaksamaan dan keadilan. Pada hari tersebut tiada hakim melainkan Allah swt dan hanya Dialah akan memberikan pertimbangan yang paling tepat pada seluruh manusia. Manusia diberi oleh Allah swt peluang semasa hidup di dunia membuat keputusan, sama ada untuk taat atau ingkar perintahNya. Jika memilih ingkar perintah Allah swt masih diberi masa untuk bertaubat selagi ia hidup di dunia ini. Peluang mentaati perintah Allah swt tamat saat ia meninggal dunia.

 

Setiap makhluk diadili pada hari pengadilan atas setiap amalan yang dilakukan di dunia. Sesiapa yang telah melakukan ketidakadilan sama ada terhadap Allah swt atau diri sendiri atau orang lain akan di dakwa di Mahkamah Allah swt dan jika  didapati bersalah tidak akan terlepas dari hukuman Allah swt. Pada hari pengadilan tiada sesiapa pun boleh menipu Allah swt kerana Allah swt mempunyai banyak saksi termasuk anggota badan untuk menunjukkan babawa  tiada peluang bagi manusia untuk menipu. Pada hari pengadilan tiada sesiapa boleh memperoleh perkhidmatan peguam bela dan peguam cara.

 

Pada hari itu tidak ada seorang pun yang dapat mengaku sesuatu dan tidak juga dapat berbicara kecuali dengan izinNya sebagaimana firman Allah swt, "Pada hari ketika ruh dan para malaikat berdiri bersaf-saf, mereka tidak berkata-kata kecuali siapa yang diberi izin kepadanya oleh Rabb yang Maha Pemurah, dan ia hanya mengatakan yang benar." (Surah An-Naba' ayat 38).


Allah swt juga berfirman, "Apakah sesungguhnya kita benar-benar (akan dibangkitkan) untuk diberi pembalasan." (Surah Ash-Shaffat: 53).


Rasulullah saw bersabda, "Orang cerdik adalah yang mahu memperbetulkan dirinya dan berbuat untuk (kehidupan) setelah kematian." (Hadis Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah, dan Ahmad). Hadis ini bermaksud orang cerdik akan senantiasa menilai dirinya, sebagaimana yang dikatakan oleh Umar bin al-Khathab, "Hisablah (buatlah perhitungan untuk) diri kalian sendiri sebelum kalian dihisab, dan timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang. Dan bersiaplah untuk menghadapi hari yang besar untuk diperlihatkannya (amal seseorang), yang mana semua amal kalian tidak tersembunyi dariNya."

Pengadilan akan hanya di berikan kepada amalan manusia yang telah mengucapkan Kalimah Mulia. Hanya sedikit dari kalangan manusia yang tidak akan di adili pada hari pengadilan kerana mereka telah melakukan amalan soleh dan mereka memperolehi darjat sebagai kekasih Allah swt dan dibenarkan masuk ke dalam syurga tanpa hisab atau perhitungan.

Kekuasaan Allah swt yang digambarkan pada ayat ke empat ini juga menerangkan unsur ancaman dan berjaga-jaga (tarhib) iaitu Dialah Penguasa hari Pembalasan. Pengkhususan kerajaan pada hari pembalasan tersebut tidak menafikannya dari yang lain (kerajaan dunia), kerana telah disampaikan sebelumnya bahawa Dia adalah Rabb semesta alam. Dihari pembalasan ini juga Allah swt menyeru semua penguasa atau raja manusia agar dibandingkan dengan kekuasaanNya pada hari tersebut. Lantaran itu Surah ini adalah umpama tazkirah secara sindiran kepada golongan penguasa agar mengingati kekuasaan yang Maha Agung.

 

Allah swt amat melaknat golongan pemerintah yang menggunakan kekuasaan mereka untuk menghancurkan manusia yang lemah. Sebagai contoh kemunculan raja Yahudi yang kemudiannya menggunakan kekuasaan untuk membinasakan manusia beriman dalam surah Al Buruj ayat 4 sehingga 7 yang bermaksud,  

"Binasa dan laknatlah orang yang membuat parit. Yang berapi kayu bakarnya. Ketiak mereka duduk di sekitarnya. Sedang mereka menyaksikan apa yang mereka buat terhadap orang beriman".

 

Wallahualam..

 

Sedikit pengisian ilmu Surah ini juga... Antara Khasiat Bacaan Surah Al-Fatihah

 

a)    Bacaan 1x, istiqomah selepas solat sunat sebelum solat subuh, insyaa Allah mendapat kemudahan mengatasi masalah hidup.

b)    Bacaan 7x, insyaa Allah mengubati demam, sakit gigi dan sengatan bisa.

c)    Bacaan 7x/20x/ 21x setiap selepas solat, insyaa Allah akan dihilangkan kesusahan dan mendapat banyak kebaikan dunia dan akhirat.

d)    Bacaan 10x, insyaa Allah merawat rabun mata.

e)    Bacaan 40x pada air atau 41x, secara jihar(bersuara) insyaa Allah mengubati pelbagai penyakit.

f)      g)    Bacaan 41x selepas solat subuh, insyaa Allah akan dihilangkan kesusahan dan mendapat rezeki yang banyak.

h)    Bacaan 70x pada air lalu diminum, insyaa Allah mendapat pelbagai ilmu dan hikmah, serta hati dibersihkan dari fikiran rosak.

i)      Bacaan 70x pada minyak urut, lalu disapu pada orang lumpuh, insyaa Allah sembuh.

j)      Bacaan 121x dengan hati yang khusyuk lalu ditiup 10x pada rantai yang mengikat orang, insyaa Allah boleh lepas.

l)        Bacaan 125x selepas solat subuh, insyaa Allah mudah makbul hajat doa.

 

Penghargaan: Prof Dr Nasoha Saabin, Dekan Fakulti Optometri, KolejUniversiti Antarabangsa Teknologi Twintech dan Diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Fathorraman Abdul Aziz, Haji Yahya Bin Laksamana Al-Khalidi Naksyabandi, Tafsir Ibnu Katsir, Tim Pustaka Imam as-Syafi'i, Tim Pustaka Imam as-Syafi'i kitab Tafsir Al Manar Muhammad Rasyid Redha dan rujukan dari beberapa buku ilmiah berkaitan doa dan rawatan.

Thursday, May 30, 2013

Tadabur Al Fatihah Siri 3

Assalam alaik..
Bismillah
 

Sedikit pengisian ilmu berkaitan surah alFatihah sebelum diteruskan ke tafsiran Ayat ke 3. Pernahkan kita teliti
surah ini?.. atau sekadar pandang dan baca selama ini...

Tahukah bahawa surah alFatihah menggunakan 21 huruf daripada 28 huruf hijaiyyah (huruf-huruf bahasa arab). Ini bermaksud, sebanyak 7 huruf tiada dalam surah al-Fatihah iaitu huruf, Tsa, Jim, Kho, Zai, Syin, Dzo, dan Fa. Mengapakah?.. Mungkin secara kebetulan .. sesungguhNya ilmu Allah swt sangat luas.. huruf-huruf ini tiada dalam Al-Fatihah mungkin kerana ia adalah pangkal kepada nama-nama Neraka yang tujuh iaitu:
Tsa= Tsabur; Jim= Jahannam; Kho= Khowiah; Zai= Zauwiah; Dzo= Dzulmah
Syin= Syakawah; Fa= Fizah/ Firqah.

Hmmm.. Allahuakbar.. surah Al-Fatihah yang mempunyai 7 ayat itu di hantarkan kepada anggota tubuh kita yang tujuh (teringat pada dia yang suka dengan angka 7 – mungkin boleh menambah koleksi ‘7’nya). Oleh itu semasa membaca surah ini bayangkan/rasakan penujuan ayat tersebut pada anggota kita.. semoga kita bertambah menghayati bacaan ummul kitab ini..

“Bismillahirrahmaanirrahim” di hantarkan kepada seluruh jasad zahir dan batin.
“Alhamdulillahirabbil‘alamiin” itu dihantarkan kepada kepala dan segala yang ada padanya.
“Arrahmaanirrahiim” dihantarkan kepada hati dan tulang belakang.
“Malikiyaumiddin” dihantarkan kepada dada dan alamul amri(alam yang paling ‘ghaib’).
“iyyakanak’budu wa iyya kanas ta‘in” dihantarkan kepada kedua tangan dan bahu.
“ihdinasirotal mustaqim” dihantarkan kepada pusat dan sulbi (hujung tulang belakang).
“sirotalladzi na’an am ta ‘alaihim, ghairil magh’du bi ‘alaihim, waladhoollin” dihantarkan kepada kedua kaki dan seluruhnya.
Setiap orang yang membaca ayat Al-Quran dengan sempurna insyaa Allah akan diisi nur dan segala fadhilatnya duniawi dan ukhrawi oleh Allah swt 

Barangsiapa yang mengamalkan pembacaan surah AlFatihah sebanyak 21x setiap malam maka insyaa Allah;
    ·         terpelihara dari sihir
    ·         terpelihara dari jin dan syaitan
    ·         terpelihara dari penyakit yang ditakuti.
    ·         diperluaskan rezeki
    ·         Mendapat kewibawaan
    ·         Ditakuti seteru
    ·         Tidak dapat dizalimi orang
    ·         Diperluaskan pemahamannya
    ·         Terpelihara dari azab kubur
    ·         Dibangkitkan di padang Mahsyar dalam keadaan bercahaya
    ·         Diringankan hisab akhirat

Tafsiran Ayat 3 - ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

 Sebagaimana firmanNya yang bermaksud, "Katakanlah kepada hamba-hambaKu, bahawa sesungguhnya Akulah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, dan bahawa sesungguhnya azabKu adalah azab yang sangat pedih." (Surah Al-Hajj ayat 49 dan 50).

Juga fimanNya, "Sesungguhnya RabbMu amat cepat seksaNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Al An'am ayat 165).


Kata al-Quthubi Allah swt menyifati diriNya dengan ArRabb yang merupakan peringatan, sedangkan ArRahman ArRahim merupakan anjuran.


Allah swt bukan sahaja Maha Pemurah dan Maha Penyayang.malah juga Yang Maha Besar, boleh buat segalanya yang Dia kehendaki dan Dia boleh memiliki segalanya yang dikehendakiNya. Allah swt Maha Kaya dan tiada yang lebih kaya dariNya. Selain Allah swt semuanya di dunia ini adalah miskin dan sangat memerlukan Allah swt Penciptanya yang Esa. Dalam kata lain segala kekayaan di dunia dan di akhirat hanya di miliki oleh Allah swt. Manusia hanya penjaga dan pemelihara kekayaan yang di beri oleh Allah swt dan manusia tidak memiliki apa-apa melainkan sebagai hambaNya.

Dia penuhi keperluan semua ciptaanNya walaupun kepada makhluk yang ingkar perintah Allah swt. Allah swt yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih kerana Dia Maha Pengampun segala dosa kita besar atau kecil melainkan dosa mempersekutukanNya. Apabila  manusia memohon keampunan Allah swt dengan bersungguh sungguh dan khususnya bertaubat dari perbuatan atau kesalahannya, in syaa Allah akan diampunkan. Allah swt memiliki kurniaan dan kekayaan tanpa batas dan tidak akan berkurangan walaupun Allah swt memenuhi semua kehendak dan keinginan semua makhluk ciptaanNya. Allah swt yang Maha Berkuasa dan tiada yang berkuasa melainkan Allah swt dan apa jua di seluruh alam semesta serta segala ciptaan Allah swt tidak akan dapat menandingi kuasaNya.

Allah swt yang memberi atau menarik balik kuasa. Namun Allah swt tidak menggunakan kekuasaanNya dalam menghukum manusia tetapi Dia memberi kuasa kepada ciptaanNya seperti angin ribut gempa bumi dsbg(mala petaka bencana kemalangan) dengan mudahnya menghancurkan manusia yang lalai terpesong dari agamaNya atau mereka yang ingkar. Allah swt menghukum manusia untuk mengingatkan agar kembali kepada sang Pencipta dan tidak berterusan melanggar perintahNya.

Apa sahaja bentuk hukuman yang di beri oleh Allah swt kepada manusia di dunia hanyalah peringatanNya, bukan hukuman sebenar. Hukuman sebenar hanya di beri oleh Allah swt pada hari akhirat. Sejarah menceritakan pada kita Allah swt telah menghancurkan banyak kaum pada zaman lalu dengan menerusi ciptaanNya seperti angin air dan tanah. Apabila hambaNya redha menunaikan tanggungjawab sebagai hambaNya, sentiasa tunduk mengakui kelemahan dan kesalahannya lalu meminta ampun dari Allah swt dan bertaubat, ingatlah Allah swt Maha Penyayang dan Maha Pengampun.

Allah swt menciptakan manusia dengan nafsu dan akal fikiran untuk berfikir dan memilih yang betul dan yang salah. Allah swt juga hantar banyak nabi dan rasul kepada manusia untuk mengingatkan dan mengajak manusia kepada Allah swt dan perintahNya. Allah swt memaafkan hambaNya yang meminta ampun dariNya dengan niat ikhlas mengharap keredhaanNya sesungguhnya Allah swt Maha Penyayang dan Maha Pengasih kepada semua ciptaanNya.

Atas dasar kash sayang si Pencipta inilah Allah swt memerintahkan orang yang beriman agar tetap beriman. Allah swt memerintahkan hambaNya yang beriman untuk mengucapkan (berdoa):"Ya Rabb kami, jangan Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, kerana sesungguhnya Engkau Maha Pemberi (kurnia)." (Surah Ali Imran ayat 8).


Penghargaan: Prof Dr Nasoha Saabin, Dekan Fakulti Optometri, KolejUniversiti Antarabangsa Teknologi Twintech dan Diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Fathorraman Abdul Aziz, Haji Yahya Bin Laksamana Al-Khalidi Naksyabandi, Tafsir Ibnu Katsir, Tim Pustaka Imam as-Syafi'i.

Doa Ulul Albab

"Segala pujian hanya untukMu, Maha Esa Maha Berkuasa Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Hanya Allah swt yang kami sembah tiada sekutu baginya. Selawat dan salam atas junjungan kami Nabi Muhammad saw ahli keluarga dan sahabat baginda saw.



Ya Allah, Bukakanlah untukku pintu-pintu kebaikan, pintu-pintu keselamatan, pintu-pintu kesihatan, pintu-pintu nikmat, pintu-pintu keberkatan, pintu-pintu cinta sejati, pintu-pintu kasih-sayang, pintu-pintu rezeki yang halal, pintu-pintu ilmu yang bermanfaat, pintu-pintu keampunanMu dan pintu-pintu syurgaMu.  Luaskanlah dan lapangkanlah bukaan pintu-pintu ini buatku semoga berkekalan kesyukuranku padaMu, mudah bagi anggota tubuhku memperbanyakkan amal ibadah tuntutanMu dan bersedekah keranaMu..

Ya Allah Engkaulah Yang Hak, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui Maha Pemelihara Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang ...Aaamiin"

Andai waktu memanggilku

Andai itu takdir dan ketentuan Allah swt kuterima dengan redha dan berlapang dada
Andai saat ini penghujungnya, takkan ku ratapi kehilangan itu walau berjujuran linangan airmata
Andai di sini penamatnya ku ikhlaskan dan halalkan semuanya
Andai mampu ku bertahan akan ku lawan dengan sepenuh sisakudrat yang ada
Andai mampu ku menahan akan ku lawan segala kesakitan yang menerpa
Andai aku masih mampu berdepan akan ku teguhkan segala persediaan,,

Assalam alaik..

Saje je.. andai andai..kita hanyalah hambaNya.. Dia Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.. jika kita tahu apa kan jadi selepas ini atau esok hari,,, tak laku la perkataan andai ini..

Wednesday, May 29, 2013

Tadabur Surah AlFatihah Siri 2


Assalam alaik..

Bismillah...

Sebelum meneruskan izinkan saya memaparkan sedikit lagi ilmu berkaitan surah ini(disebabkan teramat banyak sangat kelebihannya)..

Muslim berkata bercerita kepada kami Ishaq bin Ibrahim al-Hanzdali iaitu Ibn Rahawaih, bercerita kepada kami Sufyan bin `Uyainah, daripada al-`Ala’ iaitu Ibn `Abd al-Rahman bin Ya`kub al-Kharqi daripada Abi Hurairah ra daripada sabda Nabi Muhammad saw,

مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيْهَا بِأُمِّ الْقُرْآنِ فَهْيَ خَدَاجٌ ثَلاَثًا غَيْرُ تَمَامٍ

“Sesiapa yang mengerjakan solat tidak dibacanya Ummu al-Qur’an maka ia cacat. - baginda menyebutnya tiga kali.”

Abu Hurairah seterusnya ditanya: Kami berada di belakang imam. Abu Hurairah menjawab: Bacalah ia dalam diri kamu kerana saya mendengar Rasulullah saw bersabda,

Allah Taala berfirman
: قَسَّمْتُ الصَّلاَةَ بَيْنِيْ وَبَيْنَ عَبْدِيْ نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الحمد لله رب العالمين قال الله حَمِدَنِيْ عَبْدِيْ، وَإِذَا قَالَ الرحمن الرحيم قال الله أَثْنَىْ عَلَيَّ عَبْدِيْ ، فَإِذَا قَالَ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ قَالَ اللهُ مَجَّدَنِيْ عَبْدِيْ، وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِيْ فَإِذَا قَالَ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُ قَالَ هَذَا بَيْنِيْ وَبَيْنَ عَبْدِيْ وَ لِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ، فَإِذَا قَالَ اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمُ صراط الذين أنعمت عليهم غير مغضوب عليهم ولا الضالين قالَ اللهُ هَذَا لِعَبْدِيْ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ

Aku bahagikan al-Solat (surah al-Fatihah) antaraKu dan hambaKu dua bahagian. HambaKu pasti dapat apa yang dia minta. Apabila hamba berkata: (الحمد لله رب العالمين) Allah menjawab: HambaKu memuji syukur kepadaKu. Apabila hamba membaca (الرحمن الرحيم) Allah menjawab: HambaKu memujaku. Apabila hamba membaca (مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ) Allah menjawab: HambaKu mengagung-agungkan Daku. Sekali Allah berkata: HambaKu menyerah kepadaKu. Apabila hamba membaca (إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُ ) Allah menjawab: Ini antaraKu dan hambaKU. Hambaku pasti dapat apa yang dia minta. Apabila dia membaca

(لا الضالينصراط الذين أنعمت عليهم غير مغضوب عليهم و مُسْتَقِيْمُلْا اِهْدِنَا الصِّرَاطَ)

Allah menjawab: Ini milik hambaKu. HambaKu pasti dapat apa yang dia minta.

Secara kebetulan petang semalam saya mendengarkan perkara yang sama di atas semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.. subhanallah..mungkin kebetulan..

Siri kali ini kita lihat ayat kedua Surah AlFatihah

 ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِين

'Segala pujian bagi Allah Tuhan Yang Memelihara dan Mentadbir sekalian alam (2)

(Al Fatihah ayat 2)

 Abu Ja'far bin Jarir mengatakan, alhamdulillah bererti syukur kepada Allah swt semata (bukan kepada suatu apapun selainNya dan bukan juga kepada makhluk diciptakanNya), atas segala nikmat yang telah Dia anugerahkan kepada hambaNya yang tidak terhingga jumlahnya dan tidak ada seorang pun selain Dia yang mengetahui jumlahnya. Kesyukuran atas kurniaan kemudahan berbagai cara untuk mentaatiNya, menganugerahkan kekuatan fizikal kepada hambaNya untuk menunaikan kewajiban kepadaNya, diperluaskan rezeki kepada hambaNya di dunia serta limpahan berbagai nikmat dalam kehidupan. Hanya bagi Allah segala pujian, dari seawal kelahiran sehingga di akhir hayat.

Ibnu Jarir rahimahullah mengatakan, alhamdulillah merupakan pujian yang disampaikan Allah untuk diriNya sendiri dalam bentuk perintah kepada hambaNya supaya mereka memuji-Nya. Seolah-olah Dia mengatakan, "Ucapkanlah alhamdulillah". Ia diungkapkan melalui ucapan, perbuatan, dan juga niat menyatakan rasa kesyukuran dan terima kasih atas sifatNya yang Maha Berkuasa Maha Pemurah dan Maha Pengasih.  

Diriwayatkan dari al-Aswad bin Sari, “Aku berkata kepada Nabi saw, ‘Ya Rasulullah, mahukah engkau aku puji dengan berbagai pujian seperti yang aku sampaikan untuk Rabbku, Allah Tabaraka wa Ta'ala.’ Maka baginda saw bersabda, ‘Adapun, (sesungguhnya) Rabbmu menyukai pujian (al-hamdu).’" (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Nasa'i).

Bisyr bin Imarah meriwayatkan dari Abu Rauq dari adh-Dhahhak dari Ibnu Abbas, "Alhamdulillahirabbil 'alamin. Ertinya, segala puji bagi Allah pemilik seluruh makhluk yang ada di langit dan di bumi serta apa yang ada di antara keduanya ini adalah kepunyaanNya, baik yang kita ketahui maupun yang tidak kita ketahui."

Alif dan lam pada kata alhamdu dimaksudkan untuk melengkapi bahwa segala macam jenis dan bentuk pujian itu hanya untuk Allah swt semata. Arrabb adalah pemilik, penguasa, dan pengendali. Menurut bahasa, kata rabb ditujukan kepada tuan dan kepada yang berbuat kebaikan. Semuanya itu benar bagi Allah swt. Kata ar-rabb tidak digunakan untuk selain dari Allah swt kecuali jika dibenarkan tambahan dengan kata lain setelahnya, misalnya rabbuddar (pemilik rumah). Sedangkan kata ar-rabb (secara mutlak) hanya boleh digunakan untuk Allah swt. Ada jua mengatakan ar-rabb itu suatu nama yang agung (al-ismul a'zham). Al'alamin adalah jamak dari perkataan 'alamun yang bererti segala sesuatu selain Allah swt.

Az-Zajjaj mengatakan, al'alam bererti semua yang diciptakan oleh Allah swt di dunia dan di akhirat dan di persetujui al-Qurthubi yang mengatakan iaitu mencakupi seluruh alam (dunia dan akhirat). Menurut penulis (Ibnu Katsir) al'alam berasal dari kata al'alamatu, karena alam merupakan bukti yang menunjukkan adanya Pencipta serta keEsaanNya. Ibnu al-Mu'taz mengatakan, "Sungguh menghairankan, bagaimana mungkin seorang boleh menderhakai Rabb, atau mengingkariNya, padalah terdapat dalam segala sesuatu, ayat untukNya yang menunjukkan bahwa Dia adalah Esa."

Segala pujian hanya untuk Allah kerana tiada apa yang berkuasa di alam ini melainkan Allah swt dan tiada satu pun boleh melakukan sesuatu melainkan dengan izin Allah swt. Allah swt adalah tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam. Allah swt perintahkan manusia untuk taat segala perintahNya dan Dia memberi amaran kepada manusia untuk tidak melanggar perintahNya.

Allah swt memberi pilihan kepada hambaNya, sama ada untuk taat atau ingkar perintahNya. Apabila hambaNya memilih untuk taat perintahNya, Allah swt akan memberi keizinan untuk mentaatiNya. Sebaliknya yang dipilih adalah ingkar perintahNya, Dialah jua memberi keizinan untuk ingkar perintahNya. Ingatlah jika ingkari perintah Allah swt, manusia akan gagal di dunia dan akhirat. Sebaliknya ketaatan akan perintah Allah swt dengan meneladani  Nabi Muhammad saw dengan niat untuk sukakan Allah swt, hambaNya akan berjaya di dunia dan akhirat. Allah swt yang buat dan tentukan, tiada apa pun boleh melalukan melainkan Allah swt dan di sebabkan itu segala pujian sepatutnya hanya milik Allah swt.

Dalam kitab ‘Miftahul Jannah’ ada menyebut pujian kepada Qadim. Puji Qadim bermakna kita memuji Allah swt yang sedia ada dan teragung. Manakala pujian kepada penciptaan manusia dan insan dikenali sebagai pujian makhluk atau pujian Hadis/aradh. Pujian kepada Allah swt adalah wajar. Manakala pujian kepada makhluk dibenarkan dengan penyertaan pujian kepada penciptanya. Sebagai contoh sekiranya kita menziarahi rumah rakan kita. Kita sejurus akan memuji perabot dan bunga perhiasan dalam rumahnya. Apakah perasaan tuan rumah itu? Tentulah beliau turut merasa gembira dan suka dengan pujian kita walaupun kita hanya memuji peralatannya. Inikan pula Allah yang Maha Pencipta.

Jika kita berjaya menyempurnakan suatu pekerjaan, ini bermaksud kita diberi kebolehan oleh Allah swt untuk melaksanakan kerja tersebut dan hanya di sebabkan pertolongan dan keizinan Allah swt ini segala pujian atau kesyukuran layak diberi kepada sesiapa melainkan milik Allah swt segala pujian.

Maka jika kita menghargai kerja yang telah di sempurnakan oleh seseorang, kita sepatutnya menyebut sebegini,
‘Segala puji bagi Allah swt menerusi fulan tugasan dan  masalah ini dapat diselesaikan dan semoga Allah swt membalas fulan.’

Jika kita mengagumi seseorang kita sepatutnya berkata,
‘Segala puji bagi Allah swt yang menjadikan awak cantik , bijak etc... dan semoga Allah swt kekalkan kecantikan,  kebijakan etc.. awak.’

 Apa kata bila kita hendak mengucapkan terima kasih atau memberi ganjaran kepada seseorang yang telah membantu kita, dilafazkan,
‘Segala puji bagi Allah swt menerusi awak telah memudahkan urusan saya menyelesaikan masalah dan atas perintah Allah swt saya mengucapkan terima kasih dan memberi ganjaran yang kepada awak dan niat saya hanyalah untuk mendapatkan kerahmatan Allah swt.’

Kalau kita yang menerima ungkapan2 ni.. mesti kaki tak rasa jejak tanah kan.. sangat terharu.. APA? .. anda tak suka?.. isishish.. mudah2an kita sentiasa diberi petunjukNya.. hmm...

Salah ke kita memuji manusia? Bolehkah kita meminta pujian daripada manusia?

Dalam Surah Ali Imran ayat 188 bermaksud

لاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَواْ وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُواْ بِمَا لَمْ يَفْعَلُواْ فَلاَ تَحْسَبَنَّهُمْ بِمَفَازَةٍ مِّنَ العَذَابِ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

‘Janganlah sekali-kali kamu menyangka bahawa orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan, janganlah kamu menyangka bahawa mereka terlepas dari siksa dan bagi mereka siksa yang pedih’

 Ayat ini sebenarnya diturunkan kepada golongan munafiq dan ahli kitab yang selalu menginginkan perhatian Rasulullah saw. Kononnya merekalah asal manusia yang berpegang dengan agama tauhid. Mereka mengatakan merekalah yang layak mendampingi Rasulullah saw dan bukannya golongan penyembah berhala jahiliyyah Quraisy. Difahamkan mungkin inilah antara sebab Abdullah bin Saba’ mengasaskan fahaman Syiah apabila beliau tidak berjaya mendapat perhatian Khalifah Saiyidina Uthman Al Affan.

Wallahua'lam...

Sumber dan penghargaan: Terjemahan Lubabut Tafsir Min Ibnu Katsir (Tafsir Ibnu Katsir), Tim Pustaka Imam as-Syafi'i, Prof Dr Nasoha Saabin, Dekan Fakulti Optometri, KolejUniversiti Antarabangsa Teknologi Twintech dan Diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Fathorraman Abdul Aziz