Bismillah...
Janganlah kerana kelambatan masa (masa tetap tepat sebenarnya) atau kelewatan Allah swt memakbulkan permintaan hajat atau doa kita padahal kita telah bersungguh2 berdoa dan berusaha untuk mencapainya (bak kata hanya tunggu kun fayakun dariNya), membuat kita berputus asa... Allah swt menjaminkan penerimaan semua doa2 kita dan mengurnianya menurut pilihanNya untuk kita dan bukannya menurut kehendak kita.. dan pada waktu yang ditentukanNya bukan pada waktu kita mahukannya kerana Allah swt Maha Mengetahui Maha Pengasih dan Pemurah dan mengurniakan yang terbaik pada waktu yang terbaik untuk kita..berbaik sangkalah padaNya...sekurang2nya sesuatu yang akan kita pelajari.. erti sabar dan redha.. sangat indah.. walaupun kita terperangkap dalam kesesakan jalanraya di panas terik atau di suasana hingar bangar dsbgnya.. Apabila kita berkehendakkan sesuatu sama ada duniawi mahupun ukhrawi maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya dan kita sangat disarankanNya untuk berusaha. Jika usai berusaha sehabis kudrat kita masih tidak mampu memperoleh yang dihajati kita perlu meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai kuasa. Jika mereka juga tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita maka kita akan memohon pertolongan daripada Allah swt, menadah tangan berlinangan air mata dan rayuan serta rintihan suara menyampaikan hajat kepadaNya. Selagi hajat kita belum tercapai selagi itulah kita perlu bermohon dengan sepenuh hati padaNya. Tidak ada kesukaran bagi Allah swt untuk memenuhi hajat kita. Sekiranya Dia mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam bumi dan langit maka pemberianNya itu tidak sedikit pun mengurangi kekayaanNya. Andainya Allah swt menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak sedikit pun menambahkan kekayaan dan kemuliaanNya. Jadi, dalam soal memberi atau menahan tidak sedikit pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah swt. KetuhananNya adalah mutlak tidak sedikit pun terikat dengan kehendak, doa dan amalan hamba-hambaNya. "Dan Allah berkuasa melakukan apa yang di kehendakiNya." (Surah Ibrahim Ayat 27) "Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya." (Surah Al-Baqarah Ayat 116) "Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak." (Surah al-Anbiyaa’ Ayat 23) Sebahagian besar daripada kita tidak sedar bahawa kita mensyirikkan Allah swt dengan doa dan amalan kita. Kita jadikan doa dan amalan sebagai kuasa penentu atau setidak-tidaknya kita menganggapnya sebagai mempunyai kuasa tawar menawar dengan Tuhan, seolah-olah kita berkata, “Wahai Tuhan! Aku sudah membuat tuntutan maka Engkau wajib memenuhinya. Aku sudah beramal maka Engkau wajib membayar upahnya!” Siapakah yang berkedudukan sebagai Tuhan, kita atau Allah swt? Sekiranya kita tahu bahawa diri kita ini adalah hamba maka berlagaklah sebagai hamba dan jagalah sopan santun terhadap Tuan kepada sekalian hamba. Hak hamba ialah rela dengan apa juga keputusan dan pemberian Tuannya. Doa adalah penyerahan bukan tuntutan. Kita telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta pertolongan makhluk tetapi itu juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada kecuali menyerahkan segala urusan kepada Tuhan yang di TanganNya terletak segala perkara. Serahkan kepada Allah swt dan tanyalah kepada diri sendiri mengapa Tuhan menahan kita dari memperoleh apa yang kita hajatkan? Apakah tidak mungkin apa yang kita inginkan itu boleh mendatangkan mudarat kepada diri kita sendiri, hingga lantaran itu Allah swt Yang Maha Penyayang menahannya daripada sampai kepada kita? Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui. "Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan TadbiranNya, lagi Maha Mendalam Pengetahua-Nya." (Surah Al-Mulk Ayat 14) "Dialah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah At-Taghaabun Ayat 18) "Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansuhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?" (Surah Al-Baqarah Ayat 106) Allah swt Maha Memperhalusi, Maha Mengerti dan Maha Mengetahui merangkumi yang ghaib dan yang nyata. Allah swt yang bersifat demikian menentukan buat diriNya sesuatu yang Dia mansuhkan digantikannya dengan yang lebih baik. Dia boleh berbuat demikian kerana Dia tidak bersekutu dengan sesiapa pun dan Dia Maha Berkuasa. Seorang hamba sentiasa berhajat kepada pertolonganNya. Apa yang dihajatinya disampaikannya kepadaNya. Semakin banyak hajatnya semakin banyak pula doa yang disampaikannya kepadaNya. Kadang-kadang berlaku satu permintaan berlawanan dengan permintaan yang lain atau satu permintaan itu menghalang permintaan yang lain. Manusia hanya melihat kepada satu doa tetapi Allah swt menerima kedatangan semua doa dari seorang manusia itu. Manusia yang dikuasai oleh kalbu jiwanya berbalik-balik dan keinginan serta hajatnya tidak tetap sebaliknya Ya Rabb, Tuhan yang menguasai segala perkara tidak berubah. Manusia yang telah meminta satu kebaikan boleh meminta pula sesuatu yang tidak baik atau kurang baik. Allah swt menentukan yang terbaik untuk hambaNya tidak berubah kehendakNya. Dia telah menetapkan buat DiriNya, "Bertanyalah (wahai Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah! Ia telah menetapkan atas diriNya memberi rahmat.” (Surah Al-An’aam Ayat 12) Ingat tak di akhir doa kita dan orang yang beriman selalu mendoakan, “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. (Surah Al-Baqarah Ayat 201) Hamba yang mendapat rahmat dari Allah swt diterima doa di atas dan doa tersebut menjadi induk kepada segala doa-doanya. Doa yang telah diterima oleh Allah swt menapis doa-doa yang lain. Jika kemudiannya si hamba meminta sesuatu yang mendatangkan kebaikan hanya kepada penghidupan dunia sahaja, tidak untuk akhirat dan tidak menyelamatkannya dari api neraka, maka doa induk itu menahan doa yang datang kemudian. Hamba itu dipelihara daripada didatangi oleh sesuatu yang menggerakkannya ke arah yang ditunjukkan oleh doa induk itu. Jika permintaannya sesuai dengan doa induk itu dia dipermudahkan mendapat apa yang dimintanya itu. Oleh sebab itu doa adalah penyerahan kepada Yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui. Menghadaplah kepadaNya dan berserah diri kepadaNya serta ucapkan, “Wahai Tuhanku Yang Maha Lemah-lembut, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana! Daku adalah hamba yang bersifat tergopoh gapah, lemah dan jahil. Daku mempunyai hajat tetapi daku tidak mengetahui kesannya bagiku, sedangkan Engkau Maha Mengetahui. Sekiranya hajatku ini baik kesannya bagi dunia dan akhiratku dan melindungiku dari api neraka maka kurniakan ia kepadaku pada saat yang baik bagiku menerimanya. Jika kesudahannya buruk bagi dunia dan akhiratku dan mendorongku ke neraka, maka jauhkan ia daripadaku dan cabutkanlah keinginanku terhadapnya. Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku Yang Maha Mengerti dan Maha Berdiri Dengan Sendiri”. "Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya." (Surah Al-Qasas Ayat 68) |
No comments:
Post a Comment