Pages

Kelopak mawar

Tuesday, June 25, 2013

Berilmu Beramal Zahir Batin


Assalam alaik..
Bismillah..



Imam Ibnu Athaillah pernah berkata / mengajak kita merenung tentang perbuatan amal. Amal boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu perbuatan zahir dan perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa orang boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu mungkin tidak sama. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang dengan seorang yang lain.

Jika amalan zahir mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amalan batin. Hati yang bebas daripada bersandar kepada apa jua kategori amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap kepada Allah swt dan meletakkan pergantungan sepenuhnya kepadaNya serta menyerah sepenuhnya kepada Allah swt tanpa sebarang takwil atau tuntutan.

Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat tawar menawar dengan Allah swt bagi mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan kemurahan Allah swt untuk tunduk kepada perbuatan manusia. Allah swt Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut kehendakNya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu.

Apa sahaja mengenai Allah swt adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan Allah swt atau ‘memaksa’ Allah swt berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk. Perbuatan Allah swt berada jauh di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang.

Tidak pernah Allah swt mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang atau sesuatu. Sebelum menjadi seorang yang arif, hati manusia memang berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut mempercayai bahawa amalannya menentukan apa yang diperoleh baik di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan sedemikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan dengan PenciptaNya.

Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah swt, pergantungan itu bercampur dengan keraguan. Mereka boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah swt.

Kalam Hikmah 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita terjerumus ke lembah maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah swt itu tandanya pergantungan kita kepadaNya sangat lemah. FirmanNya bermaksud,
“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir. ” (Surah Yusuf ayat 87)

Ayat ini menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah swt meletakkan pergantungan kepadaNya walau dalam keadaan apa sekali pun. Pergantungan kepada Allah swt membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil seperti yang diharapkan.

Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah swt. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepadaNya selagi itulah Dia melimpahkan rahmatNya. Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah swt. Apa juga yang Allah swt lakukan kepada hambaNya yang beriman pasti ada hikmahNya, walaupun hajatnya tidak ditunaikan.

Keyakinan sedemikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak sekali-kali mudah atau pernah berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka menyandarkan segala perkara kepada Allah swt, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia.

Sebaliknya, orang yang tidak beriman kepada Allah swt berada dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya tertumpu kepada amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat balasan yang setimpal. Jika ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmah kebijaksanaan Allah swt mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dariNya.

Orang kafir sememangnya tidak bersandar kepada Allah swt sebab itu bila menghadapi kegagalan mereka mudah berputus asa, ia juga berlaku di kalangan sebahagian orang Islam yang mana dari segi sikapnya menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan demi kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah swt. mereka mungkin mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia. 

Mereka ini mengharapkan semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, semakin mendapat penghormatan dan terdihindar daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.

Tetapi sebahagian kaum muslimin lainnya mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang amal soleh sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab seksa api neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa selesa dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan.

Apabila sesuatu berlaku di luar jangkaannya, mereka panik dan gelisah. Musibah dan dugaan membuat mereka merasakan merekalah manusia yang paling malang di atas muka bumi ini. Tetapi bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri. Mereka lupa pada Yang Berkuasa, alpa, ego serta menyombong diri.

Lain pula bagi seseorang yang bertambah teguh kerohaniannya, dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah swt seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang mendekatkannya kepada Pencipta.

Golongan ini sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian dengan amal seperti berzikir, solat sunat, berpuasa, bersedekah dan lain-lain. Bila salah satu kebiasaannya ini tertinggal atau terlupa dilaksanakan atau melakukan kesalahan padanya maka dia berasa dijauhkan oleh Pencipta. Inilah peringkat awal orang yang mula mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.

Jadi, ada golongan yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir, dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka hajatkan.

Ahli tarekat yang masih di peringkat permulaan pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti solat dan berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah swt. Sekiranya mereka tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan anugerah Allah swt.

Dalam perkara bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah swt yang meletakkan keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.

Seterusnya, sekiranya Allah swt mengizinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam hatinya tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah seperti maksud firmanNya,
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” (Surah as- Saaffaat ayat 96)

Orang yang di dalam golongan ini tidak lagi melihat kepada amalnya. Walau sebanyak mana pun amal yang dilakukannya hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah swt kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayah dari Allah swt tentu tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah swt berfirman bermaksud,
“.. Maka ketika dia (Sulaiman).... berkata,'Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.'”  (Surah an-Naml petikan ayat 40)

Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Dia memasukkan sesiapa yang kehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmatNya (dengan ditempatkanNya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Dia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Insaan ayat 30 & 31)

Segala-galanya adalah kurniaan Allah swt dan menjadi milikNya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah swt tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Golongan ini dinamakan makam ariffin iaitu orang yang mengenal Allah swt. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun merekalah yang paling kuat mengerjakan amal ibadat.

Orang yang termasuk dalam lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah swt,  sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar suatu musibah.
 
Di awal perjalanan mendekatkan diri kepada Allah swt, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah swt. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam perjalanannya.

Apabila capai di satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab. Pandangannya beralih kepada kurniaan Allah swt. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah swt kepadanya dan kehampirannya dengan Allah swt juga kurniaanNya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali dirinya dan mengenali TuhanNya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala segi.

Bila sudah mengenali diri dan TuhanNya, pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah swt yang menerajui segala sesuatu di alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang kepada Allah swt, berserah diri kepadaNya, bergantung dan berhajat kepadaNya. Dia hanyalah hamba Allah swt yang faqir.
 

Segala kelemahan adalah dari diri sendiri.. sekadar berkongsi ilmu yang dijumpai.. apa kata kita berusaha dan berikhtiar serta memperkasakan diri menggolongkan dalam makam ariffin ini.. in syaa Allah akan dipermudahkan.. semoga kita terpelihara olehNya bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat jua..wallahualam..

No comments:

Post a Comment