Pages

Kelopak mawar

Thursday, June 6, 2013

Tadabur AlFatihah Siri 6


Assalam Alaik
Bismillah...
 
Tafsir AlFatihah Ayat 6

اهدِنَا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ
"Tunjukkanlah kami jalan yang lurus"

 Makna firmanNya, "Ihdinashshirathal mustaqim" ini adalah "Semoga Engkau terus berkenan menunjuki kami di atas jalan yang lurus itu dan jangan Engkau simpangkan ke jalan yang lainnya."

Inilah kemuncak bagi matlamat utama Surah AlFatihah yang sebenarnya iaitu suatu doa memohon jalan yang lurus. Ayat ini adalah sebenarnya doa oleh ‘yang dicipta’ kepada ‘pencipta’. Ini adalah doa yang amat penting yang perlu dipohon oleh setiap umat Islam pada setiap masa dan beruntunglah orang yang tidak meninggalkan solatnya kerana ia ada dalam Surah al Fatihah yang mana Allah swt telah mewajibkan bacaan Surah Al Fatihah ini di setiap rakaat solat.

Ini adalah amat penting bagi setiap manusia di pandu ke jalan yang lurus, jalan yang mana akan membawa seseorang menuju kepada Allah swt. Kenapakah disebut jalan yang lurus? Kenapa tidak dikatakan jalan yang satu atau jalan yang terpilih? Sifat lurus pada jalan adalah jalan yang semestinya disukai dan akan dipilih oleh seorang pemandu. Kita akan memilih jalan yang mudah dibawa tanpa memerlukan tenaga yang lebih untuk mengawal kenderaan.

Inilah perumpamaan yang digambarkan pada suatu ketika iaitu Rasulullah saw pernah menggariskan satu garisan atas tanah. Kemudian Baginda saw membuat garisan yang bercabang2 daripada garisan induk tersebut. Lalu Baginda saw membacakan Surah Al Ana'am Ayat 153 yang bermaksud,

" Dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus maka ikutilah ia, dan janganlah kamu ikut akan jalan-jalan yang lain, kelak ia akan memecah belahkan kamu"

Maksudnya, terdapat banyak jalan dan sangat banyak jalan yang terkeluar dari jalan yang lurus tetapi jalan yang lurus hanya satu. Walaupun seorang berada di jalan yang lurus, ia boleh disesatkan oleh keinginan nafsu dan hasutan syaitan yang mengiringnya ke jalan yang terkeluar dari jalan lurus iaitu jalan yang sesat kerana di sepanjang jalan yang lurus itu terdapat banyak persimpangan keluar dari jalan yang lurus dan dengan mudah kita boleh tersasar keluar ke banyak persimpangan  di jalan lurus tersebut yang membawa kepada kemurkaan Allah swt iaitu jalan menuju kesesatan.

Walaupun secara kasar perkataan Ihdina (tunjukilah kami) adalah dari perkataan hidayaat iaitu memberi petunjuk ke suatu jalan yang benar atau lurus bermaksud bukan sekadar memberi hidayah saja termasuk juga memberi taufik.

Terdapat beberapa kategori hidayah dan kurniaanNya kepada manusia sedari kecil lagi..(subhanallah)..seperti;

* Hidayah Wujdan At Tabii'y iaitu hidayah dan petunjuk yang Allah swt beri kepada manusia sejak dilahirkan seperti rasa lapar, dahaga dan panas yang tidak perlu diajar oleh ibu bapanya.

* Hidayah Al Hawas berkaitan panca indera yang memandu manusia atau sebagai reseptor untuk mendapat maklumat seperti mata, telinga dan kulit.

* Hidayah Aqli adalah petunjuk dan maklumat yang disintesis atau diproses oleh akal manusia. Melalui akal manusia tahu membezakan yang baik atau buruk. Lantaran itu bijak pandai (ulul Albab) menggunakan akalnya untuk melihat kebesaran Ilahi dan memastikan dirinya mentaati Allah swt. Allah swt ‘menyindir’ golongan pandir yang tidak mahu menggunakan akalnya untuk mendapat kebenaran (Afala ya'qilun, afala tatafakkarun)

* Hidayah Ad Din merupakan hidayah kurniaan Allah swt kepada sesiapa yang berhak. Tidak semua makhlukNya diberikan hidayah ini. Jika kita menggunakan nazarah (penglihatan dan pengamatan) untuk mencari kebenaran kita tidak akan memperolehinya kerana ketiadaan hidayah ini.

* Taufiq adalah usaha ikhtiar manusia untuk mendapatkan kebenaran. Tanpa usaha Allah swt tidak akan mengubah diri anda dan situasi kejahilan kita kepada kebenaran.

Dalam Surah As Syams Ayat 8 Allah swt berfirman,

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

"Maka diilhamkan kepada manusia jalan yang buruk (fujur) dan jalan yang baik (taqwa)"

Maka setiap manusia akan diilhamkan jalan baik dan buruk berdasarkan kemahuan dan kehendakNya. Jika manusia berdoa dan berusaha ke arah jalan kebaikan, Allah swt akan membantu dan ‘meluaskan’ dadanya untuk Islam. Rasulullah saw menegaskan bahawa orang yang diinginkan Allah swt akan kebaikkanNya maka akan diberi kefahaman ilmu agama walau apa jua latarbelakangnya.

Manakala golongan yang tidak mendapat talian hidayah Allah swt ini disebutkan sebagai golongan ilhad. Golongan yang umumnya dikenali sebagai ideologis atau golongan Mulhidun yang tidak dibenarkan memilih jalan taqwa (jalan takutkan Allah). Ciri-ciri mereka adalah,

* Kerapuhan pemikiran dan pertentangan jiwa.

Ideologi berasaskan secular dan atheis (Darwinisme dan Marxisme) terbukti menghasilkan porak peranda diseluruh dunia. Teori ini hanya menghasilkan golongan hero rimba yang menindas golongan lemah. Lihatlah teori komunisme (taa'ddudiyyah) di mana kesamarataan yang dicanangkan hanya retorik yang indah. Sebaliknya penindasan dilakukan terhadap golongan yang tidak berdaya, golongan beragama, golongan berpenyakit begitu teruk sekali.

* Mementingkan diri.

Golongan yang sesat akan sentiasa memikirkan nasibnya sahaja kerana tiada bimbingan kuasa lain yang besar. Akal dan jasad mereka adalah cagaran bagi menongkah arus kemanusiaan. Mereka mencaturkan sosiologi manusia mengikut naluri hati tanpa memikirkan hubungan erat timbal balik yang Allah swt sarankan. Akhirnya mereka terjebak dengan ideologi yang mementingkan kepentingan bangsa, negara, bangsa dan suku mereka.

* Memusnahkan sistem kekeluargaan dan sistem kemasyarakatan.

Ideologi sesat menghasilkan durjana yang lupakan kepentingan jiran, keluarga, adab sopan dan kehormatan maruah keluarga seperti yang Islam sarankan.

 

Penghargaan: Prof Dr Nasoha Saabin, Dekan Fakulti Optometri, KolejUniversiti Antarabangsa Teknologi Twintech dan Diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Fathorraman Abdul Aziz, Haji Yahya Bin Laksamana Al-Khalidi Naksyabandi, Tafsir Ibnu Katsir, Tim Pustaka Imam as-Syafi'i, Tim Pustaka Imam as-Syafi'i kitab Tafsir Al Manar Muhammad Rasyid Redha dan rujukan dari beberapa buku ilmiah berkaitan doa dan rawatan.

No comments:

Post a Comment