Pages

Kelopak mawar

Wednesday, June 5, 2013

Tadabur AlFatihah Siri 5

Assalam Alaik
Bismillah

 
Tafsir AlFatihah Ayat 5

"KepadaMulah semata kami beribadah dan kepadaMulah sahaja tempat kami memohon pertolongan" 

Seperti kata sebahagian ulama salaf bahawa surat AlFatihah adalah rahsia Alquran dan rahsia AlFatihah terletak pada ayat "Iyyakana'budu wa iyya kanasta'in. Bahagian pertama yakni "Hanya kepada-Mu kami beribadah" merupakan pernyataan lepas dari kemusyrikan manakala bahagian kedua iaitu, "Hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan" merupakan sikap berlepas diri dari upaya dan ketakutan serta berserah diri kepada Allah swt. Mengapa disusun bahawa "Iyya kana'budu" didahulukan dari "wa iyya kanasta'in" kerana ibadah kepadaNya merupakan tujuan sedangkan permohonan pertolongan merupakan cabangan ibadah. Yang terpenting didahulukan dari sekadar penting, wallahu a'lam.

Makna seperti ini tidak hanya terdapat dalam satu ayat Alquran saja, seperti firmanNya, "Maka beribadahlah kepada Allah dan bertawakallah kepadaNya. Dan sekali-kali Rabbmu tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan." (Surah Huud ayat 123).


Perkataam Na'budu diambil dari suku kata 'ibadat’ yang bermaksud kepatuhan dan ketundukan yang timbul dari perasaan ‘kagum’ terhadap kebesaran Allah swt Tuhan yang disembah dan yakin bahawa Allah swt mempunyai kekuasaan yang mutlak terhadapnya. Ibadah merupakan maqam (kedudukan) yang sangat agung yang dengannya seorang hamba menjadi mulia disebabkan disembah hanya Allah Ta'ala sahaja.
Manakala perkataan Nasta'iin (minta pertolongan) diambil dari suku kata ‘isti'aanah’ iaitu mengharapkan bantuan Allah swt untuk menyelesaikan suatu pekerjaan yang tidak mampu dikerjakan dengan tenaga sendiri.

Ayat ini menegaskan perihal ubudiyyah (perasaan yang tunduk menghambakan diri kepada Allah swt dengan sepenuh jiwa) dan tauhidnya . Disini kita melihat perkataan na'budu iaitu istilah kami sembah. Terma ini menjelaskan tauhid Rububiyyah (beri’tiqad bahawa Allah swt  bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuhan sekelian alam). Tauhid bermaksud mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah Allah swt semata-mata ini membuktikan bahawa alam maya ini mempunyai suatu pencipta dan raja segala raja lantaran adanya 'perhambaan' dan golongan 'hamba' tersebut. Manakala penegasan Uluhiyyah (menjadikan Allah swt sahaja sebagai sembahan yang sentiasa dipatuhi) terdapat pada istilah Iyyaka yang bermaksud 'hanya kepadaMu semata-mata'. Klausa ini mematikan hujah bahawa diperbolehkan kita beribadah kepada sesiapa sahaja tanpa mengira siapa tuhan kita. Tauhid adalah penyucian fikrah kita daripada kebergantungan kepada manusia dan termasuk Malaikat, Raja/pemimpin manusia, Jin Islam serta Haiwan.

Ayat ini adalah untuk mengingatkan umat Islam bahawa mengecapi kejayaan di dunia dan akhirat bergantung kepada ketaatan terhadap perintah Allah swt. Allah swt adalah pencipta manusia dan apabila manusia memilih untuk menyembah dan taat perintah Allah swt dengan niat semata2 kerana Allah swt sehingga Dia ‘menyukainya’, dengan izinNya manusia akan beroleh kejayaan. Tetapi jika manusia memilih untuk ingkar perintah Allah swt dengan menyembah selainNya atau mentaati nafsu mereka sendiri atau menuruti hasutan Iblis dan syaitan, manusia akan menemui kegagalan dan lebih teruk lagi kerugian yang amat dasyat lebih teruk daripada bankrap melainkan mereka bertaubat sebenar2nya kepada Allah swt.  Sebab itulah adanya firman Allah swt Hanya Engkaulah kami sembah yang juga bermaksud tiada tuhan melainkan Allah swt yang juga bermaksud tiada apa pun yang boleh ditaati melainkan Allah swt semata2.

Bahagian pertama ayat ini juga mengajar kita erti ibadah. Ibadah ialah suatu pekerjaan yang disertai dengan keikhlasan mendalam, niat yang tulus, bebas daripada tujuan lain dan dikhususkan untuk Allah swt. Dua bahagian ibadah iaitu:

1) Ibadah Khusus : suatu ibadah yang dimaktubkan secara jelas dalam Al Quran dan disarankan dalam Hadis dan Athar Rasulullah saw seperti Solat, Nikah, Zakat dan menunaikan haji. Ibadah ini dilarang sama sekali dilakukan penambahan dan diubahsuai dalam apa jua tamadun manusia. Ibadah khusus mempunyai syarat dan rukunya yang berpandukan kepada kaedah Rasulullah saw dan para sahabat ajmai'n.

2) Ibadah Umum : Ibadah ini dilakukan secara tidak langsung. Segala perbuatan yang diniatkan untuk mendapat pahala asalkan mengikut syara' serta tiada nas yang mengharamkannya, tidak melampaui batas dan berniat ikhlas semata-mata untukNya. Contohnya membaca buku agama dan akademik, makan, membersih rumah dan mengarang untuk berdakwah.

Al Fatihah adalah suatu surah berbentuk doa' dan berkonsepkan tawakal. Ramai ulama' yang membenarkan kita mengangkat tangan doa' semasa membaca Surah ini. Bahagian kedua ayat ini bermaksud apabila kita mempunyai masalah kita hendaklah mohon bantuan hanya kepada Allah swt. Tiada apa pun dapat membantu menyelesaikan kerumitan kita melainkan Allah swt dan hanya Allah swt yang boleh merungkai permasalahan kita dengan izinNya. Allah swt menegaskan bahawa setiap permintaan dan pertolongan yang ingin kita pinta memerlukan usaha dan bayarannya terlebih dahulu adalah perhambaan dan penundukan kepadaNya.

Firman Allah swt

وَمَا خَلَقْتُ الجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

"Dan tidak aku ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaku"
(Surah Az Zariat Ayat 56)

 Apakah perintah Allah swt sekiranya kita mempunyai masalah? Sudah tentu kita dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Ingat! masalah datang dari Allah swt dan kita dikurniakan masalah dalam berbagai bentuk sama ada untuk menyedarkan kita daripada kelakuan amal buruk kita atau menguji tahap keimanan kita kepadaNya dsbgnya. Dalam usaha untuk menyelesaikan masalah itu perintah pertama dari Allah swt adalah bertaubat padaNya dan memohon keampunanNya. Betul tak?. Pada masa yang sama kita hendaklah menahan diri kita dari mengingkari perintah Allah swt. Perintah kedua dari Allah swt adalah berusaha.. Usaha dalam bentuk ibadah pula adalah mengerjakan solat dan meminta pertolongan dari Allah swt... dan juga usaha melakukan sesuatu kerja menggunakan segala kudrat dan anggota badan yang dikurniakan Allah swt yang mana dengan izinNya akan merungkai masalah kita.

Kita diminta bertawakal selepas berusaha sebaik mungkin. Tawakal ialah menyerah diri kepada Allah swt, redha terhadap ketentuanNya mengikhlaskan niat kita dan memperbaiki sangkaan kita terhadapNya. Adapun marhalah tawakal adalah antara tingkatan tertinggi golongan sufi yang merasakan bahawa dunia ini tidak berguna padaNya.

Pokok tawakal ialah keteguhan hati kita meyakini kesemua perkara adalah ditangan Allah swt. Kemudian hati kita merasa aman dan tenang dan tidak bimbang dengan ketentuanNya. Firman Allah swt

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّل عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلِينَ

"Apabila kamu telah berazam (bertekad dan berusaha) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah sukakan golongan yang bertawakal"
( Surah Ali Imran Ayat 159)

 Namun dalam bertawakal akan ada unsur duniawi atau ikhtiar mahkluk untuknya. Ulama' menetapkan bahawa terdapat 2 jenis sebab duniawi yang boleh disertai dengan tawakal.

1) Sebab keagamaan : iaitu apabila kita berdoa, bermunajat, beribadah dengan tekun kemudian kita meminta sesuatu, maka Allah swt boleh memberi sesuatu yang kita pinta sama ada secara tunai atau ditangguhkan di akhirat mahupun diberi dalam bentuk kaffarah dosa. Namun perlu diingatkan bahawa ibadah kita bukan penentu untuk kita mendapat pertolongan dan pahala dariNya.

 2) Sebab keduniaan : iaitu lanjutan daripada usaha atau ikhtiar kita sebagai contoh mendapatkan rawatan perubatan secara moden atau tradisional untuk menyembuhkan  penyakit kita. Usaha ini juga membawa kepada pertolongan dan disertai dengan tawakal.

Ayat 159  surah Ali Imran menegaskan kepada kita agar berusaha bekerja dan menyara hidup dan bukannya meminta-minta dalam kehidupan. Manusia digesa berazam dan berusaha gigih di samping berdoa. Namun ada pengecualian kepada golongan tertentu yang dibolehkan meminta saraan daripada muslimin lain.

Sebagai contoh pada zaman Rasulullah saw, golongan Suffah diberi tugas untuk mengimarah masjid, menjaga masjid serta menjadi pendengar hadis yang setia seperti Abu Hurairah. Lantaran itulah mereka diberi makan oleh para sahabat yang lain. Pada zaman tersebut perkerjaan utama adalah berniaga. Tiada gaji tetap untuk penjaga masjid, tentera atau sebagainya. Mereka berperang bilamana diperlukan dan seluruh rakyat adalah tentera. Tugas khusus ini mula menjadi suatu kerjaya di zaman Saidina Umar ra yang mewujudkan jawatan Pegawai Pos, Tentera dan Polis bandar yang dibayar gaji tetap dan bermulalah era pekerjaan selain perniagaan dan pengkhususan ini tidak lagi dianggap sebagai orang yang tiada kerja.
 

Penghargaan: Prof Dr Nasoha Saabin, Dekan Fakulti Optometri, KolejUniversiti Antarabangsa Teknologi Twintech dan Diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Fathorraman Abdul Aziz, Haji Yahya Bin Laksamana Al-Khalidi Naksyabandi, Tafsir Ibnu Katsir, Tim Pustaka Imam as-Syafi'i, Tim Pustaka Imam as-Syafi'i kitab Tafsir Al Manar Muhammad Rasyid Redha dan rujukan dari beberapa buku ilmiah berkaitan doa dan rawatan.

No comments:

Post a Comment