Pages

Kelopak mawar

Monday, June 17, 2013

Beribadahlah Diri Bagaikan Esok Hari Matimu

Assalam alaik..
Bismillah..
 
Maut tak kenal usia. Maut tak kenal tempat dan masa. Memang tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Kematian insan tersayang banyak memberi pengajaran buat diri.. Erti sebenar taqwa, tawal redha dan sabar dalam meneruskan kehidupan seperti biasa tanpanya.. "Setiap yang bernyawa akan merasai mati" ( Surah Al-Imran petikan di awal Ayat 185)
 
Janji Allah itu pasti. Tidak pernah Dia lengah terhadap apa yang dijanjikanNya. Sekalipun janji al-Malik itu benar, namun sedikit sekali yang mengingati dan menghayati peringatan tersebut. Namun ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’ saat kematian diri sendiri. Allah swt berfirman bermaksud,
“Setiap yang bernyawa(jiwa) akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan(keburukan) dan kesenangan(kebaikan) sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiya ayat 35)
 
Terasa seperti malaikat maut tu sangat dekat dengan diri sendiri. Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat setiap wajah kita yang masih bernyawa ini 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar, sudah tentu kita tidak sesekali lalai mengingati mati. Namun malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.
Hadis Nabi Muhammad saw yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas ra bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail, ‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.’”
 
Mungkin hari ini kita masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah tiada masalah menimpa diri ditakdirkan esok hari terakhir Allah swt ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat? sedangkan kita tahu alam dunia hanyalah sementara..
 
Ajal tidak mengenal atau memilih sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin, berpangkat atau berpengalaman. Rasulullah saw juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian. Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan. Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan). Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi Muhammad saw bermaksud,
“Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama berpeluh pada pelipis pipinya,  kedua berlinang air matanya dan ketiga lubang hidungnya kembang kempis. Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpanya.” (Hadis Riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)
 
Kematian ‘menjemput’ manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha. Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.
Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah saw bermaksud, “Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”
 
Ada juga orang Muslim yang berdosa rohnya disentap secara kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya. Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas. Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.
 Firman Allah swt bermaksud,

"Di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu (apabila sampainya ajal) sekalipun kamu berada di dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh" (Surah An-Nisa petikan awal ayat 78)

Mungkin ketika ini kita merasa masih terlalu awal untuk memikirkan soal kematian, masih muda remaja dan masih belum puas berseronok di muka bumi ini. Setiap saat yang berlalu  usia kita semakin meningkat tetapi berkurangnya hayat dikandung badan. Janji Allah swt itu benar sekalipun kita cuba untuk mendustakannya. Firman Allah swt bermaksud,
 "Katakanlah (Wahai Muhammad), Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah,yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan" (Surah al-Jumu'ah ayat 08)

Tanda kematian menurut Ulama’ adalah benar dan wujud. Cuma amalan dan ketakwaaan individu akan membezakan kepekaan kita kepada petanda ini. Rasullullah saw diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara langsung kesukaran menghadapi sakaratul maut dari awal hinggalah akhir hayat baginda.

Imam Al-Ghazali diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratul maut secara bersendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali. Cuma sampai bahagian tubuh dan kepalanya sahaja, beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.

Riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah swt tidak pernah berlaku zalim kepada hambaNya. Tanda yang diberikan adalah agar kita sentiasa bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah swt. Semua tanda ini akan berlaku kepada orang Islam sahaja manakala orang kafir  yang menyekutukan Allah swt, nyawa mereka akan terus direntap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah swt.

Antara petanda ini terbahagi kepada beberapa bahagian;

Tanda 100 hari
Ini adalah tanda pertama dari Allah swt kepada hambaNya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.

Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan mengigil. Contohnya seperti lembu yang baru saja disembelih di mana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati dagingnya seakan-akan bergetar. Masa yang ada ini adalah peluang  terbaik jika dimanfaatkan untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati. Bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda kematian maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadirannya.   

TANDA 40 HARI Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arasy Allah swt. Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Kadang kala Malaikat Maut ini akan
memperlihatkan wajahnya sepintas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan
seakan bingung seketika. Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk
mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

TANDA 7 HARI
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan. 
 
TANDA 3 HARI Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi
banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan
perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu di mana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.


TANDA 1 HARI
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun. Jika benar berlaku menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

TANDA AKHIR
 Kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah swt yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula. Sesungguhnya mengingati mati itu adalah bijak.
 
Baginda Rasullullah saw bersabda bermaksud,
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."
Sambung Rasullullah saw lagi,
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail as akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail as."

Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail as akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah swt menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata,
 "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah swt" Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah swt dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah swt berfirman bermaksud,
"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan." Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata, "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu." Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata, "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata, "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah swt dan kemudian Allah swt berfirman maksudnya, "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah swt. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah swt maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar ra telah ditanya tentang ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar ra, "Roh itu menuju ketujuh tempat:-
 1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah saw, "Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-
 1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.

Jika ada 20 tanda2 berikut, mati anda adalah mati yg baik (Husnul Khatimah)
1) Dapat mengucap kalimah tauhid (La ilaha illaLlah).
Dalilnya hadis dari Muaz bin Jabal ra sesiapa yang akhir ucapannya ialah La ilaha illaLlah maka ia dapat masuk Syurga - Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim). Justeru itu, hendaklah kita mentalqin orang kesayangan kita ketika sakratul maut supaya dia sempat mengucap.

2) Mati hari jumaat.
Dalilnya hadis riwayat Abdullah bin Amru bin al-Ash  iaitu orang Muslim yang mati di siang hari Jumaat atau malam Jumaat, nescaya Allah swt selamatkankan dia dari fitnah kubur - Hadis Riwayat Ahmad dan Tarmidzi. Tidak bererti mati di hari selain jumaat tidak baik kerana baginda saw sendiri wafat pada hari isnin.

3) Percikan peluh di dahi
Mati orang beriman itu dengan percikan peluh di dahinya - Hadis Riwayat Ahmad, Tarmidzi, an-Nasa`iy, Ibn Majah, dan al-Hakim.

4) Mati syahid di medan Jihad.
Barangsiapa yang terbunuh pada jalan Allah swt(medan perang) adalah mati syahid. Barangsiapa yang mati pada jalan Allah, maka ia mati syahid Hasi Riwayat Muslim. Terbunuh (Mati syahid di medan perang jihad) mungkin susah buat kita umat Melayu, kecuali mereka yg berada di medan Palestin, Iraq
 
5) Mati di jalan Allah.
Ada hadis yang menyebut bahawa barangsiapa yang terbunuh pada jalan Allah (medan perang) adalah mati syahid. Mereka yang mati pada jalan Allah, dia mati syahid - Muslim. Contohnya wanita Muslimah yang mati di Jerman, dibunuh hanya kerana dia bertudung.

6) Mati kerana wabak taun. Pada zaman dahulu wabak yang dikenali hanya taun. Pada masa sekarang, terdapat banyak lagi wabak yang dikenali seperti selsema burung, SARS dan sebagainya. Sesiapa yang mati kerana dilanda wabak berkenaan, matinya termasuk dalam kesudahan yang baik

7) Mati kerana lemas (al-gharq) seperti mereka yang lemas kerana banjir, tsunami dan sebagainya

8) Mati kerana sakit zat al-janb (paru-paru). Zat al-Janb maksudnya sakit tumbuk rusuk atau sakit sesak nafas, orang zaman dulu namakan ia zat alJanb, sekarang dikenali dgn pneumonia atau sakit paru-paru berair. Maka mereka yg mati disebabkan oleh komplikasi paru-paru adalah mendapat husnul khatimah.

9) Mati kerana komplikasi perut. Mati kerana komplikasi perut ni banyak jenis melibatkan perut dan intestines (usus), yang paling biasa ialah appendix dan kanser usus. Jadi jika seseorang membawa maut kerana ada komplikasi perut dan usus, maka ia mendapat husnul khatimah, dapat syahid

10) Mati kerana kebakaran. Sering kita membaca akhbar orang Islam yg mati kerana kebakaran baik rumah atau kenderaan yang terlibat dgn kecelakaan jalanraya yg bertukar menjadi kebakaran. Mereka ini juga termasuk dalam mati yg baik. Berilah berita gembira kepada keluarganya.

11) Mati kerana ditimpa keruntuhan seperti ditimpa batu, tanah runtuh dan sebagainya

12) Perempuan yang mati disebabkan anak yang dikandungnya. Dengan penjagaan kesihatan dan polisi kerajaan, ditambah dengan kecanggihan teknlologi perubatan yang moden, jumlah kematian akibat kelahiran agak menurun di negara kita sekarang. Namun jika ada ibu yang meninggal kerana bersalin, dia mendapat syahid.

13) Mati kerana batuk kering. (dan mati kerana batuk kering adalah syahid- tabraniy)

14) Mati kerana menjaga harta. (Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya dia mati syahid- Muslim)

15) Mati kerana mempertahankan agama. Dari Said bin Zaid (Barangsiapa yg mati kerana mempertahankan agamanya, maka dia syahid- Tarmizi).

16) Mati kerana mempertahankan diri dan keluarga. (barangsiapa yang mati kerana mempertahankan darahnya (nyawanya) dia syahid, juga yang mati kerana mempertahankan nyawa ahli keluarganya- tarmizi). Perompak memecah masuk dan selepas melakukan rompakan, mereka hendak memperkosa anak dan isterinya, maka ketika itu dia melawan, lalu dibunuh, maka itu adalah tanda mati syahid atau mati baik.

17) Mati ketika berkawal, menjaga sempadan dan bertugas. Hal ini khusus untuk pengawal keselamatan, tentera dan mujahidin. Berkawal sentri sehari semalam lebih baik daripada berpuasa sebulan dan mendirikan malamnya. Sekiranya ia mati, mengalir kepadanya pahala amalan yang telah dikerjakannya, berterusan rezeki kepadanya dan aman dari fitnah (azab) kubur-Muslim)

18) Mati ketika sedang mengerjakan amal soleh. Dari Hudzaifah ra, Nabi saw bersabda, "Barangsiapa mengucap syahadah dengan ikhlas, lalu mati, dia masuk syurga. Sesiapa yg berpuasa sehari dgn ikhlas, lalu mati, dia masuk syurga. Sesiapa bersedekah dgn satu sedekah dgn ikhlas lalu dia mati ketika itu, dia masuk syurga"- Ahmad. Seseorang yang meninggal ketika sedang mengerjakan amal soleh, maka dia mati dengan petanda yang baik

19) Meninggal di kota Madinah. Ibnu Umar ra berkata bahawa Nabi saw bersabda, "Barangsiapa yang mampu mati di Madinah, hendaklah dia mati di situ kerana sesungguhnya aku akan memberi syafaat terhadap sesiapa yang mati di situ"- Ahmad, Termizi, Ibn Majah, Ibn Hibban.

20) Mati dibunuh oleh pemerintah zalim.
Dari Jabir ra (penghulu syuhada’ ialah Hamzah Abdul Muttalib dan lelaki yang berdiri kepada penguasa yang zalim, maka dia menyeru dan menegah penguasa tersebut lalu dia dibunuh- al-Hakim.

20 perkara ini merupakan petanda kematian yang baik seperti disebutkan oleh Nabi Muhammad saw dalam hadis yang pelbagai. Timbul persoalan, apakah insan kufur dan syirik juga mendapat syahid hanya kerana mati pada hari jumaat? Atau hanya kerana mati lemas? Sedangkan kufur dan syirik merupakan sebesar-besar dosa. Petanda ini diibaratkan seperti keuntungan berlipat ganda dan menggiurkan namun bagaimana kita inginkan keuntungan berkenaan jika kita tidak berniaga dan tidak mempunyai modal asas. Apa yang penting, kita hendaklah terlebih dahulu mengukuhkandiakan tapak dengan mengerjakan solat, puasa, zakat dan perintah Allah swt yang lain serta meninggalkan larangaNya. Sama-samalah kita berdoa semoga kita semua mendapat mati dalam keadaan yang baik.

Para ulama telah membahagikan syahid kepada syahid besar dan kecil. Syahid besar (ada juga menyebutnya sebagai syahid dunia akhirat) ialah mereka yang mati di dalam peperangan menegakkan agama Allah swt. Mereka tidak perlu dimandi dan dikapankan. Sementara syahid kecil (disebut juga sebagai syahid akhirat) merujuk kepada mereka yang mati dalam keadaan husnul khatimah selain daripada kes mati dalam perang. Contohnya seperti mati kerana sakit perut, mati kebakaran, mati lemas, wanita yang mati bersalin dan sebagainya.

 Hakikatnya ajal itu ketetapan Allah swt yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya tetap nyata dalam takdir Allah swt bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera Allah swt yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya. Namun, adalah menjadi hak Allah swt untuk menentukan kematian seseorang itu saecara bersebab atau tidak.

Iblis dan Syaitan akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia sejak terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut.
Syaitan mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.
Hadis Rasulullah saw menerangkan bermaksud, “Ya Allah aku berlindung denganMu daripada perdayaan Syaitan di waktu maut.”

Rombongan 1
Akan datang Syaitan dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lainnya serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Syaitan itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah swt. Inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2
Akan datang Syaitan kepada orang yang di dalam sakaratul maut itu menyamarkan sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang di dalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah swt., matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3
Akan datang Syaitan mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan menyamarkan seperti binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah swt, matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4
Akan datang Syaitan menyamarkan sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya

Rombongan 5
Akan datang Syaitan menyamarkan seperti rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Syaitan, berkata dengan merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.” Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6
Akan datanglah Syaitan menyamarkan sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab, lalu berkata, “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Syaitan yang menyerupai ulamak dengan berkata, “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati di dalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?” Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.” Berkata ulamak Syaitan, “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah swt hendaklah kamu patuh kepada kami.” Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dipamerkan oleh Syaitan bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu, “Bagaimanakah Zat Allah?” Syaitan merasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulamak palsu, “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. “
Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi. Berkata Syaitan. “Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah.” Berkata orang yang dalam sakaratul maut, “Wahai guruku, bukankah ini benda yang sangat besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini.” Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7
Rombongan Syaitan yang ketujuh ini Syaitan terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad saw bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat. Ketahuilah bahawa Syaitan itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlainan di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Syaitan dan Iblis yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sebuah hadis yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu, 'Laa Ilaaha Illallah..'

 Wallahualam…
 
penghargaan: http://penpatah.blogspot.com dan rujukan beberapa blog serta bahan pembacaan






 


 



 
 


 



 
 






 

No comments:

Post a Comment