Pages

Kelopak mawar

Thursday, June 6, 2013

Tadabur Surah AlFatihah Siri 7 - Akhir

Assalam alaik
Bismillah...

Tafsir AlFatihah Ayat 7

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

" Jalan orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat "

 Selepas kita melihat maksud kemuncak Surah AlFatihah iaitu pada ayat ke6 kita perlu tahu rahsia di sebalik jalan tersebut. Jalan yang kita pohon tersebut mengandungi taqyid (syarat)nya yang tersendiri. Dalam ayat ke-7 ini kita akan mengenalpasti syarat tersebut.

Yang dimaksudkan oleh ayat terakhir Surah AlFatihah ini adalah tunjukkanlah kepada kami jalan  orang yang telah Engkau berikan nikmat kepadanya iaitu mereka yang memperoleh hidayah, istiqamah, dan ketaatan kepada Allah swt dan RasulNya serta mengerjakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Bukannya jalan orang yang mendapat murkaNya, mereka yang telah ‘rosak’ sehingga meskipun mereka telah mengetahui kebenaran, tegar menyimpang dariNya. Bukan juga jalan orang yang sesat, iaitu orang yang tidak memiliki ilmu pengetahuan sehingga mereka berada dalam kesesatan serta tidak mendapatkan jalan menuju kebenaran.

Semestinya jalan yang kita pilih adalah jalan yang dikurniakan nikmat Allah swt pada golongan terdahulu dan akan datang. Jalan atau disebut tali sejahtera ini merupakan nikmat yang tertinggi. Sebagai makhluk yang lemah, kita memerlukan bantuan pencipta kita untuk memandu akal kita berfikir dalam memilih jalan hidup kita sama ada jalan taqwa ataupun jalan fujur(fasik).

Orang yang diberikan nikmat oleh Allah swt itu adalah orang yang dimaksudkan dalam surah An-Nisa' Ayat 69-70 yang bererti, "Dan barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya, mereka itu akan bersama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi, para shiddiqun, orang yang mati syahid, dan orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaiknya. Yang demikian itu adalah kurnia dari Allah, dan Allah cukup mengetahui."

Golongan yang dijamin mendapat nikmat melalui jalan lurus atau laluan kesejahteraan ini adalah para Rasul dan Nabi, Syuhada' yang menyaksikan keesaan Allah swt melalui penjualan nyawanya sendiri, solehin yang sentiasa beramal, golongan mujahidin yang istiqamah, serta golongan lain yang dijamin dalam ayat Al Quran sendiri.

Tanpa panduan dari Allah swt seseorang akan mudah terkeluar ke jalan kesesatan kerana ia merupakan jalan yang diwarnai dengan hawa nafsu dan keseronokan tanpa dugaan dan kesusahan. Maka Allah swt perintahkan umat Islam untuk terus sentiasa meminta kepadaNya agar diberi petunjuk dan hidayah untuk sentiasa kekal berada di jalan yang lurus.

Kehidupan kita di dunia merupakan satu perjalanan menuju akhirat dan melaluinya menuntut kita mengumpul sebanyak bekalan (amal ibadah sedekah dsbgnya) sebab itu hidup kita di dunia ini terdapat banyak dugaan, kemalangan, kenikmatan, kesusahan dsbnya yang diibaratkan sebagai cabangan di jalan yang lurus ini. Segalanya yang menimpa(persimpangan atau cabangan) manusia datang dari Allah swt untuk menguji manusia sama ada kita akan terus berada di jalan yang lurus atau tersasar terkeluar dari jalan yang lurus mengikuti persimpangan kesesatan seperti yang di nyatakan dalam Surah Al Fatihah(sebagai jalan mereka yang dimurkai dan jalan mereka yang menuju kesesatan). Senang citer yang dimaksudkan dengan ‘mereka yang dimurkai dan mereka yang sesat’ ialah semua golongan yang menyimpang dari ajaran Islam.

Orang Yahudi dan Nasrani adalah contoh golongan sesat dan mendapat murkaNya. Siapakan mereka yang membawa kepada kemurkaan Allah swt? Dikatakan oleh Ulama' mufassirin, golongan yang cuba ditonjolkan dalam ayat ini ialah golongan Yahudi. Sifat Yahudi mendapat kemurkaan sebagaimana difirmankan Allah swt mengenai mereka (orang Yahudi),

"Iaitu orang yang dilaknat dan dimurkai Allah." (Surah Al-Maidah Ayat 60).

...dan siapa mereka yang menuju kesesatan? Dalam hal ini, ulama' mengatakan golongan ini ialah golongan Nasrani atau yang menganuti agama Kristian. Sifat Nasrani adalah kesesatan sebagaimana firmanNya mengenai perihal mereka, "Orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad saw) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan manusia, dan mereka tersesat dari jalan lurus." (Surah Al-Maidah Ayat 77).

Jalan orang yang beriman itu mencakupi pengetahuan akan kebenaran dan pengamalannya, sementara itu orang Yahudi tidak memiliki amal dan orang Nasrani tidak memiliki ilmu (agama). Sebab itu kemurkaan bagi orang Yahudi dan kesesatan bagi orang Nasrani. Walaupun kita mengakui keislaman kita dan kita adalah orang yang berilmu tetapi bila kita tidak beramal dengannya di jalan Islam yang berhak atas kita (seperti Yahudi) akan turut mendapat kemurkaanNya berbeza pula orang yang tidak memiliki ilmu (Nasrani) adalah dalam kesesatan yang nyata.

Rumusan Surah AlFatihah


1. Surat yang terdiri daripada tujuh ayat ini mengandung pujian, kemuliaan dan pengagungan kepada Allah swt melalui penyebutan asmaul husna milikNya disertai sifat-sifat yang Maha Sempurna. Juga mencakupi penyebutan tempat kembali manusia iaitu hari pembalasan. Ia juga berisi bimbingan kepada para hambaNya agar mereka memohon dan tunduk kepadaNya serta bersungguh2 berusaha secara berterusan disulami tulus ikhlas mengabdi kepadaNya, mengEsakan dan menyucikanNya dari sekutu atau tandingan. Juga bimbingan agar memohon petunjuk kepadaNya ke jalan yang lurus iaitu agama yang benar serta ditetapkan pada jalan tersebut agar mudah meniti jalan sirat pada hari kiamat kelak menuju ke syurga di sisi para nabi, shiddiqin, syuhada dan orang soleh (bercirikan targhib[anjuran]). Serta peringatan agar tidak menempuh jalan kebatilan supaya tidak digiring bersama penempuh jalan tersebut pada hari kiamat iaitu mereka yang dimurkai dan tersesat.

2. Selesai membaca Al-Fatihah disunnahkan bagi seseorang untuk mengucapkan "Aamiiin". Seperti ucapan "Yasin". Boleh juga mengucapkan amin dengan alif dibaca pendek, artinya adalah "Ya Allah kabulkanlah". Berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad, Abu Daud, dan at-Tirmidzi, dari Wail bin Hujur, katanya aku pernah mendengar Rasulullah saw membaca, "Ghairilmaghdhubi'alaihim waladhdhalin", lalu beliau mengucapkan, "Amin" dengan memanjangkan suaranya. Adapun menurut riwayat Abu Daud, dan beliau mengangkat suaranya. At-Tirmidzi mengatakan, hadis ini hasan. Hadis ini diriwayatkan juga dari Ali, Ibnu Mas'ud dan lain-lainnya.


Dari Abu Hurairah, katanya, apabila Rasulullah saw membaca, "Ghairilmaghdhubi'alaihim waladhdhalin", maka beliau mengucapkan "Amin" sehingga terdengar orang yang dibelakangnya pada barisan pertama. Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah. Ibnu Majah menambahkan pada hadis tersebut dengan kalimat, "Sehingga masjid bergetar kerananya." Serta (hadis ini pun diriwayatkan oleh) ad-Daruquthni, ia mengatakan, hadis ini berisnad hasan.


"Disunahkan juga mengucapkan 'amin' bagi orang yang membacanya di luar solat. Dan lebih ditekankan bagi orang yang mengerjakan solat, baik ketika munfarid (sendiri) mahupun sebagai imam atau makmum, serta dalam keadaan apa pun, berdasarkan hadis dalam kitab sahih al-Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah ra, bahawa Rasuullah saw bersabda, ‘Jika seorang imam mengucapkan amin, maka ucapkanlah amin, sesungguhnya barangsiapa yang ucapan aminnya bertepatan dengan aminnya malaikat, maka akan diberikan ampunan baginya atas dosa-dosanya yang telah lalu.’"

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah saw bersabda, "Jika salah seorang di antara kalian mengucapkan amin di dalam solat, dan malaikat di langit juga mengucapkan amin, lalu masing-masing ucapan amin dari keduanya saling bertepatan, maka akan diberikan ampunan baginya atas dosa-dosanya yang telah lalu."


Dalam sahih Muslim diriwayatkan hadis marfu' dari Abu Musa, bahawa Rasulullah saw bersabda, "Jika seorang imam telah membacakan waladh dhallin, maka ucapkan, 'Amin'. Niscaya Allah mengabulkan permohonan kalian."

Majoriti ulama mengatakan bahwa makna amin itu adalah ya Allah perkenankanlah untuk kami.


Para sahabat Imam Malik berpendapat, seorang imam tidak perlu mengucapkan amin, cukup makmum saja yang mengucapkannya. Berdasarkan pada hadis riwayat Imam Malik dari Sami, dari Abu Shalih, dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah saw pernah bersabda, "Jika seorang imam telah membaca waladh dhallin, maka ucapkan, 'Amin'."


Mereka juga menggunakan hadis dari Abu Musa a-Asy'ari yang diriwayatkan Muslim, Rasulullah saw bersabda, "Jika ia telah membaca waladh dhallin, maka ucapkan, 'Amin'."
Dan dalam hadis dalam muttafaq 'alaih, "Jika seorang imam telah mengucapkan, 'Amin', maka ucapkanlah, 'Amin'."


Dan Rasulullah saw sendiri mengucapkan amin ketika beliau selesai membaca "ghairilmaghdhubi'alaihim waladhdhalin."




Penghargaan: Prof Dr Nasoha Saabin, Dekan Fakulti Optometri, KolejUniversiti Antarabangsa Teknologi Twintech dan Diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Fathorraman Abdul Aziz, Haji Yahya Bin Laksamana Al-Khalidi Naksyabandi, Tafsir Ibnu Katsir, Tim Pustaka Imam as-Syafi'i, Tim Pustaka Imam as-Syafi'i kitab Tafsir Al Manar Muhammad Rasyid Redha dan rujukan dari beberapa buku ilmiah berkaitan doa dan rawatan.

No comments:

Post a Comment