KEMATIAN adalah satu perkara
pasti yang mesti dilalui setiap manusia. Maka kita perlu menyediakan bekalan
secukupnya bagi menghadapinya.
Kematian bukanlah jalan pengakhiran kerana
kita akan melalui alam barzakh sebagai tempat persinggahan sebelum menuju alam
akhirat.
Jika baik amalan kita di
dunia, maka baik juga ketika berada di alam kubur. Sebaliknya, jika buruk
amalan kita maka seksaan berat pasti menanti.
Sedar atau tidak, sesungguhnya
manusia sedang menuju kepadanya. Tidak kira tua, muda, sihat atau sakit ia
proses alamiah kepada sebuah kehidupan.
Allah berfirman yang
bermaksud: “Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu semua melarikan diri
darinya itu, pasti akan menemui kamu, kemudian kamu semua akan dikembalikan ke
zat yang Maha Mengetahui segala yang ghaib serta yang nyata.” (Surah Jum’ah
ayat 8)
Sentiasa mengingati mati dan
bersiap sedia menghadapinya supaya kita dapat menuju ke alam baka dengan
membawa kemuliaan dunia dan akhirat.
Sesungghnya Zat Yang
Mensyariatkan telah menjadikan beberapa tanda yang jelas untuk menunjukkan
husnul khatimah. Allah swt telah menetapkannya dengan kurniaan dan
kenikmatanNya. Maka siapa saja yang meninggal dengan memiliki salah satu
tandanya ini maka itu merupakan berita gembira kerana tandanya meninggal dunia
dalam keadaan husnul khatimah seperti yang terdapat dalam AlQuran dan sunnah:
Pertama: Mereka yang dapat
mengucapkan kalimah syahadah/toyyibah sebagai
ucapan terakhir menjelang kematiannya sebagaimana ditunjukkan dalam banyak
hadis sahih di antaranya:
Dari Mu`adz bin Jabal ra,
Rasulullah saw bersabda : "Barang siapa ucapan terakhirnya 'La ilaha
illallah’, maka dia masuk syurga" (Hadis Riwayat Hasan, Abu Daud &
Al-Hakim).
Dari Anas bin Malik ra,
Rasulullah saw bersabda, "Sebaik-baiknya zikir adalah La ilaha illallah
dan sebaik-baiknya doa adalah Alhamdulillah" (HR At-Turmidzi & Ibnu
Majah).
Kerana itulah sunnah
hukumnya membimbing orang yang sedang sakaratul maut untuk mengucapkan kalimah
tahlil.
Dari Abi Sa`id Al-Hudri ra,
Rasulullah saw bersabda : "Bimbinglah orang mati kalian untuk mengucapkan
La ilaha illallah" (Hadis Riwayat Muslim).
Kedua: Di tinjau dari
kegiatan terakhirnya, apabila seseorang di masa akhir hidupnya beribadah baik
ibadah mahdah(mengikut rukun atau bersyariat) mahupun ghairu mahdah dan dia
meninggal dalam keadaan beribadah atau usai menjalankan ibadah maka itulah
tandanya dia mati dalam keadaan husnul khtimah.
Dari Ali bin Abi Tholib ra
berkata : "Suatu hari aku nak menunaikan solat subuh di masjid bersama
Rasulullah saw, tapi di tengah jalan aku bertemu dengan seseorang yang sudah
bergegas juga mauh ke masjid untuk menunaikan solat subuh, aku terus berjalan
dibelakangnya, dan ketika kami berdua sampai di masjid ternyata solat berjemaah
sudah usai, akhirnya aku solat subuh berjamaah dengan saudara itu, dan ketika
aku memberi salam tahiyyat akhir saudara itu tetap bersujud dan ternyata
saudara itu telah meninggal dunia, lalu para sahabat bertanya kepada Rasulullah
saw, "Ya Rasulullah, bagaimana keadaan saudara ini di akhirat?"
Rasulullah saw menjawab, "Dia masuk syurga" (Hadis Riwayat Ahmad
& Daruqutni)
Ketiga: Kematian yang
disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau peluh berdasarkan Buraidah Ibnul Khasib (bahawa
ketika dia berada di Khurasan sedang menziarahi seorang sahabatnya yang sakit
dia mendapati sahabatnya itu sudah meninggal dan dikeningnya berkeringat lalu
berkata, "Allahu Akbar", aku mendengar Rasulullah saw bersabda,
"Kematian seorang mukmin disertai keringat dikeningnya." (Hadis
Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan
ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)
Keempat: Ramai orang soleh
meninggal dunia pada malam jumaat atau siangnya sebab itu dipercayai meninggal
dunia pada hari jum`at adalah tanda kematian husnul khatimah.
Dari Ibnu Umar ra,
Rasulullah saw bersabda, "Tiada seorang muslim yang meninggal pada hari
atau malam jumaat, kecuali Allah akan menyelamatkannya dari seksa kubur"
(Hadis Riwayat Ahmad & At-Turmudzi).
Dari Abi Hurairah ra,
Rasulullah saw bersabda,"Sebaik-baik hari adalah hari jumaat, kerana pada
hari jumaat itulah Adam di ciptakan. Pada hari jumaat ia di masukkan ke syurga
dan pada hari jumaat ia di keluarkan dari syurga. Pada hari jumaat ia wafat dan
tidak akan terjadi kiamat kecuali hari jumaat" (Hadis Riwayat As-Syafi`I
dan Ahmad).
Kelima: Meninggal dalam
keadaan syahid di medan perang sebagaimana firman Allah swt bermaksud,
"Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang yang terbunuh di
jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka (169)
Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka, dan memberi
khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka dibelakang janganlah
mereka takut dan sedih (170) Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan
dari Allah dan kurniaNya dan bahawa Allah tidak menyia-nyiakan balasan bagi
orang beriman) (Surah AlImran ayat 169-171).
Rasulullah saw bersabda,
"Orang yang syahid mendapatkan enam perkara, diampuni dosanya sejak
titisan darahnya yang pertama, diperlihatkan tempatnya dalam syurga, dijauhkan
dari seksa kubur, diberi keamanan dari goncangan yang dahsyat dihari kiamat, dipakaikan
mahkota keimanan, dinikahkan dengan bidadari syurga, diizinkan memberi syafaat
bagi tujuh puluh anggota keluarganya." (hadis sahih).
Keenam: Mereka yang
meninggal ketika berjuang di jalan Allah (bukan terbunuh) berdasarkan sabda
Rasulullah saw, "'Apa yang kalian nilai sebagai syahid diantara kalian?'
Mereka berkata, 'Ya Rasulullah siapa yang terbunuh dijalan Allah maka dia
syahid.' Baginda saw berkata, 'Jadi sesungguhnya para syuhada umatku sedikit'.
Mereka berkata, 'Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?' Baginda saw berkata, 'Barang
siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barangsiapa yang mati di jalan Allah
syahid, barangsiapa yang mati kerana wabak taun syahid, barangsiapa yang mati kerana penyakit perut syahid, dan orang yang tenggelam
syahid)." (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)
Ketujuh: Mati kerana satu
wabak penyakit taun, berdasarkan hadis di antaranya, Rasulullah saw bersabda,
"Wabak taun merupakan kesyahidan bagi setiap muslim." (Hadis riwayat
Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)
Kelapan: Di tinjau dari
perspektif keadaan fizikalnya iaitu mati kerana penyakit dalam perut
berdasarkan hadis dinyatakan di atas. Mungkin kita pernah menyaksikan seseorang
meninggal dalam keadaan tubuh badan yang tidak wajar seperti perut membusut, penuh
dengan luka dan nanah, berbau busuk, keluar belatung, lidah menjulur dan mata
melotot atau bahkan tidak ada yang mahu memandikan, mengkafani dan menyolatinya
dll. Seseorang yang matinya husnul khatimah tidak akan mengalami kejadian itu,
sebaliknya tenang dan damai raut wajahnya bahkan ada yang seakan tersenyum,
ramai hadir memberi ucapan takziyah dan mensolatkannya dll.
Dari Abu Darda ra,
Rasulullah saw bersabda, "Tidak akan keluar rohnya seorang mukmin sampai
dia melihat tempatnya di syurga, dan tidak akan keluar rohnya seorang kafir
sampai dia melihat tempatnya di neraka" (Hadis Riwayat Al-Baihaqi).
Dari Aisyah ra, Rasulullah
saw bersabda, "Tidak satu mayat pun yang disolatkan oleh seratus orang
kaum muslimin dan semuanya memintakan syafaat untuknya, pasti syafaat mereka
diterima" (Hadis Riwayat Muslim)
Kesembilan dan Kesepuluh:
Mereka yang mati kerana tenggelam dan
terkena runtuhan berdasarkan sabda Nabi saw, "Syuhada ada lima: yang mati
kerana wabak ta’un, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena
runtuhan dan yang syahid dijalan Allah)” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim,
at-Tirmidzi dan Ahmad)
Kesebelas: Mereka yang
matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya. Dari
Ubadah bin Shamit ra bahwa Rasulullah saw menjenguk Abdullah bin Rawahah dan
berkata, "Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata,
'Tahukah kamu siapa syuhada dari umatku?' Mereka berkata, 'Terbunuhnya seorang
muslim adalah syahid.' Baginda saw berkata, 'Jadi sesungguhnya para syuhada
umatku, terbunuhnya seorang muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita
yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke
syurga)." (hadis sahih).
Kedua belas dan ketigabelas:
Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa selaput
dada ditulang rusuk, berdasarkan hadis berikut. Dari Jabir bin ‘Atik dengan
sanad marfu’, "Kalangan Syuhada ada tujuh selain terbunuh dijalan Allah:
yang mati kerana wabak taun syahid, yang tenggelam syahid, yang mati kerana
sakit bengkak yang panas pada selaput dada syahid, yang sakit perut syahid,
yang mati terbakar syahid, yang mati terkena runtuhan syahid, dan wanita yang
mati setelah melahirkan syahid) " (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud,
an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
Keempatbelas: Mereka yang
mati kerana sakit Tibi berdasarkan hadis Rasulullah saw, "Terbunuh dijalan
Allah syahid, wanita yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar
syahid, orang yang tenggelam syahid, dan yang mati karena sakit TB syahid, yang
mati kerana sakit perut syahid." (Hadis Riwayat Thabrani dan Hasan)
Kelimabelas: Mereka yang
mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas. Dalam hal itu hadis
berkaitan adalah Rasulullah saw bersabda, "Barangsiapa yang terbunuh
kerana hartanya (dalam riwayat, barangsiapa yang hartanya diambil tidak dengan
alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh, maka dia
syahid." (hadis sahih).” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud,
an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)
Keenambelas dan ketujuhbelas:
Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya seperti sabda
Rasulullah saw, "Barangsiapa yang terbunuh kerana hartanya syahid,
barangsiapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barangsiapa yang terbunuh
kerana agamanya syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana darahnya syahid."
( hadis sahih).
Kelapanbelas: Mereka yang
mati dalam keadaan ribath (berjaga diperbatasan) dijalan Allah. Ada dua hadits
dalam hal itu salah satunya:
Rasulullah saw bersabda,
"Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan qiyamul lail selama
sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan yang biasa
dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan diamankan dari fitnah." (
hadis sahih).
Kesembilanbelas: mati ketika
melakukan amal soleh berdasarkan hadis sabda Rasulullah saw, "Barangsiapa
yang mengucapkan: Laa ilaaha illallah mengharapkan wajah Allah lalu wafat
setelah mengucapkannya maka dia masuk syurga, barangsiapa berpuasa satu hari
mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk
syurga, barangsiapa yang bersedekah dengan satu sedekah mengharapkan wajah
Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga) ( hadis sahih).
Keduapuluh: Mereka yang dibunuh
oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat. Rasulullah saw bersabda,
"Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthalib dan seseorang yang
mendatangi penguasa yang zalim lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang
dari yang mungkar lalu dia dibunuhnya." Hadis dikeluarkan oleh Al Hakim
dan disahih Al Khatib.
Semoga kita bersama di
kurnia Allah swt dapat berusaha dan berdoa supaya kita memperoleh husnul
khatimah di akhir hayat dijauhkan kematian di dalam Suul Khotimah. Aamiin
Aamiin Ya Rabbal Alamin.