Pages

Kelopak mawar

Monday, July 8, 2013

Surah AnNas

Surah An-Nas adalah surah terakhir yang ke 114 setelah Surah Al Falaq di dalam Al Quran. Ia mengandungi  6 ayat dan tergolong dalam surah Makkiyyah (turun sebelum hijrah). Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu dimana bahagian yang pertama terdiri daripada ayat 1-3 yang memperkenalkan Allah swr manakala bahagian kedua pula merupakan hakikat syaitan pada ayat 4-6.
Nama ‘An-Nas’   bermaksud manusia asal dari perkataan ‘An-Nas’ disebut pada setiap akhir ayat surah ini. Surah ini adalah berkaitan permintaan kepada Allah swt untuk perlindungan dari Syaitan.
Lazimnya dijadikan surah ini sebagai amalan dalam kehidupan seharian. Dibaca dalam solat, usai solat, sebelum tidur atau dalam perjalanan jauh , betul tak? Apa kata kita menghayati pula maksud setiap ayat dalam surah ini..

Walau pendek dan ringkas ia membawa erti mendalam tentang keperluan manusia kepada Allah swt sebagai pelindung mutlak daripada kejahatan syaitan durjana, menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah swt dari godaan syaitan termasuk golongan manusia atau jin. 
Surah ini mengandungi tiga sifat Allah swt iaitu ‘Rububiyah’, ‘Mulkiyah’ dan ‘Uluhiyah’. Allah swt pengurus, Raja dan ‘Illah’ segala sesuatu. Semuanya adalah makhlukNya, di bawah kerajaanNya dan mengabdi kepadaNya. Maka Allah swt memerintahkan manusia agar memperlindungkan diri kepada Allah swt yang mempunyai 3 sifat agung tadi, dari segala macam bisikan al-khannas, iaitu syaitan yang akan diwakilkan kepada manusia. Jelas kasih sayangNya dan sungguh istimewa manusia yang diciptakanNya.
Bahagian Pertama Surah: Memperkenalkan Allah swt
1. Katakanlah (wahai Muhammad):
Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.
2. Yang Menguasai sekalian manusia.
3. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia.
Pada 3 ayat pertama surah ini, Tuhan (Allah) diperkenalkan melalui 3 identiti utama iaitu RABB, MALIK dan ILLAH. Allah swt memulakan surah ini dengan memerintah manusia memohon perlindungan daripadaNya, Yang Memelihara, Membimbing dan Menjaga.
1. RABB
Allah swt sebagai RABB mempamerkan kasih dan sayangNya kepada makhluk ciptaanNya di mana Dia adalah KHALIQ Yang Menciptakan (tujuan kita diciptakan - kewujudan sebagai HambaNya dan Khalifah), AR-RAZAK Pemberi Rezeki dan MALIK Pemilik Mutlak diri kita. Semua makhluk Allah swt adalah hamba yang lemah, memerlukan pertolonganNya termasuk rasul dan para nabi serta tidak terkecuali Nabi Muhammad saw.
Firman Allah swt bermaksud,
“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.”(Surah  AzZariyat ayat 56).
"Dan (ingatlah) ketika RabbMu berfirman kepada para Malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih memujiMu dan mensucikan namaMu?” Rabb berfirman.” Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah AlBaqarah ayat 30)"
Istimewanya manusia ciptaan Allah swt berbanding ciptaan lain ialah kita diciptakan dengan hak untuk memilih (ikut perintah Allah swt atau kufur padaNya, inginkan kebenaran atau kejahilan) berbanding dengan makhluk lain ciptaanNya.
Ar-Razak (Pemberi rezeki) merupakan kasih sayang Allah swt kepada hambaNya yang mengurniakan rezeki tanpa perlu meminta-minta dan segalanya ditetapkan olehNya.
"Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami, yang tidak ada habis-habisnya.” (Surah Sad ayat 54)
Kita milik Al-Malik (pemilik) dengan izinNya kita lahir ke dunia dan kepadaNya jua kita akan kembali. Segala yang diberi adalah pinjaman termasuk roh dan anggota tubuh badan.

2. MALIK
Identiti Malik dirangkum dari 3 aspek penting iaitu Wali (Penjaga), Amir (pemimpin) , Hakim (Penggubal undang-undang). Allah swt Wali yang menjaga segala urusan manusia, tidak pernah lupa dan terlepas pandang sedikitpun urusan setiap manusia yang dikasihiNya dan Maha Mengetahui segala yang terbaik bagi setiap hambaNya.

Allah swt Pemimpin dan kita adalah hamba di bawah pimpinanNya. Ibarat Raja dan Rakyat. Negara ini (tanah yang kita duduki) dan segala yang ada di muka bumi ini adalah tanah Allah swt dan kerajaan Allah swt bukan milik sesiapa. Allah swt telah mengatur sistem perundangan yang perlu dilaksanakan di tanahNya.

Allah swt Penguasa kerana hanya Dia Maha Berkuasa menggubal perundangannya. Dia yang berhak menciptakan sistem ganjaran dan balasan. Sistem perundanganNya sangat adil dan saksama tiada kecacatan. Setiap kesalahan dihukum, setiap kebaikan diberi penghargaan.  Allah swt Penguasa yang berkuasa atas mengurnia ganjaran Syurga bagi hambaNya yang bertaqwa dan patuh padaNya manakala hambaNYa yang ingkar dicampakkan ke dalam azab seksa api Neraka.

3. ILLAH
Allah swt Tuhan sebenar yang disembah. Taat dan patuh padaNya sepenuh hati serta meletakkan Allah swt matlamat utama dalam setiap aspek kehidupan dunia dan akhirat. Tiada sebarang pengabdian atau ketaatan yang berdiri sendiri bahkan semua tindakan, perbuatan dan khidmat yang diberikan mestilah terpancar dan bersumber daripada ketundukan dan kepatuhan kepada Allah swt semata-mata. Firman Allah swt bermaksud,  
“Dan tidaklah mereka itu diperintahkan, kecuali menyembah ILAH yang Esa, yang tiada ILAH melainkan Dia. Maha Suci (Allah) dari apa yang mereka sekutukan dengan Dia.” (Surah At-Taubah ayat 31)
Semua sifat Allah inilah yang Allah swt perintahkan Nabi Muhammad saw dan umatnya agar memohon perlindungan hanya kepadaNya yang bersifat rububiyyah (pemeliharaan), malikiyyah (penguasaan) dan  uluhiyyah (ketuhanan) dari kejahatan dan hasutan syaitan (termasuk dalam bentuk manusia dan jin) yang sentiasa berusaha menyesatkan kehidupan dan kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat. Pertarungan antara manusia dan syaitan berlanjutan hingga kiamat dan sentiasa menunggu peluang untuk menyerang manusia yang kelalaian. Mengisi masa dan membasahi bibir dengan membaca ayat suci al-Qur`an dan zikir serta doa sangat baik bagi melindungi diri dari bisikan syaitan dan hasutannya yang menjauhkan diri keredaan Allah swt.
Bahagian Kedua Surah: Sifat Syaitan Laknat?
4. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam.
5. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.
6.(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.
Ayat 4 hingga 6 surah AnNas ini Allah swt meyebut sifat syaitan sebagai penghasut yang licik diikuti tentang tatalaku syaitan yang sangat halus membisik kejahatan di dalam dada manusia dan seterusnya Allah swt mengesahkan bahawa jenis syaitan boleh juga dari kalangan jin dan manusia.

1. SIFAT
Yang dimaksudkan itu adalah gambaran sifat syaitan yang tidak kenal erti putus asa. Hakikat syaitan, lemah pada azalinya namun jauh lebih kuat daripada hati manusia yang tidak mengenal Tuhannya. Syaitan tidak mampu berbuat kerosakan, melainkan membisikkan kalimah jahat serta melemparkan hasutan-hasutan pada hati manusia yang mudah alpa.
Seterusnya manusia sendiri yang terpengaruh lalu melakukan kerosakan di dunia dengan tangan mereka masing-masing. Syaitan juga punya perangai si penakut. Dia hanya muncul dalam hati mereka yang tidak teguh imannya dan merasa lazat dengan perlakuan maksiat berterusan serta tidak yakin akan agungNya kekuasaan Allah, penguasa hari pengadilan. Syaitan sedaya upaya menyesatkan manusia menerusi bisikan kejahatan secara halus dan sukar untuk dikesan serta tersembunyi menyerapi ke dalam hati manusia. Nauzubillah.. sebab itu selalulah lafaz Auzubillah..
Sebagaimana firmanNya bermaksud, “Sesiapa yang berpaling (tidak mengendahkan) pengajaran Tuhan yang Maha Pemurah (Al-Quran), Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya). Maka jadilah syaitan itu teman karibnya.” (Surah Az-Zukhruf ayat 36)
Adapun ketika seorang hamba sentiasa berzikir kepada Allah swt, syaitan bersifat ‘khannas’ (mundur dari perbuatan menyesatkan manusia). Sebagaimana firmanNya bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai kuasa ke atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhan (Rabb)-nya.” (Surah An-Nahl ayat 99)
2. TATALAKU
Syaitan sentiasa menyesatkan manusia dengan menghasut secara bisikan kata2 atau tohmahan fitnah berbau kejahatan pada hati manusia yg mudah leka, alpa dan ‘sakit’. Syaitan juga berupaya menghembuskan bisikan perasaan was-was kepada manusia. Mereka menghiasi kebatilan sangat indah dan menarik serta mengubah kebenaran dengan segala yang buruk sehingga seakan-akan yang batil itu nampak benar dan yang benar itu nampak batil. Perangai syaitan ini telah bermula sejak dari  zaman Nabi Adam dan isterinya, Hawa lagi. Sebagaimana dalam firmanNya bermaksud, “Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, dan syaitan berkata: “Tuhan-mu tidak melarang untuk mendekati pokok ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam al jannah / syurga)”. (Surah Al A’raf ayat 20)
Begitu juga suatu kisah ketika Rasulullah saw sedang beri’tikaf. Shafiyyah binti Huyay (salah seorang isteri Baginda saw) mengunjunginya pada malam hari. Setelah berbincang beberapa ketika, maka Rasulullah saw menghantarkannya pulang ke kediamannya. Namun perjalanan kedua-duanya dilihat oleh dua orang Al Ansar. Kemudian syaitan menghembuskan ke dalam hati kedua-duanya perasaan was-was (curiga).
Rasulullah saw melihat gelagat yang kurang baik dari kedua-duanya. Oleh kerana itu Rasulullah saw lalu bersabda maksudnya, “Tenanglah kamu berdua, dia adalah Shafiyyah bintu Huyay. Mereka berdua berkata, “Maha Suci Allah wahai Rasulullah. Maka Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya syaitan mengalir di tubuh bani Adam sesuai dengan aliran darah, dan aku pula bimbang dihembuskan kepada kamu sesuatu atau keburukan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Manusia yang terpengaruh dengan bisikan syaitan itu pula melakukan kerosakan pada dunia dengan tubuh dan akal mereka sendiri. Namun Syaitan juga penakut. Ia hanya muncul dalam hati yang tidak teguh imannya, yang rakus menikmati kelazatan perlakuan maksiat secara berterusan serta tidak berusaha meyakinkan diri akan agungNya kekuasaan Allah swt, penguasa hari pengadilan.
3. JENIS
Allah swt menegaskan kepada kita bahawa syaitan ada berbagai suku sakatnya termasuk di kalangan jin dan manusia. Yang dikatakan daripada jin itu adalah syaitan yang suka menghasut. Walaupunn tidak dapat dilihat tetapi dapat dikesan pada perubahan dalam diri kita seperti perasaan malas belajar, bekerja sambil lewa, solat dilewatkan, tidak menjaga kebersihan. Yang dikatakan syaitan di kalangan manusia pula adalah golongan manusia yang melakukan kezaliman sesamanya, pengumpat dan penabur fitnah yang tidak pernah kenyang memamah daging saudara sendiri serta pengajak melakukan kejahatan dan maksiat  yang tenggelam dalam nafsu seranah.
Firman Allah swt bermaksud, "dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib Yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. amatlah buruknya bagi orang-orang Yang zalim: pengganti Yang mereka pilih itu." (Surah AlKahfi ayat 50)
Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Kaldai Nabi saw telah terjatuh, lalu aku mengatakan, “celakalah syaitan” Lalu Nabi bersabda, “Janganlah kamu katakan ‘celakalah syaitan’ sebab jika kamu mengatakannya maka syaitan akan menjadi semakin besar tubuhnya dan mengatakan, ’Dengan kekuatanku, aku akan mengalahkannya.’ Namun, apabila kamu mengatakan ‘bismillah’, maka dia akan mengecil sehingga menjadi sekecil lalat.”   (Hadis Riwayat Ahmad)
Hal ini juga dipertegaskan Allahswt  dalam firmanNya bermaksud, “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari jenis syaitan-syaitan manusia dan jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia), dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” (Surah al-An’am ayat 112)
Firman Allah swt lagi bermaksud, “Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (syaitan). oleh sebab itu, perangilah pengikut-pengikut syaitan itu. Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (Surah an-Nisa ayat 76)
Ayat di atas menerangkan bahawa  syaitan yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah dari jenis jin kerana Allah swt menyebutkan kalimah taghut. Berdasarkan ayat ini ditunjukkan bahawa tipu daya syaitan dari jenis jin tidaklah terlalu kuat berbanding tipu daya dilakukan oleh syaitan jenis manusia.
Maka salah satu jalan keluar dari bisikan dan godaan syaitan baik dari kalangan jin dan manusia adalah sebagaimana firman Allah swt bermaksud, Dan jika syaitan mengganggumu dengan sesuatu hasutan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”  (Surah AlFussilat ayat 36)
Fadilat Surah An-Nas :
1.  Surah An-Nas merupakan salah satu ‘Al Mu’awwidzataini’, iaitu dua surah yang mengandungi permohonan perlindungan.
2.  Surah An-Nas ini juga adalah dianggap surah penenang dan penerang hati.
3.  Surah An-Nas, jika dibaca sebanyak 1000 kali, boleh menjadi pengasih dan daya penarik.
Daripada Aisyah ra, “Nabi saw apabila ke tempat hamparan tidur setiap malam baginda menatadah kedua tangannya kemudian menghembus kedua tapak tangan lalu membaca surah Ikhlas, surah Al-Falaq dan surah An-Nas kemudian baginda menyapu ke bahagian badan yang dapat dicapai oleh kedua tangan, baginda memulakannya dari kepala, muka, dan bahagian badan yang dapat dicapai. Baginda melakukan seperti demikian sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Apabila surah Annas ini dibacakan, ada tiga pihak yang terlibat iaitu manusia yang memohon, Allah swt yang dipohon sesuatu padaNya dan golongan syaitan agar dilindungi oleh Allah swt dari segala kesesatan.  Memohon perlindungan dari golongan syaitan adalah suatu keperluan dan perasaan kebimbangan manusia dan manusia percaya hanya Allah swt sahaja yang layak diminta pertolongan padaNya. Apabila permohonan itu dimajukan kepada Allah swt yang memelihara manusia, maka permohonan membawa dua makna:

Pertama: Aku memohon kepada Allah swt kerana Dia Tuhanku, Dia menciptakanku dari tiada kepada ada, dari setitis mani kepada seorang manusia sesempurna kejadian.  Aku memohon kepada Allah swt kerana hanya Dia mengetahui tentang diriku dan segala keperluan hidupku, maka aku memohon kepadaNya agar aku dilindungi daripada segala bencana.

Kedua: Aku memohon kepada Allah swt kerana hanya Dia yang berkuasa terhadap semua makhluk ciptaanNya, Dia berkuasa melindungiku dari apa sahaja kecelakaan dan Dia berkuasa mengurniakan apa sahaja kepadaku. Aku memohon kepada Allah swt kearana tiada siapa boleh menghalang keputusan dan kehendakNya.

Surah an-Nas merupakan antara ayat quran yg lazim membasahi bibir pemuda muslim. Ayatnya pendek, ringkas namun membawa erti mendalam tentang perlunya manusia kepada Allah sebagai pelindung mutlak daripada kejahatan syaitan durjana. Kita perlu berazam dan sentiasa berusaha menjauhkan diri dari terjebak pada godaan dan hasutan syaitan dengan mendekatkan diri kita kepada Allah swt. Sentiasalah memohon perlindungan dariNya dan hanya padaNya tempat kita bergantung.

Wallahualam...
.

No comments:

Post a Comment