Pages

Kelopak mawar

Monday, July 15, 2013

Cu Lihat Surah AnNars


Surah AnNasr adalah surat ke-110 dalam Al Quran. Ini adalah surah terpendek yang ketiga setelah surah Al-Asr dan Al-Kausar, yang terdiri daripada 3 ayat serta termasuk surah Madaniyah walaupun turun di Makkah iaitu pada saat Haji Wada. An-Nasr bermaksud bantuan ataupun pertolongan. Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah  saw masuk ke kota Mekah pada waktu fathu mekah, Khalid bin Al-Walid telah diperintahkan memasuki Mekah melalui dataran rendah untuk bertempur dengan pasukan Quraisy dan  menyerangnya serta merampas harta mereka sehingga memperoleh kemenangan mendapatkan  Kota Mekah. Orang Quraisy telah memeluk agama Islam secara beramai. Maka dikatakan penurunan ayat ini adalah berhubung kemenangan ini dan Allah swt memerintahkan agar bersyukur kepadaNya di atas kemenangan yang diperoleh serta meminta ampun di atas kesalahan yang telah dilakukan.    

Surah ini juga dinamakan sebagai surah AtTaudi’ yang bermaksud selamat tinggal (i.e. tawaf wida’ – tawaf selamat tinggal). Surah An Nasr merupakan tanda-tanda datangnya ajal Rasul. Ia memberi erti tugas nabi Muhammad saw  telah sempurna, juga membayangkan ajal Rasulullah saw.  Nabi saw tahu beliau akan wafat (lihat hadis Ibnu Abbas dan juga hadis Saiyiditina  Fatimah). Sehingga Fatimah menangis setelah mendengar khabar ini namun setelah itu tersenyum setelah Nabi saw memberikan khabar bahawa Fatimah akan segera menyusul Nabi saw. Sedangkan dari kalangan isteri Nabi yang paling cepat menyusul Nabi saw adalah Zainab binti Jahsyi kerana seorang yang dermawan.

Ia  adalah surah yang terakhir turun sebagai satu surah (bukan wahyu terakhir). Dari segi turutan, ia diturunkan selepas surah AlLahab. Allah swt menjaminkan akan memperoleh kemenangan dan kejayaan selepas ujian dan halangan yang dilalui oleh Rasulullah saw dan pengikutnya (Surah al-Lahab menceritakan banyak halangan yang dilalui Nabi saw dalam berdakwah)

Tafsir Ayat Surah AnNasr
 إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (1)
“Apabila datangnya pertolongan Allah dan kemenangan.”
 1.     Batas keupayaan manusia adalah terhad. Pertolongan dan kemenangan datang daripada Allah swt pada masa yang ditentukanNya dalam bentuk yang dikehendakiNya. Sedangkan Nabi saw dan para sahabatnya tidak mempunyai peranan dalam kemenangan itu. Ia merupakan urusan Allah swt semata-mata yang dilaksanakanNya melalui mereka atau tanpa mereka.   Ketika diri tertekan menghadapi dugaan melawan ‘musuh’,  jangan kita mudah berputus asa, kemenangan dan kejayaan akan tiba walau sekuat mana ‘musuh’ Islam.

2.     `Fathu Makkah’ berlaku 2 tahun selepas perjanjian Hudaibiyah. Dalam perjanjian ini, kedua pihak (kafir Quraisy dan Islam) berjanji untuk menghentikan peperangan selama sepuluh (10) tahun. Namun, pihak Quraisy telah mengkhianati perjanjian dengan menolong sekutunya (buat bacaan lanjut), maka ini adalah sebab utama berlakunya `Ghazwah Fathu Makkah’. Pada hakikatnya, kesemua ini adalah perancangan dan pertolongan dari Allah swt.
3.     Al-Quran menggunakan perkataan `Fath’ bermaksud `buka’. Dalam islam tidak ada konsep penjajahan atau penaklukan. Pembukaan negara-negara Islam dipanggil sebagai `futuhat islamiyah’. Bila sesuatu negara tidak Islam, sebenarnya negera itu ditutup daripada menerima hidayah. Islam datang bukan untuk menawan, tapi menyampaikan dakwah dan menyebarkan Islam. Diberi tiga (3) pilihan sama ada menerima Islam atau bayar jizyah atau berperang sehingga kuasa menghalang hidayah kalah. Kemudian terpulang kepada rakyat memilih sama ada ingin memeluk Islam atau tidak – La iqra ha fi ad-din

(2 وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا (
“ Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai “
1.    Kesukaran orang kafir Quraisy dan orang di semenanjung Arab menerima Islam ada kaitan dengan peristiwa tentera bergajah. Mereka memeluk Islam selepas `Fathu Makkah’. Kenapa?
Bila tentera bergajah menyerang Mekah, Allah swt datangkan burung memusnahkan tentera bergajah. Cerita pelik ini tersebar di seluruh semenanjung Tanah Arab dan tahun tersebut dinamakan Tahun Gajah. Peperangan tersebut sebenarnya di antara Habsyah dan Arab kerana kaum Quraisy adalah ketua bagi kabilah Arab. Bila burung Ababil menolong kaum Quraisy, tertanamlah dalam pemikiran orang Arab bahawa benarnya kaum Quraisy ini.
Tetapi Nabi Muhammad saw datang dan mengatakan bahawa kaum  Quraisy ini tidak betul, Orang Arab tak boleh terima… Hingga ada satu hadis yang mafhumnya  “… Kami tidak akan terima Muhammad sehingga Muhammad berjaya kalahkan Quraisy” .Hadis Riwayat Bukhari.
Jadi, bila Nabi Muhammad saw berjaya membuka Kota Mekah yang dikuasai kaum Quraisy (Allah swt tidak menolong kaum Quraisy), maka orang Arab yakin dan percaya bahawa dakwah Nabi Muhammad saw betul dan mereka memeluk Islam secara beramai.
2.    Kelaziman manusia sukar untuk menerima benda yang `teori’ walaupun perkaitan dengan `ad-din’.  Berlaku depan mata baru percaya. Tidak ramai seperti Saiyidina Abu Bakar ra yang menerima Islam sebelum dan selepas `Fathu Makkah’ adalah tidak sama nilainya.
3.    Jangan menunggu benda ajaib berlaku baru kita hendak beriman sebenar2nya, apa jua firman Allah swt yakinlah akan kebenaran dan ketentuanNya. Saat Tsunami  di Aceh, kita kagum melihat masjid tak musnah dan kita pun berkata maka benarlah Islam. Tapi andai kata di tempat kejadian itu ada gereja yang tidak musnah tetapi masjid musnah.. apakah pendirian kita sebaliknya? Jangan biarkan diri kita seperti orang Arab jahiliyah yang bersikap ragu-ragu. Nauzubillah..

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
“ Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat “
1.    Ayat ini menerangkan arahan Allah  dan cara kita meraikan kemenangan/kejayaan iaitu bertasbih, memuji Allah, meminta ampun dan bertaubat. Ini adalah adab sopan Nabi Muhammad saw di sepanjang hidupnya. Semasa mendapat pertolongan dari Allah swt dan mencapai kemenangan menakluk Mekah, beliau membongkok di atas untanya, kerana bersyukur kepada Allah swt dan memasuki negeri Mekah walaupun dahulunya negeri itu telah menyakitinya, mengusirnya keluar, memeranginya dan menentang dakwahnya dengan penuh kedegilan. Itulah sunnah nabi dan diikuti sahabat selepasnya bila merai kemenangan.
Bertasbih dan bertahmid atas nikmat Allah swt menjadikan mereka sebagai pemegang amanah dan pembela agamaNya, juga atas rahmat Allah swt ke atas seluruh umat manusia dengan mengurniakan kemenangan kepada agamaNya, kemenangan kepada RasulNya menakluk Kota Mekah.
2.    Cara mengagungkan Allah swt adalah dengan menjadikan Allah swt terpenting dalam hidup kita, lebih dari segala-galanya  dan sesungguhnya Allah swt paling sempurna, tiada kelemahan dan kita tidak boleh ada sifat sebesar kuman keraguan terhadap Allah swt. Mensucikan Allah dengan memujiNya atas nikmat anugerahNya dan mensyukuri segala limpahan kebaikan  kurniaanNya.

3.    Tujuan istighfar di saat kemenangan dan mengecil tahap kesabaran
(a)   Beristighfar terhadap pelbagai perasaan – bangga, riya’, sombong yang bergolak dalam hati di saat merai kemenangan.
(b)    Beristighfar memohon keampunanNya terhadap perasaan tidak sabar, kesedihan perasaan terkilan putus asa kerana setelah suatu tempoh masa yang lama menghadapi dugaan barulah datang pertolongan dan bantuan Allah swt menunaikan janjiNya..
(c)   Beristighfar bertaubat dari keluh kesah kerana kurang mempercayai janji Allah swt, tidak cukup bersyukur kepada Allah swt yang sentiasa melimpahkan nikmat dan rahmatNya yang tidak pernah putus. Beristighfar juga membersihkan jiwa dari pemikiran yang buruk sangka bila menghadapi kesulitan
(d)   Beristighfar agar tidak berlaku zalim kepada musuh. Hakikat sebenar adalah Allah swt yang memberi kemenangan.
Tahukah anda dikatakan Rasulullah saw beristighfar 70 x sehari (ada riwayat 100 x)… Bagaimanakah kita ? Allah swt mendidik hambaNya melalui bermacam dugaan dan andai kita merasa tidak sanggup menghadapinya harus segera memohon bantuanNya serta yakin akan datangnya bantuanNya itu.  
Dengan turunnya surah An Nasr ini, Nabi saw memahami bahawa tugas menyebarkan dakwahnya yang diamanahkan PenciptaNya telah selesai hanya menunggu panggilan pulang ke Rahmatullah. Ibnu Umar berkata, "Surah ini turun di Mina ketika Nabi mengerjakan Haji Wada', sesudah itu turun firman Allah swt ertinya.
"Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku
".(Surah. Al Maidah ayat 3), Nabi saw hidup hanya delapan puluh hari setelah turun ayat ini. Kemudian setelah itu turun ayat Kalalah, dan Nabi hidup sesudahnya lima puluh hari. Setelah itu turun firman Allah swt bermaksud, 
"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri", (Surah At Taubah ayat 128),
Maka Nabi saw hidup sesudahnya tiga puluh lima hari. Kemudian turun firman Allah bermaksud,
"Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah."(Surah Al Baqarah ayat 281), maka Nabi saw hidup sesudahnya dua puluh satu hari saja.”

Telah diceritakan oleh Muhammad ibn Abi 'Adi, daripada Daud, daripada ash-Sha'bi daripada Masruq katanya, A'isyah telah bercerita bahawa Rasulullah saw di akhir kegiatannya banyak berzikir dengan,
    subhanallahi wa bihamdihi, astagh firullaha wa atubu ilaih.
Dan baginda saw telah bersabda, "Tuhanku telah memberitahu kepadaku bahawa aku akan melihat satu alamat pada umatku dan Ia memerintah kepadaku apabila aku melihat alamat itu supaya aku bertasbih, bertahmid dan beristighfar kepadaNya. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat," dan aku telah pun melihat alamat itu iaitu, Iza ja asnasrullahi wal fath ... hingga akhir surah. (Hadith riwayatkan oleh Muslim melalui Daud Ibn Abi Hind dengan nas) 
        
Pada suatu hari 'Umar menjemput sebilangan orang lalu ia masukkan aku bersama mereka. Menurut hatiku ia menjemput aku bersama mereka untuk memperlihatkan kebolehanku kepada mereka lalu ia berkata, "Apa pendapat kamu tentang maksud firman Allah 'Azzawajalla: Iza ja anas rullahi wal fath. Jawab sebahagian mereka, "Allah menyuruh kita bertahmid dan beristighfar kepadaNya apabila Dia menolong dan memberi kemenangan kepada kita." Sebahagian yang lain diam tidak berkata apa-apa. Lalu 'Umar berkata kepadaku, "Adakah pendapat engkau  begitu juga wahai Ibn 'Abbas?" Jawabku; "Tidak", lalu ia terus bertanya, "Apa pendapat engkau?" Jawabku, "Itulah ajal Rasulullah saw yang diberitahu Allah kepadanya. Firman Allah, "Apabila tiba pertolongan Allah dan kemenangan" maka itulah alamat ajal engkau, oleh itu hendaklah engkau bertasbih dengan memuji Tuhanmu dan
beristighfar memohon keampunanNya, Dia Maha Penerima taubat (hambaNya)."

 Terdapat suatu hadis lagi yang diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Bayhaqi dengan sanadnya daripada Ibn 'Abbas juga katanya,
    "Sebaik sahaja turun "Iza ja anas rullahi wal fath" Rasulullah saw terus memanggil Fatimah dan berkata, "Sesungguhnya ayahanda telah diberitahu tentang kematian ayahanda," lalu Fatimah menangis kemudian dia ketawa sambil berkata, "Ia menceritakan kepadaku bahawa ia telah diberitahu tentang kematiannya, kerana itulah aku menangis, kemudian ia berkata pula, 'Sabarlah anakanda, kerana engkau anggota keluarga ayahanda yang pertama yang akan mengikuti ayahanda, kerana itulah aku ketawa."

Hadis daripada Ummu Salamah ra katanya,  ‘Rasulullah saw telah memanggil Fatimah pada tahun  kemenangan Mekah dan bercakap-cakap dengannya lalu Fatimah menangis kemudian ia bercakap dengannya lagi lalu Fatimah ketawa. Apabila Rasulullah saw wafat aku  bertanya Fatimah tentang rahsia tangisannya dan ketawanya tempoh hari lalu ia bercerita, "Rasulullah saw telah memberitahu kepadaku ia tidak lama lagi akan wafat, itulah sebabnya aku menangis, kemudian ia memberitahu kepadaku bahawa aku akan menjadi penghulu kepada wanita ahli syurga kecuali Maryam binti 'Imran, kerana itulah aku ketawa."’(Dikeluarkan oleh at-Tirmizi).

Wallahualam..

Penghargaan bersamaummualiya.blogspot, Ustaz Agus, wiki 


No comments:

Post a Comment