Pages

Kelopak mawar

Thursday, July 11, 2013

Citer di sebalik Surah Al Masad/Surah AlLAhab/Surah Tabbat


Assalam alaik
Bismillah



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama;
Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya
Dia akan menderita bakaran api Neraka yang marak menjulang
Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api.
Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal
Surah AlLahab atau juga dinamakan surat Al Masad atau surah Tabbat adalah surat ke 111 dalam Al Quran dan terdiri daripada 5 ayat. Ia tergolong surah Makkiyah yang diturunkan sesudah Surah Al-Fath. Nama AlLahab diambil daripada perkataan tersebut pada ayat ketiga yang bererti gejolak api.
Surah ini berkenaan sifat musyrik iaitu penegasan bahawa kemusyrikan itu tidak dapat dipertahankan dan tidak akan menang walaupun pelakunya berusaha keras dengan mengaitkan kisah Abu Lahab atau nama sebenarnya  Abdul Uzza bin Abdul Mutalib, adik beradik Abdullah (bapa kepada Nabi saw). Maka beliau  merupakan bapa saudara Rasulullah saw. Uzza adalah nama berhala yg utama pada ketika itu. Beliau berbadan gemuk dan berkulit putih kemerah-merahan. Nama panggilan adalah Abu Utaybah dan kemudiannya hanya dipanggil Abu Lahab disebabkan kecerahan wajahnya dan berkahwin dengan Ummu Jamil yang kedua-duanya menentang Rasulullah saw sedaya upaya mereka. Mereka ini celaka dan akan masuk neraka. Harta, usaha titik peluhnya di dunia dan anak-anaknya tidak berguna langsung bagi menyelamatkan mereka dari kenimasaam dam azab api neraka selama2nya.
Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Ibnu ‘Abbas menyatakan mengenai sebab surah ini diturunkan. Pada awal permulaan dakwah iaitu ketika berusia 40 tahun, Baginda saw yang mana ketika itu Allah swt baru sahaja memerintahkan untuk menzahirkan dakwah secara terang-terangan, Baginda saw mengumpulkan manusia ke lembah Al Bassa dan berdiri di antara mereka di bukit Safa. Baginda saw mendaki puncak tinggi lalu berteriak, “Wahai kamu semua, mari ke mari!” Maka berkumpul semua orang Quraisy mengelilingi Baginda saw lalu menanya kepada kaum Quraisy pada ketika itu, “Jika aku khabarkan kepada kalian di sebalik bukit ini ada tentera yang ingin memerangi kamu, adakah kalian akan membenarkan aku?” Jawab mereka, “Bahkan! Kami tidak pernah melihat engkau berdusta.”
Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya aku diutuskan sebagai pemberi peringatan kepada kalian sebelum tibanya hari pembalasan kelak dan menerima azab yang pedih (disebabkan perbuatan syirik menyembah berhala dan pelbagai kemungkaran).” Abu Lahab yang juga turut ada pada ketika itu lantas berkata, “Celakalah engkau sepanjang hari! Dengan sebab ini engkau kumpulkan kami?” Maka turunlah surah ini sebagai mengecam tindakan dan sifatAbu Lahab atas kata-kata kesatnya kepada Nabi Muhammad saw.  
Nabi saw hanya diam dan amat sedih mendengar cercaan bapa saudarnya. Padahal sebelum ini pak ciknya itu amat menyayanginya. Apabila ahli keluarga Nabi saw lain melihat peristiwa itu, hati mereka berbelah bagi terhadap Abu Lahab. Perasaan hormat kepadanya hampir tiada. Abu Lahab tidak berhenti setakat itu sahaja, beliau menyambung dengan cercaan lain. Katanya, "Selama ini aku belum pernah melihat seorang dari keturunan orang tuanya (Abdul Mutalib) dan kaumnya (Bani Hasyim) lebih keji dengan apa yang engkau bawakan dan perlihatkan ini!"

Allah swt pada ketika itu telah menurunkan wahyu dan maksudnya, “Celakalah dua tangan Abu Lahab!,Memang dia sangat celaka!”  (Surah AlLahab ayat 1)
mengecam Abu Lahab sendiri dan juga mengenai sifat Abu Lahab. Allah swt menyebutkan perkataan ‘binasa’ atau ‘celaka’ kepada Abu Lahab sebanyak dua kali. Ibn Mas’ud menyebutkan bahawa binasa yang pertama adalah ke atas perbuatannya ketika itu dan binasa ke atas dirinya hingga akhir hayat merujuk kepada perkataan binasa yang kedua.
Mendengar sahaja firman Allah swt itu daripada anak saudaranya, Abu Lahab menjawab, “Jika apa yang dikatakan Muhammad itu benar maka aku tebus diriku dengan harta dan anak-anakku!”
Lalu turunlah wahyu Allah swt lagi, “Tidaklah berguna daripadanya (Abu Lahab) harta bendanya dan segala usahanya." (Surah AlLahab ayat 2).
Maka tiadalah kebaikan yang ditempa selepas peristiwa tersebut disebabkan kesombongannya untuk merendah diri dan hati dalam menerima ajakan ke arah kebaikan. Ayat ini menggambarkan akibat mencerca Nabi saw atau pendakwah Islam yang mengajak ke jalan yang benar samalah seperti mengingkari Allah swt. Makasegala harta benda sama ada dikumpulkan oleh diri sendiri atau diwarisi tidak dapat membantu kelak termasuklah anak-anak sebagai pewaris tidak dapat menebus dosanya di akhirat kelak.
Bagaimana kita? Mungkinkah kita juga dicela olehNya kerana keangkuhan kita menerima kebenaran yang diturunkan? Astaghfirullah.
Mendengar sahaja wahyu Allah swt mengutuk dan melaknat dirinya, beliau mula membuat kacau dalam majlis Rasulullah saw itu sehingga Nabi saw terpaksa membubarkan majlisnya. Para ahli keluarga Baginda saw lain merasa simpati di atas kesedihan yang ditanggung oleh Nabi saw dan pembubaran majlis tersebut .
Sejak itu Abu Lahab sering menyakiti Rasulullah saw. Dia sangat benci dan suka menghina Rasulullah saw dan agama Islam yang diajarkan Baginda saw. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Az Zinad bahawa seorang lelaki dari Bani Ad Dil, pernah berkata kepada Imam Ahmad bahawa melihat Rasulullah saw pada zaman Islam masih lagi asing sewaktu di pasar Zul Majaaz dan Baginda saw berkata, “Wahai manusia, katakanlah tiada disembah melainkan Allah dan kamu pasti berjaya!”
Semua orang mengelilingi Baginda saw dan di belakang beliau ada seorang lelaki berwajah  cerah, lelaki itu berkata, “Sesungguhnya dia ini (Muhammad) seorang yang murtad (dari agama kita) dan seorang penipu!”
Lelaki ini sentiasa mengikuti Baginda saw kemana sahaja. Maka, apabila ditanya kepada khalayak, siapakah lelaki yang mengikuti Baginda saw mereka menjawab, “Lelaki itu adalah pakciknya, Abu Lahab!”
Ayat 3 menjelaskan Abu Lahab akan dimasukkan ke dalam api marak yang sentiasa membakar. Itulah seksaan yang dikenakan kepada Abu Lahab di atas keingkarannya dan perbuatan kejinya menghalang dakwah dan mencerca Rasulullah saw. Begitu juga andai kita juga bersikap dan bersifat seperti Abu Lahab walaupun kita anak seorang Uztaz tersohor atau memiliki anak tahfiz AlQuran sekalipun tidak dapat menebus dosa disebabkan mengingkari dan syirik kepada Allah swt.
Ayat 4 berkisar tentang isteri Abu Lahab iaitu Ummu Jamil, seorang ketua golongan wanita Quraisy yang berpengaruh. Nama sebenarnya Arwah binti Harb bin Umayyah, adik kepada Abu Sufyan dan ibu saudara kepada Muawiyah. Dia sangat menyokong tindakan suaminya dan mempercayainya. Dalam surah ini Allah swt menggelarnya  pemunggah kayu api. Dalam menafsirkan ayat ini, ulama mempunyai dua pandangan berbeza. Pertama dia sememangnya pemunggah kayu api yang terdapat duri padanya dan diletakkan dilaluan Rasulullah saw dengan tujuan untuk menyakiti Baginda saw. Pendapat lain seperti Sa’id bin Jubair mengatakan dia pembawa kerosakan dan dosa kerana kata-kata kesatnya menuduh, mencerca dan memfitnah Baginda saw dengan tujuan yang sama.
Suatu hari, Ummu Jamil ini telah keluar ke khalayak berdekatan Kaabah dan menjerit, “Muhammad itu mengutuk moyang kita dan agama kita juga suruhannya itu mengkhianati kita”. Sambil ditangannya ada seketul batu. Ketika itu, Rasulullah sedang duduk dekat dengan Kaabah dan Abu Bakar juga bersamanya. Apabila Abu Bakar melihat Ummu Jamil makin hampir dinyatakan kepada Rasulullah saw,
“Wahai Rasulullah, dia datang ke sini dan aku bimbang dia akan nampak engkau!”
“Sesungguhnya dia takkan dapat melihat aku.” Kemudian Baginda saw membaca ayat Quran sebagai pelindung sebagaimana dipesan Allah swt dalam surah Al Isra’ ayat 45 yang bermaksud,
“Dan apabila kamu membaca Al Quran nescaya Kami adalah antara kamu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, suatu dinding yang tertutup.”
Maka apabila Ummu Jamil tiba sahaja di hadapan Abu Bakar, dia langsung tidak melihat Rasulullah saw yang ketika itu hanya di sebelah Abu Bakar. Ummu Jamil berkata, “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya aku telah dimaklumkan kawan kamu itu (Muhammad) telah mengucapkan syair yang buruk mengenai aku.”
“Tidak, demi tuhan rumah ini (Kaabah) Baginda saw tidak berbuat begitu padamu.” Lalu Ummu Jamil dengan bercekak pinggang tawaf (mengelilingi) Kaabah sambil berkata, “Sumpahan akan terkena pada orang yang berkata buruk.”
Oleh itu dia menjadi pemangkin kepada hukuman dan balasan terhadap suaminya sebagaimana firman Allah swt dalam ayat 4 ini bahawa dia pembawa kayu bakar yang digunakan sebagai pembakar suaminya di akhirat dan dia akan diazab seperti itu juga, dibakar dalam neraka.
Seksaan yang dikenakan kepada Ummu Jamil adalah lebih azab seperti dinyatakan  dalam ayat 5. Berkata Mujahid (ahli tafsir) dan beberapa ulama’ lain, tali-tali yang dipintal itu adalah rantaian besi panas daripada api neraka Al Masad yang tersimpul  yang dipakaikan dilehernya sebagai seksaan atasnya.
Diceritakan pada awalnya, Abu Lahab sangat gembira dengan kelahiran Nabi saw sehingga melonjak-lonjak kegembiraannya dan membebaskan seorang hambanya bernama Thuaibah As-Aslamiayah serta sanggup mengorbankan dikatakan 100 ekor unta kerana bersyukur kepada Tuhan Kaabah atas kelahiran Muhammad bin Abdullah, anak saudaranya itu.

Hinggakan setelah Nabi saw dikurnia anak perempuan,  Abu Lahab menjodohkan dua anak lelakinya dengan puteri Nabi saw iaitu anak sulungnya bernama Utbah dijodohkan dengan Ruqaiyah manakala anak keduanya Utaibah dengan Ummu Kalsum. Abu Lahab melakukan demikian kerana beliau amat kasih dengan Nabi saw dan mengenangkan adiknya iaitu Abdullah bapa Nabi saw . Namun setelah 40 tahun kemudiannya apabila Muhammad saw dilantik menjadi nabi dan rasul akhir zaman, Abu Lahab menentangnya dengan keras dan mengarahkan kedua anak lelakinya menceraikan isteri-isterinya lalu mereka berdua menceraikan.
Ketika Utaibah menghantar isterinya ke rumah Nabi saw ,beliau telah mengambil kesempatan untuk menendang pinggang Nabi saw sehingga terjatuh . Nabi saw dengan penuh kesabaran bersabda, " Wahai Utaibah nanti kamu akan di baham oleh salah satu daripada singa-singa Allah. "

Abu Lahab yang mengetahui perkara itu mempercayai kata-kata anak saudaranya itu , sehinggakan Abu Lahab mengarahkan Utaibah tidur sahaja semasa perjalanannya hendak berniaga . Utaibah diarahkan tidur di tengah-tengah rombongan itu . Abu Lahab berfikir sekiranya ada sekawanan singa nanti sudah tentulah mereka akan menghalang dan membunuhnya sebelum sempat singa itu membaham anaknya itu .

Sampai dipertengahan jalan tiba-tiba keluarlah sekawanan singa dan salah satu di antara singa itu melompat lalu menerkam Utaibah yang sedang nyenyak tidur .Singa itu dengan mudah mematahkan leher Utaibah lalu mati serta merta . Singa itu tidak mengganggu ahli rombongan lain dan terus lesap selepas itu.

Rumusan
Berbalik kepada surah yang mengisahkan tentang celaan terhadap Abu Lahab dan isterinya ini, jika kita tadabbur lebih mendalam, kita dapat kaitkan kisah ini dengan kehidupan diri kita sendiri. Abu Lahab dan isterinya diseksa dan dicela kerana secara umumnya mereka berdua menjadi penghalang kepada dakwah Baginda saw.
Muhasabah diri kita. Adakah kehadiran kita di dunia ini mempunyai persamaan atau ada ciri2  Abu Lahab dan isterinya walaupun sebesar kuman? Pernah tak kita mencerca mencaci atau memfitnah orang selain diri kita hatta terdetik dalam hati sekali pun tanpa niat?.. Astaghfirullah.. Ampunkan dosa2 hambaMu ini.. Moga taubat kita diterima dan dosa2 diampuni olehNya
Wallahualam..
Penghargaan: al quran, tanyalah ustaz.blogspot dan beberapa sumber lain


1 comment:

  1. nice post, nice song, tapi kalau letak ayat quran lagi sedap :D ...

    ReplyDelete