Pages

Kelopak mawar

Wednesday, August 21, 2013

Surah Al Ma'un atau Ad-Din

Bismillah...


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  1. Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?
  2. Itulah orang yang mengherdik anak yatim,
  3. dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.
  4. Maka celakalah bagi orang-orang yang solat,
  5. ا(iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya,
  6. اorang-orang yang berbuat riak,
  7. dan enggan (menolong dengan) barang berguna.
Surah Al-Ma’un merupakan surat ke-107 dalam AlQuran. Surah ini tergolong surah Makkiyah. Perkataan Al Ma'uun bererti barang-barang yang berguna, bersempena perkataan di ayat ke-7  surah ini. Surah ini juga dinamakan surah ad-Din kerana perkataan ‘ad-Din pada permulaan ayatnya bersempena penyelaran Allah swt terhadap golongan yang mendustakan `ad-Din'. Surah ini mengandungi 7 ayat yang memberi tasawur(gambaran) tentang kehidupan beriman yang bertunjang di hati. Iman dan amalan soleh tidak boleh dipisahkan. Amalan tanpa iman juga tidak diterima. Kehidupan beriman juga menuntut kita melaksanakan tanggungjawab terhadap manusia lain dengan melakukan kebajikan dan menghapuskan penindasan. (Did ‘U’ see no 7 three times already)  
Surah ini berbeza dengan surah lain kerana ia dimulakan dengan satu ayat pertanyaan  “Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?”. Ia menarik perhatian dan menimbulkan perasaan ingin tahu lebih lanjut dalam hati si pembacanya (yang faham bahasa Arab.. dapat Melayu tulen yang bahasa Melayu pun masih telungkup setakat hafal pun jadilah yea..nilah masanya untuk ambil tahu).
Umumnya surah ini dibahagikan kepada dua bahagian. Pada permulaan surah (ayat 1-3) membincangkan dan menggambarkan tentang perilaku orang kafir. Manakala di akhir surah (ayat 4-7) yang mirip kepada ayat Madaniyyah memperkatakan perilaku orang munafik.
Di bahagian pertama surah (ayat 1-3) adalah berkaitan celaan Allah swt terhadap perilaku manusia yang mendustakan ad-Din (agama Islam dan Hari Pembalasan) dan melakukan penganiayaan terhadap manusia khususnya merujuk kepada golongan Musyrikin. Mereka ini mempunyai dua sifat utama:
1.    Tidak menyukai, bersikap kasar, mengherdik dan mengusir anak-anak yatim
2.    Tidak menggalakkan orang memberi makan kepada fakir miskin dan tidak suka berbudi kepada orang.
Sementara itu, di bahagian kedua surah (ayat 4-7): mengandungi kalamullah yang mencela secara khusus kepada orang munafik (yang menzahirkan keislaman dan menyembunyikan kekufuran) dan orang Muslim yang cuai terhadap tanggungjawabnya kepada Allah swt, iaitu dalam hal menunaikan hak kepada Allah swt menyempurnakan solat dengan bersungguh-sungguh; juga celaan kepada orang enggan memberi pertolongan. Tiga sifat utama mereka adalah:
1.    Lalai dan cuai mendirikan solat.
2.    Suka mempamerkan atau menunjuk-nunjuk tindakan solat dan kebajikan yang dilakukannya atau riya’(suka dipuji).
3.    Enggan memberi bantuan yang lumrah (yang biasa) kepada jiran.

Kedua-dua kumpulan ini dijanjikan dengan kerugian, azab dan kemusnahan. Dua kumpulan yang dipaparkan dalam surah al-Ma`un itulah sebenarnya pendusta Akhirat. Adakah maksudnya salah satu daripada perilaku atau semua perilaku yang disebutkan dalam surah?. Kedua-duanya merupakan pendapat ulama dan masing-masing ada hujahnya.
Jom kita renung2kan Tafsir Ayat

Ayat 1: “Adakah kamu tahu(lihat) orang yang mendustakan ad-din”

Iman yang sebenar ialah iman yang dihasilkan daripada tasdiq (percaya sepenuhnya tanpa belah bagi terhadap kefahaman tentang iman) dengan hati, iqrar dengan lidah dan amal dengan anggota.  Pengakuan beriman hanya dengan lidah tidak cukup bagi maksud menyelamatkan diri daripada balasan Allah pada hari Akhirat.  Pengakuan dengan lidah tanpa bukti adalah dusta.
Ayat ini menerangkan bahawa ada orang yang telah mengenal dan mengetahui kebenaran ajaran Islam tetapi masih menolaknya. Al Sauddi berpendapat ayat ini diturunkan kepada al-Walid bin al-Mughirah dan ada yang mengatakan ia ditujukan kepada Abu Jahal. Abu Jahal mengakui kerasulan Nabi Muhammad saw. Dalam perbualannya dengan Abu Dzar (sebelum memeluk Islam), Abu Jahal berkata “Mustahil rasanya jika ia bukan seorang Rasul. Otaknya pintar, bahkan cerdas. Walaupun dia tidak boleh membaca ataupun menulis tetapi baik kepada semua orang tua ataupun muda. Budi pekerti dan akhlaknya sangat mulia. Satu hal lagi yang perlu kau ketahui, ia sangat tabah menghadapi apapun yang terjadi padanya. Ia mempunyai daya tarik yang hebat sekali.” Walaubagaimanapun, kerana ego, keangkuhan, kuasa, pangkat dan kedudukannya, Abu Jahal telah menolak untuk beriman.
Ibn `Abbas berkata ia diturunkan kepada al-'As bin al-Mughirah.
Al-Walid bin Mughirah (ayah kepada Khalid bin al-Walid) adalah salah seorang tokoh utama kaum Quraisy di Makkah. Dia adalah salah seorang hakim masyarakat Arab sebelum Islam datang. Dia adalah salah seorang pemimpin Quraisy di Darun Nadwah, dan merupakan seorang yang arif dalam sastera Arab. Suatu hari al-Walid bertemu dengan Abu Bakar ra dan bertanya kepadanya tentang Al-Qur'an. Setelah Abu Bakar ra menjelaskan, dia berkata, "Sungguh menakjubkan apa yang dikatakan oleh Muhammad. Demi Allah, apa yang dikemukakannya itu bukan syair, bukan sihir, dan bukan pula kata orang gila. Apa yang diucapkannya itu benar-benar merupakan firman Allah."
Kemudian setelah dipujuk dan diprovokasi oleh Kaum Quraishy, setelah beberapa waktu, akhirnya al-Walid berkata, "Tidaklah Al-Qur'an ini melainkan sihir yang yang diterimanya. Ini tidak lain, hanya perkataan manusia”. Allah mendedahkan kisah al-Walid dalam surah al-Muddathir sebanyak tujuh ayat (ayat 18-25)
Bukankah kiita sebenarnya yang berhutang dengan Allah swt. Allah swt mencipta kita dan mengekalkan keperluan kehidupan kita (udara, air.. dll). Maka sebagai balasannya, kita hendaklah berubudiyah (memperhambakan diri) kepada Allah swt. Setiap amalan kita dicatat dan akan diadili di Hari Pembalasan. Tidak percaya kepada Hari Pembalasan ini adalah satu contoh manusia yang rugi.
Ad-Din juga bermaksud agama. Satu sistem cara hidup dan pakej lengkap yang syamil (menyeluruh), kamil (sempurna) dan mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Menganuti agama Islam atau beriman kepada Allah swt hendaklah agama Islam itu diterima keseluruhannya baik dari segi keyakinan dan juga amalan. Allah swt berfirman dalam Surah al-Baqarah petikan ayat 208 yang bermaksud, “Hai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya...” Penolakan sebahagiannya samalah mendustakan ad-Din. Contohnya; mengatakan bahawa hadis bukan sumber Islam ataupun tidak meyakini syari'at Islam..

Ayat 2: “Itulah orang yang mengherdik (menindas) anak-anak yatim.”
Beriman kepada adanya hisab dan jaza` di Akhirat, boleh menyucikan hati hambaNya dari kotoran bakhil dan kedekut,  dan penyucian hati itu melahirkan perasaan cinta, bukan sahaja terhadap anak yatim, tetapi kepada selutuh makhluk Allah yang bernyawa dan tidak bernyawa.
Ada pendapat ia diturunkan kepada Abu Jahl. Beliau adalah penyelia seorang anak yatim. Pada suatu hari dalam keadaan tidak berbaju anak yatim itu datang meminta sedikit harta (kepunyaan sendiri) kepada Abu Jahl. Lantas Abu Jahl menolak ke tepi anak yatim tersebut. Manakala Ibn Juraij berkata, ia diturunkan kepada Abu Sufian. Menurut riwayat, Abu Sufian menyembelih unta setiap minggu. Maka datanglah anak yatim meminta sebahagian daripadanya. Beliau lantas mengetuk anak yatim tersebut dengan tongkatnya, lalu Allah pun menurunkan surah ini.
Orang-orang yang mendustakan ad-Din(agama) dan Hari Pembalasan adalah golongan yang benar-benar menghalang, mengherdik dan menzalimi anak-anak yatim daripada mendapatkan hak mereka. Malah mereka tidak melayani golongan tersebut dengan baik. Pada masa dahulu orang Arab Jahiliyyah tidak suka mewariskan harta peninggalan kepada kaum wanita dan kanak-kanak.

Ayat 3: Dan tidak menggalakkan manusia memberi makan kepada orang miskin
Antara sikap terburuk pada orang yang mendustakan hari ad-Din adalah pada personalti dan maruahnya, melihat orang miskin yang kebuluran tidak melahirkan perasaan kasihan atau simpati tetapi tidak pula merangsang orang lain supaya memberi makanan kepada orang miskin berkenaan jauh sekali perasaan mencintai mereka.
Orang yang mendustakan ad-Din (agama dan Hari Pembalasan) dan menindas anak yatim juga tidak menggalakkan diri, kaum keluarga dan juga orang lain supaya memberi makan kepada fakir miskin yang memerlukan, lantaran terlalu bakhil dengan harta kekayaan. Mereka adalah golongan pendosa berganda.
Perilaku orang yang tidak beriman ini dijelaskan lagi dalam Surah al-Fajr (ayat 17-18) yang bermaksud, “Tidak, bahkan kamu tidak memuliakan anak yatim, dan kamu tidak suka menggalakkan orang lain memberi makan kepada fakir miskin . Dimaksudkan  fakir miskin adalah mereka yang tidak memiliki sesuatu atau tidak dapat menampung keperluan hidupnya. Istilah ‘to’amilmiskiin’ adalah `mudaf Ilaih' dalam nahu bahasa `arab. Ini bermaksud `makanan orang miskin' iaitu makanan itu adalah kepunyaan si miskin. Yakni, pada harta orang kaya itu ada hak yang yang perlu diberikan kepada golongan miskin.
Pada ayat 2 hingga 3, apa yang boleh dipelajari adalah orang beriman berlainan sikapnya daripada orang yang mendustakan ad-Din. Hakikat keimanan yang mantap akan mendorong mereka menolong anak yatim dan orang miskin. Pertolongan itu hendaklah diusahakan sebaik mungkin secara samarata dan bukan sahaja kepada individu, keluarga atau badan kebajikan tertentu. Pemerintahan Khalifah Umar `Abdul Aziz walaupun singkat telah membuktikan keadilan ekonomi Islam dan rakyat miskin terbela.
Pada bhagian kedua surah ini iaitu ayat 4-7 adalah bagi orang Munafik dan orang Islam yang mengerjakan hak Allah Taala dengan lalai dan sambil lewa. Bukan sahaja orang musyrikin akan diseksa, malah orang munafik dan Muslim yang leka / lalai / tidak prihatin dalam solat mereka ini juga adalah orang yang rugi dan celaka.

Ayat 4 dan 5: “Kecelakaan bagi orang-orang yang melakukan solat (4) yang lalai dari solat mereka (5)”
Fakir miskin merupakan golongan yang didahulukan dalam senarai penerima zakat. Solat adalah amalan pertama di hisab. Al-Qur`an kerap menyebutkan dua kewajipan ini secara bergandingan kerana pengabaian kepada zakat dan solat membawa kecelakaan dan kerugian yang besar. (4)
Cuba kita lihat orang yang meringankan sembahyang, mereka hanya bersolat tetapi tidak menghayati isinya, dia menunaikannya dengan perasaan malas dan berat.(5)
Diriwayatkan oleh Ibn al-Munzir daripada Ibn `Abbas mengenai ayat tersebut, beliau berkata: “Diturunkan kepada orang Munafik. Mereka mempamerkan ibadat solat mereka kepada orang Islam bila bersama mereka; tetapi meninggalkan ibadat tersebut apabila orang Islam tidak ada bersama. Mereka juga tidak suka memberikan pertolongan atau meminjamkan sesuatu kepada orang lain”.  Perkataan "sahun" bermaksud kelalaian yang merujuk kepada mereka yang:
1.    Hanya solat sekali-sekala. Mengambil ringan terhadap solat, sekejap solat dan sekejap tidak; contoh orang yang solat Jumaat tetapi tidak solat lima waktu; ataupun hanya solat pada hari raya sekali atau dua kali setahun.
2.    Melewat-lewatkan solat, yakni menangguh di akhir waktu; dan kadangkala terpaksa di qadha'.
3.    Tergesa-gesa solat. Cepat ruku' dan sujudnya seperti ayam mematuk.
4.    Melakukan solat dengan malas. Firman Allah swt dalam surah al-Nisa' ayat 142 maksudnya, “Apabila mereka berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas, mereka hanya bertujuan riya' (memperlihatkan sembahyangnya kepada manusia)
5.    Tidak menunaikan rukun dan syarat solat dengan sempurna
Kerugian dan kesiksaanlah bagi orang yang `sahun' dalam solatnya. Orang sebegini lalai dan tidak mengambil berat terhadap kefardhuan solat. Sekiranya mereka solat, mereka tidak mengharapkan ganjaran pahala dari solat yang dilakukan; juga tidak takut kepada balasan dosa jika mereka meninggalkan solat.
Di dalam ayat di atas Allah swt menggunakan istilah " `an " dan tidak `fi' yang membawa maksud `lalai daripada solat' dan bukannya `lalai di dalam solat. Lupa dalam solat adalah sesuatu yang dimaafkan jika dilakukan secara tidak sengaja dan di luar kesedaran. Hadis Nabi saw mengungkapkan bahawa Baginda saw sendiri pernah lupa dalam solat. Bahkan sujud sahwi itupun disyari'atkan untuk kes seperti ini. Para sahabat Rasulullah saw juga pernah terlupa.

Ayat 6 :”Orang-orang yang riya'.”
Solat merupakan bekalan tenaga yang sangat mustahak bagi meneruskan hidup. Jika solat secara main-main atau hanya kerana memperlihatkan orang, seolah-olah dia membinasakan hidupnya.
Solat bukanlah harakat kosong tanpa penghayatan yang ikhlas. Orang yang rugi ialah mereka yang solat tetapi tidak mendirikan solat. Mereka membaca segala bacaannya, tetapi hati mereka tidak menghayati bacaan-bacaan itu dan tidak hidup dengannya. Jiwa mereka tidak menghadirkan hakikat solat dan hakikat isinya dari bacaan, doa dan tasbih. Mereka juga riya' dalam solat. Mereka ingin menunjukkan kepada orang lain dan bukannya kerana Allah swt semata-mata. Tak perlulah disentuh soal khusyuk dalam soal jauh sekali..
Riya' bermakna melakukan ibadah untuk tujuan duniawi agar diri mereka dikagumi orang. Riya' ada berbagai-bagai jenis contohnya:
1.    Berhias diri dengan niat supaya disanjung atau dipuji orang.
2.    Memakai baju lusuh untuk menunjukkan zuhud dengan dunia.
3.    Dengan perkataan, yakni menuturkan perkataan yang menyelar, memuja dunia, banyak bercakap memberi atau mempamerkan nasihat atau sedih kononnya tidak sempat melakukan kebaikan.
4.    Mempamerkan ibadah solat, sedekah atau menghias solatnya agar dikagumi orang.
Orang yang munafik berbeza dengan orang yang bersifat riya'. Manusia munafik ialah manusia yang menampilkan keimanan tetapi menyembunyikan kekufuran, manakala orang yang riya' pula ialah orang yang menyatakan sesuatu yang tidak wujud dalam hatinya samada khusyu' mahupun ikhlas dan sebagainya agar orang menganggapnya sebagai orang yang kuat beragama dan wara'. (Nauzubillah.. takutnya aq.. kena muhasabah dan mengukuhkan nawaitu nih)
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr berkata: Rasulullah saw bersabda; “ sesiapa yang mendedahkan amalannya kepada manusia lain, nescaya Allah akan mendedah, menghina dan memperkecilkannya kepada makhluk yang lain”.
Amat sukar menghindari riya' kecuali orang yang suka mendisiplinkan diri dan mengasuhnya agar bersifat ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah swt. Sebab itu Rasululullah saw bersabda:“ Riya' itu lebih sukar dikesan dari semut hitam yang kecil di malam yang gelap pekat di celah-celah cemara rambut yang hitam”.

Ayat 7: “Dan orang-orang yang enggan memberi pertolongan”
Hakikat solat ialah membebaskan jiwa manusia yang bakhil dari sifat bakhil itu sendiri.  Kebakhilan akan bertukar dengan murah hati dan kesediaan membantu.  Orang riya` dalam solatnya masih dikekang oleh perasaan bakhil sekalipun dengan barang-barang yang tidak diperlukannya lagi.
Dimaksudkan adalah mereka yang enggan membantu dan suka pula menghalang orang lain yang hendak melakukan kebaikan kepada orang yang memerlukan. Perkataan `al-Ma'un' adalah kata nama bagi semua benda yang sering dipinjamkan di antara sesama manusia. Ini termasuklah baldi, periuk, perkakas rumah dsb. An-Nasa'i meriwayatkan daripada `Abdullah bin Mas'ud berkata: “ Setiap kebaikan (yang dihulurkan) adalah sedekah dan kami menganggap al-Ma'un pada zaman Rasulullah saw adalah seperti memberi pinjam baldi dan periuk. Syeikh al-Sya'rawi mengatakan `al-Ma'un' ialah semua benda yang Allah berikan kepada kita; dan kita tidak boleh menahan ia dari dimanfaatkan oleh orang lain. Pada lumrahnya ia diberi kerana mudah dan sedikit.
Ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa al-Ma'un maksudnya enggan mengeluarkan zakat seperti zakat harta simpanan. Masih lagi dalam kategori sedikit dan mudah iaitu hanya 2.5% dari simpanan; bukannya dari pendapatan.
Dalam keadaan sekarang, perkakas-perkakas dapur diperlukan dalam kenduri-kendara atau dalam satu majlis ilmu/halaqah, maka janganlah kita berkira sangat untuk meminjamkan peralatan di rumah kita untuk majlis tersebut.
Golongan munafik dan golongan tak beriman tidak bersikap baik sesama makhluk. Enggan berbakti dan berbuat kebajikan kepada saudara-saudara mereka. Mereka tidak suka meminjamkan barang-barangnya kepada orang lain; sedangkan barang tersebut tidak akan habis dan tetap menjadi miliknya. Malah mereka juga berat untuk menunaikan zakat dan tidak mahu melakukan berbagai jenis pengorbanan yang lain.
Kesimpulannya
1.    Allah swt mencela orang-orang yang mendustakan ad-Din.
2.    Orang yang mendustakan ad-Din adalah mereka yang suka mengherdik, menghalau, menafikan hak, menindas dan menganiaya anak yatim. Bahkan suka meninggalkan amal kebajikan.
3.    Orang yang mendustakan ad-Din tidak suka menggalakkan orang lain bersedekah makan minum kepada golongan miskin; bersifat bakhil dan sering mengadakan alasan-alasan untuk menolong orang.
4.    Musibah dan celaka besar terhadap orang yang melakukan tiga perkara (a) melalaikan solat, (b) berbuat sesuatu dengan riya', (c) enggan menolong orang lain (walaupun perkara yang mudah dan ringan).
5.    Lalai dalam solat membawa maksud – meninggalkan solat, jarang solat, solat di akhir waktu, solat tergesa-gesa, solat dengan malas.
6.    Allah swt menyenaraikan empat sifat orang kafir / tidak beriman / hipokrit / munafik yakni mereka (a) bakhil dan kikir; (b) meninggalkan / lalai dalam solat (c) bersifat riya' (d) enggan memberi pertolongan dan zakat.
Wallahualam...
Penghargaan kepada sumber blog yang saya petik darinya dengan niat meluaskan pemahaman surah ini kepada hambaNya.. kekurangan adalah khilaf saya.harap maafkan..


No comments:

Post a Comment