Surah Al-Humazah merupakan surah ke-104 dalam Al Quran. Surah Makkiyah ini merangkumi 9 ayat dan diturunkan selepas surah al-Qiyamah. Surah ini dinamakan Al Humazah bererti pengumpat bersempena perkataan di ayat pertamanya.
Kandugan surah adalah peringatan akan ancaman Allah swt terhadap orang yang rugi iaitu suka mencela orang lain, suka mengumpat dan suka mengumpulkan harta tetapi tidak menafkahkannya di jalan Allah swt. Dikatakan Surah ini merangkumi 1/6 daripada maksud al-Quran yang menceritakan tentang tuduhan orang yang ingkar.
Surah ini bertujuan untuk mengatasi masalah moral yang begitu kronik dalam masyarakat iaitu suka mencela orang lain dan umpatan keji di belakang mereka atau mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang semasa mereka ada bersama. Ada insan mengira harta kekayaan itulah Tuhan yang Berkuasa yang boleh membuat segala apa sahaja sehingga sanggup menolak maut, mengekalkan hidupnya, menolak qada’ Allah swt, hisabNya dan balasanNya jika dalam fikirannya pernah terlintas persoalan hisab dan balasan Allah swt, kerana itu ia tergila-gila mengumpulkan harta kekayaan dan merasa begitu lazat menghitung jumlahnya.
Bermula dengan pernyataan tentang timpaan azab yang pedih daripada Allah swt kepada orang yang suka mencela dan mencaci serta menunjukkan kelemahan dan menghina orang lain pada ayat pertamanya.Kemudian ayat kedua surah ini mencela orang yang bersungguh mengumpul harta benda di dunia seolah mereka akan hidup selamanya. Ayat berikutnya menempelak dua golongan terdahulu dan menyatakan kesudahan mereka yang buruk iaitu dihumbankan ke dalam api neraka al-Hutamah.
’Ata’ dan al-Kalbi berkata ayat ini diturunkan kepada al-Akhnas bin Shurayq yang suka mencela orang lain dan mencaci mereka, khususnya Rasulullah saw (pendapat Abu Soleh daripada Ibn Abbas, al-Suddi dan Ibn Asa'ib). Muqatil pula berkata ia diturunkan kepada al-Walid bin al-Mughirah yang mengumpat Rasulullah saw dari belakang dan mencela secara terangan di hadapan Baginda saw (pendapat Ibn Juraij). Diriwayatkan Muhammad Ibn Ishaq, penulis kitab Sirah, Umayyah bin Khalf turut melakukan perbuatan tersebut. Petikan kata Abu Hayyan pula, ‘..,ayat ini bersifat umum dan sesuai kepada mereka yang memiliki sifat-sifat tersebut.’
Tafsirannya
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
1. Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela, Sungguh buruk dan binasalah setiap pengumpat dan pencela terhadap manusia.
Ia bererti kerugian dan azab yang pedih kepada sesiapa yang mengumpat, mencaci dan mencela seseorang di secara sembunyi atau di khalayak ramai.
Berkenaan perkataan humazah dan lumazah, adakah sama atau berlainan? Bagi yang berpendapat ia berlainan, ditafsirkan seperti berikut:
* Humazah adalah mereka yang mencela dan lumazah adalah yang mengaibkan (pendapat Ibn Abbas).
* Humazah adalah mereka yang mencela manusia di hadapannya, sedangkan lumazah pula ialah mencela manusia di belakangnya (pendapat al-Hasan, Ata' dan Abu al-'Aliah).
* Humazah adalah mereka yang memaki manusia, manakala lumazah pula mereka yang memaki keturunan manusia (pendapat Mujahid).
* Humazah adalah mereka yang mengejek dengan mata, sedangkan lumazah pula mengejek dengan lidah (pendapat Qatadah).
* Humazah adalah mereka yang mengejek manusia dengan tangan dan memukulnya, sedangkan lumazah ialah mereka yang mengejek dengan lidahnya (pendapat Ibn Zaid).
* Humazah adalah yang mengejek dengan lidahnya, sedangkan lumazah pula adalah mengejek dengan matanya (pendapat Sufyan al-Thauri).
* Humazah adalah mereka yang menghina dan mengata orang, sedangkan lumazah adalah menghina secara berhadapan (pendapat Muqatil).
Al-Maraghi berkata, "Kemurkaan dan seksaan Allah swt kepada golongan yang mencerca manusia, melanggar kehormatan mereka dan menyakitkan hati mereka sama ada ketika hadir atau tidak."
Kemudian Allah swt menyebutkan sebab Dia mencerca manusia menerusi firmanNya...
2. yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung, mengumpulkan dan menghitung harta yang menyebabkan dia menjadi kikir dan tidak mahu menginfaqkannya di jalan Allah swt.
Maksud himpunan di sini ada dua pendapat iaitu mengira bilangan dan menghitungnya yang merupakan pendapat al-Suddi. Yang kedua mengiranya bagi mencukupkan beberapa tahun (pendapat Ikrimah). Ada pendapat mengatakan orang yang menghitung-hitung hartanya selalu itu, maksudnya ialah orang yang tidak membelanjakannya, maka orang ini sama dengan orang yang simpan hartanya semata-mata untuk persediaan.
Al-Maraghi berkata, "Perkara yang mendorong mereka menjatuh dan menghinakan martabat manusia disebabkan pengumpulan mereka akan harta dan selalu menghitungnya kerana sukakannya dan berasa seronok menghitungnya." Pandangan mereka bahawa tidak ada kehormatan dan kemuliaan selain daripada itu sehingga setiap kali mereka melihat apa yang ada padanya, mereka mendakwa sebab yang demikian itulah mereka memperoleh kedudukan yang tinggi.
Mereka menghina orang yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang berada di bawahnya dan tidak berasa takut jika mereka ditimpa bencana akibat umpatan dan cercaannya terhadap kehormatan manusia. Mereka menyangka ia adalah penentu kepada kedudukan dan status seseorang. Mereka melampui batas agama seperti firmanNya bermaksud, “Dan Yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya).”(Surah Al Ma’rij ayat 18).
Sikap mereka itu telah melupakannya akan kematian dan membutakan mata hatinya untuk memikirkan kesudahan perbuatan mereka jauh sekali merenungkan keadaan diri mereka yang tersasar itu. Kemudian Allah swt menjelaskan dakwaan mereka yang salah ini menerusi firmanNya...
3. dia (manusia) mengira bahawa hartanya itu dapat mengkekalkannya (di dunia dan terhindar dari Hari Perhitungan),
Al-Maraghi berkata pengumpat dan pencaci ini menyangkakan harta yang ada pada mereka akan dapat menjamin kekal di dunia dalam kesenangan (sehingga tiada kesempatan berfikir tentang perkara selepas kematian) dan memberi keselamatan (menjaganya selamanya) daripada kematian (kerana terlalu asyik mengumpulkan harta dan kekayaan). Sehingga dia beramal seumpama akan hidup kekal buat selamanya tanpa mengambil kira kehidupan lain yang akan menerima seksaan terhadap perbuatan buruk mereka.
Setelah Allah swt mengancam orang sebegini dengan ancaman seksaan yang keras Dia mengakhirkan surah ini dengan menjelaskan seksaan yang telah disediakan untuk mereka.
4. sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam (neraka) Huthamah. Larangan dan tegasan ini datang daripada Allah swt kerana perkara yang sebenarnya tidak seperti yang mereka sangkakan. Bahkan si pengumpulnya akan dicampakkan ke dalam api neraka yang melahap segala sesuatu yang dilemparkan ke dalamnya iaitu neraka Huthamah yang akan membakarnya.
Hamka berkata, ‘Pekerjaan mengumpulkan harta benda yang disangkanya itu akan dapat memelihara dirinya dari sakit, tua, mati atau pun azab seksa neraka tidaklah benar, bahkan ia akan dicampakkan ke dalam Huthamah.’
Ini kerana dia bukan orang yang boleh dihargai. Dia mengumpulkan dan menghitung harta, namun dia mencela dan menghina dan memburukkan orang lain, mengumpat dan mengeji. Balasan kepadanya neraka dan nama lain baginya Hutamah.
5 -7. Dan tahukah kamu (Wahai Muhammad) apakah (neraka) Huthamah itu? (iaitu) api (azab Allah yang disediakan) Allah yang dinyalakan, yang (membakar sekujur badan hingga menembusi) sampai ke hati.
Seterusnya Allah membuat penegasan dengan mengemukakan kepada manusia keadaan sebenar api neraka. Ia adalah api yang terus menyala dengan perintah Allah swt dan tidak sesaat bahkan kurang dari itu ia akan padam.
Sayid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata, ‘Satu gambaran yang mengerikan bagaimana api itu membakar hati yang menjadi sumber melahirkan umpat keji, persendaan, sombong dan takbur. Untuk menyempurnakan gambaran keazaban manusia yang terbuang itu, api neraka ditutupkan ke atasnya.
Hati disebutkan secara khusus memandangkan hati adalah tempat bagi aqidah yang menyeleweng, niat yang jahat, akhlak yang keji (seperti ego) dan punca bagi segala amalan buruk.
8-9. Sesungguhnya api itu ditutup (sangat) rapat atas (diri) mereka, (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.(sehingga mereka tidak dapat keluar daripadanya).
Al-Mawardi menyebut lima pendapat:
i. Dihukum dengan diikat pada kayu yang memanjang (pendapat Ibn Mas'ud).
ii. Diazab padanya dengan palang kayu yang tajam (pendapat Qatadah).
iii. Tiang yang memanjang dibelenggu pada leher mereka (pendapat Ibn Abbas).
iv. Rantai pada kaki mereka (pendapat Abu Soleh).
v. Maknanya tempoh masa yang panjang (pendapat Abu Fatimah).
Al-Maraghi berkata api itu ditutupkan kepada mereka sehingga tidak dapat keluar dan tidak mampu untuk keluar. Setiap kali mereka ingin keluar mereka dikembalikan semula ke dalamnya (api neraka). Tidak ada pintu yang dibukakan kepada mereka, tidak pula dimasukkan roh kepada mereka. Ini menggambarkan betapa kuatnya penutupan api itu kepada mereka, di samping menambahkan kehangatan api itu sehingga hati mereka putus asa untuk melepaskan diri daripada seksaan tersebut.
Muqatil berkata pintu-pintu neraka ditutup rapat terhadap mereka. Ia diperkuatkan dengan pasak-pasak besi. Pintu tersebut tidak akan dibuka hatta angin pun tidak dapat memasukinya. Tiada siapa yang dapat menyelamatkannya, diikat dan ditambat pada tiang-tiang yang panjang seperti binatang. FirmanNya diperkukuhkan lagi “Mereka ditimpakan (balasan azab seksa) neraka (jahanam) yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya) (Surah Al Balad ayat 20). FirmanNya lagi “Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan kepada mereka, ‘Rasalah kamu azab seksa Yang membakar!’"(Surah Al Hajj ayat:22).
Moga kita terpelihara dari sifat keji ini...
Usaha mengkumpulkan harta untuk dibanggakan, dipamerkan, dihitung atau dijadikan sebagai penjaga bagi kesusahan suatu masa akan datang tanpa pada masa yang sama menghina mengumpat dan mengeji orang yang dalam kesusahan atau tidak mempunyai harta sebanyak yang kita miliki hatta tidak pula memperbanyakkan sedekah atau infaqkan harta di jalan Allah swt. Dikhuatiri usaha pengumpulan harta itu usaha sia-sia kerana mendekatkan diri atau terjebak pada sifat yang dikeji oleh agama, akal dan perasaan seperti bakhil, peloba, tamak dan kikir.
Dikhuatiri keasyikan dan kerakusan mengumpul harta ini menyelewengkan diri kita daripada mengingati Allah swt kerana taksub bahawa harta yang dimiliki mampu menjamin dan boleh memelihara diri dalam kesenangan dan kenikmatan dunia hingga lupakan tujuan kehidupan adalah akhirat dan kembali padaNya jua.
Hingga kita lupa bahawa selain berusaha di jalan yang benar hidup kita perlu bertawakkal dan redha kepada Ketentuan Allah swt bukannya kebergantungan pada harta dimiliki. Justeru kita kufur akan nikmat kurniaanNya kepada kita Nauzubillah..
Wallahu’alam.
Penghargaan Dr. Zulkifli Mohamad Albakri merujuk Tafsir Al-Munir Juz ‘Amma.Dr.Wahbah al-Zuhaily dan blogger lain
No comments:
Post a Comment