Pages

Kelopak mawar

Monday, August 26, 2013

Wah.. Surah AlFiil

 
 
Surah al-Fiil  disusun sebagai surah ke-105 dalam Al-Quran. Ia adalah surah Makkiyah yang terdiri dari 5 ayat. Ia menceritakan peristiwa  Tahun Gajah, iaitu tahun Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan.

Nama surah ini bersempena perkataan dari ayat pertama; “Tidakkah kamu tahu bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera bergajah.”

Peristiwa bergajah ini sangat masyhur dalam kehidupan penduduk Semenanjung Tanah Arab yang berlaku dalam tahun kelahiran Rasulullah saw (570 Masehi, abad ke 6).
Pada masa itu pemerintahan di Hijaz berpusat di kota Makkah terletak di tangan Abdul Muttalib(datuk Nabi saw). Pemerintahan di Yaman pula diterajui oleh Abrahah bin al-Sabbah al-Asyram, panglima perang berbangsa Nasrani dari Kerajaan Habsyi.

Abrahah telah membina sebuah gereja di Sana’a, Yaman atas nama Seri Maharaja Habsyah(al-Qulais). Gereja ini dihias cantik dari peralatan yang indah dan menarik tiada tandingannya pada masa itu supaya perhatian orang Arab dan penduduk di Yaman sendiri dari Baitul-Haram di Makkah beralih ke gereja tersebut.
Abrahah menulis kepada Najasyi, Raja Habsyah dengan memberitahu bahawa dia telah membina sebuah gereja yang cantik, belum pernah dibina oleh orang lain. Tujuannya adalah mahu memalingkan orang Arab daripada pergi beribadat di Kaabah, Makkah kepada melawat ke gereja al-Qulais.
Setelah Kaabah didirikan oleh Nabi Ibrahim, Kaabah menjadi tempat ibadat. Kemudian dalam beberapa tempoh yang panjang, orang Arab mula menyembah berhala. Walaupun mereka menyembah berhala, tetapi mereka tetap memuji dan memuja Kaabah. Mereka menunaikan haji pada tiap-tiap tahun, dan ibadat haji merupakan ibadat yang telah dilakukan sebelum kedatangan Islam, kemudian dinyatakan oleh Islam dan diperbetulkan mengikut syariat Allah.
Kaum Arab tidak berganjak dan masih tetap mengunjungi Kaabah kerana bangga mereka adalah dari zuriat Ibrahim dan Ismail yang membina rumah suci itu. Mereka yakin bahawa kepercayaan mereka adalah lebih baik dari kepercayaan Ahlil Kitab yang berada disekeliling mereka. Orang Arab melihat kaum Ahlil Kitab ini dilanda kucar-kacir dan keruntuhan.

Abrahah telah membuat keputusan dan mengisytiharkan untuk meruntuhkan Ka’bah supaya tumpuan orang Arab tidak lagi kepadanya. Beliau telah memimpin angkatan tentera yang ramai yang disertai dengan gajah-gajah. Ada riwayat menyatakan beribu-ribu jumlahnya. Ada barisan berkuda berperisai, ada berkenderaan unta dengan senjata tombak, kapak dan busur. Sebahagian besar daripadanya adalah barisan bergajah (ada meriwayatkan 9 atau 13 ekor) termasuk Abrahah menunggangi gajah. 60 000 orang tentera berjalan dibelakangnya. Mereka menuju serentak ke Hijaz.

Kemaraan mereka telah sampai ke pengetahuan orang Arab dimerata tempat termasuk di Yaman. Seorang pembesar dari kaum bangsawan dan raja-raja Yaman bernama Zu Nafar telah bangkit dan menyeru kaumnya dan orang Arab lainnya bangun menentang Abrahah demi mempertahankan Kaabah. Seruan ini mendapat sambutan tetapi telah kalah dan menjadi tawanan Abrahah.

Nufayl ibn Habib al-Khath’ami juga bangkit memimpin dua kabilah Arab(Banu Khath’ami dan Banu Himyar) menentang Abrahah. Mereka juga kalah dan ditawan oleh Abrahah. Nufayl telah bersetuju menjadi pemandu jalan kepada Abrahah dalam perjalanannya ke negeri Arab itu.

Apabila angkatan Abrahah lalu di Ta’if, beberapa orang dari suku Tahaqif menemui Abrahah mengatakan Ka’bah tiada di situ tetapi di Makkah supaya Abrahah tidak mengganggu rumah suci mereka yang dibina untuk berhala al-Laata. Mereka telah menghantar penunjuk jalan bersama Abrahah.

Setelah sampai di Mughammas yang terletak di antara Ta’if dan Makkah, Abrahah telah menghantar seorang panglimanya ke Makkah. Panglima itu telah merampas dan membawa kehadapannya binatang ternak dan lain-lain kepunyaan kaum Quraisy di Tihamah termasuk 200 ekor unta milik Abdul Muttalib ibn Hasyim. Suku-suku Quraisy, Kinanah dan Huzayl dan penduduknya di Tanah Haram cuba melawan tetapi membatalkan niat mereka kerana tidak berupaya melawan tentera Abrahah.

Kemudian Abrahah menghantar utusannya ke Makkah untuk menemui ketua negeri itu supaya menyatakan kedatangannya bukanlah untuk memerangi penduduk Makkah, tetapi untuk merobohkan Ka’bah sahaja. Jika mereka tidak ingin berperang, hendaklah ketua mereka datang mengadap Abrahah.

Abdul Muttalib berkata kepada perutusan itu; “ Demi Allah, kami tidak mahu memeranginya. Kami tidak mempunyai kekuatan untuk berperang. Ka’bah ini ialah rumah Allah dan rumah kekasihNya Ibrahim as. Oleh itu, jika Allah mempertahankan rumah ini, maka itu memang rumahNya dan Tanah HaramNya, dan jika Allah membiarkanya untuk diroboh Abrahah, maka kami tidak punya kekuatan untuk mempertahankannya.” Lalu utusan itu keluar bersama Abdul Muttalib untuk menemui Abrahah.

Kata Ibn Ishaq, Abdul Muttalib adalah seorang yang sangat tampan, cantik dan hebat. Oleh itu sebaik sahaja Abrahah melihatnya, ia terus menyambutnya dengan penuh hormat. Tetapi oleh kerana beliau tidak suka dilihat oleh orang Habsyah duduk bersama Abdul Muttalib di atas singgahsananya, lalu ia turun dan duduk di atas hamparan, kemudian mempersilakan Abdul Muttalib duduk di sampingnya. Beliau berkata kepada jurubahasanya; “ Awak tanya dia, apakah maksud kedatangannya?”

Jawab Abdul Muttalib; “ Maksud kedatangan saya ialah untuk meminta tuan gabenor memulangkan kembali 200 ekor unta yang telah dirampasnya.”

Jurubahasa pun menyampaikan kepada Abrahah apa yang dinyatakan oleh Abdul Muttalib. Abrahah membalas; “ Katakan kepadanya, Beta mulanya amat memandang tinggi kepada awak, kemudian sekarang beta memandang rendah kepada awak apabila awak menyatakan maksud kedatangan awak untuk mengadap beta. Adakah wajar awak datang mengadap beta kerana hendak berunding dengan beta untuk meminta balik 200 ekor unta kepunyaan awak yang dirampas oleh beta itu, dan awak langsung tidak mahu berunding dengan beta tentang nasib rumah Ka’bah yang menjadi pegangan agama awak dan agama nenek moyang awak, sedangkan maksud kedatangan beta ialah untuk merobohkannya?”

Jawab Abdul Muttalib; “Saya ini hanya tuan punya unta itu sahaja, sedangkan rumah Kaabah ini ada tuan punyanya yang akan mempertahankannya.”

Sampuk Abrahah; “Ia tidak akan dapat menahani beta.”

Jawab Abdul Muttalib; “Tuan bebas berbuat apa yang tuan suka.” Lalu Abrahah pun memulangkan unta-untanya.

Abdul Muttalib pulang mendapatkan kaum Quraisy dan menceritakan kepada mereka apa yang telah berlaku. Ia menyuruh mereka keluar dari Kota Makkah dan berlindung di celah bukit, kemudian beliau menuju ke Kaabah dan memegang gelang pintunya, berdiri bersama sekumpulan orang Quraisy berdo’a kepada Allah dan memohon pertolongan-Nya.

Ada riwayat menceritakan bahawa Abdul Muttalib telah berseloka:

Tuhanku! HambaMu tiada kuasa
Kecuali mempertahankan rumahnya
Kerana itu, pertahankanlah rumahMu
Salib dan kekuatan mereka
Tidak akan dapat mengalahkanMu
Andainya Engkau hendak membiarkan mereka
Meruntuhkan kiblat kami
Maka urusan itu terserah kepadaMu


Tentera bergajah mula menuju ke Makkah untuk meruntuhkan Kaabah. Sebelum sampai, tiba-tiba gajah terduduk dan tidak mahu meneruskan perjalanan. Askar-askar Abrahah cuba memaksa gajah bangkit dan menghala ke Kaabah tetapi gagal. Allah swt telah menahan gajah itu dari menceroboh Makkah. Allah swt telah melepaskan pasukan burung yang melontar ke arah mereka anak batu
yang dibakar hangus dan membinasakan mereka seperti dedaun kering yang reput dan seperti pohon-pohon kayu dimakan ulat. Apabila jasad mereka terkena batu, tiba-tiba daging, kulit dan tulang mereka menjadi menggelupas, reput, gugur dan luruh seperti pohon-pohon yang gugur. Inilah dahsyatnya hukuman Allah swt kepada "ashabul fil", dan mengikut riwayat gajah selamat kerana dia tidak mahu menyerang Kaabah. Yang tidak selamatnya adalah manusia yang mempunyai perancangan jahat untuk menyerang Baitullah Haram.Abrahah turut menderita parah. Ia dibawa beserta dengan tenteranya keluar dari Makkah. Jari jemarinya gugur sebatang demi sebatang hingga sampai ke San’aa ibu kota Yaman. Beliau tidak mati sehingga dadanya berlubang menampakkan jantungnya.

Kelihatan kemenangan seolah dipihak kaum Quraisy walaupun tiada tindakbalas daripada mereka. Segenap penduduk Kota Makkah keluar dari tempat persembunyian dan kembali semula ke rumah masing-masing.

Setelah Allah swt mempertahankan Makkah daripada ancaman raja Habsyah, semua masyarakat Arab mula menghormati orang Quraisy dan berkata; ‘Mereka adalah orang yang dikasihi oleh Allah. Allah berperang untuk mereka dan mereka diselamatkan daripada ancaman musuh. Itu adalah ni’mat Allah yang terbesar yang dikurniakan kepada mereka.'

Surah ini diwahyukan kepada Rasulullah saw sesudah turunnya surah al-Kafirun
sebagai mukjizat yang sebenar dari Allah swt. Merujuk kepada perbincangan surah al-Kafirun, orang-orang Quraisy memikirkan bagaimana untuk menyekat atau memberhentikan dakwah Nabi saw.

Maka Allah swt menurunkan surah ini untuk memperingatkan orang Quraisy terhadap pertolongan Allah swt dan mempertikaikan sikap degil mereka terhadap ajaran Rasulullah saw. Walaupun penyerangan tentera bergajah ini tidak dilihat oleh Baginda saw dan para sahabatnya tetapi telah disaksikan oleh orang Quraisy di kala itu.

Terjemahan ayat:

Ayat 1:
“Tidakkah engkau lihat bagaimana Tuhanmu bertindak terhadap angkatan tentera bergajah?”
Menurut al-Qurtubi, perkataan تَرَ bermakna kamu melihat. Siapa yang melihat? Turunnya ayat ini semasa Nabi saw berumur 40 tahun. Ini bermakna, orang yang pernah melihat kejadian ini telah pun berusia 50 tahun ke atas di zaman Nabi saw.

Ayat ini ingin menunjukkan kekaguman terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah swt. dan peringatan buat orang Quraisy yang pernah melihat sendiri kejadian ini bahawa Allah swt telah menolong mereka dari tentera bergajah. Sepatutnya mereka segera membalas dengan beriman kepada Allah swt yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Ayat 2:
“Tidakkah Dia jadikan rancangan jahat mereka berada dalam kesesatan(gagal)?”
Perkataan كَيۡد bermaksud tipu daya yang dibuat oleh orang yang lemah untuk menghadapi Yang Maha Kuat dan Berkuasa. Ini bermakna walaupun pada pandangan manusia tentera Abrahah adalah gagah tidak terkalah, tetapi mereka adalah lemah pada pandangan Allah swt. Mudah bagi Allah swt menggagalkan rancangan atau tipu daya mereka.

Dengan pertanyaan ini, Allah swt ingin mengingatkan kaum Quraisy terhadap nikmatNya kepada mereka iaitu menjaga dan memelihara Kaabah ketika mereka tidak berdaya untuk menghadapi tentera bergajah itu. Dengan peringatan ini mereka merasa malu kerana perbuatan mereka mengingkari Allah swt dan mengurangkan rasa angkuh mereka terhadap Rasulullah saw. Begitu juga kejadian yang telah berlaku ke atas kaum sebelumnya. Seperti kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Luth dan kaum Nabi Musa telah dimusnahkan kerana keingkaran mereka terhadap Allah swt dan rasul-rasulNya. Kaum Bani Israeil pula terhina hingga sekarang kerana tidak bersyukur dengan kemuliaan yang Allah swtberikan dan angkuh dengan kekuatan mereka.

Ayat 3 – 5 :
“ Dan Dia telah melepaskan ke atas mereka burung-burung yang terbang berpasuk-pasukkan(3). Sambil melontarkan ke atas mereka batu-batu yang pejal(4). Lalu Dia menjadikan mereka (binasa) seperti daun-daun dimakan ulat(5).”

Perkataan
أَبَابِيلَ memberi makna kumpulan atau pasukan. Perkataan سِجِّيلٍ۬ memberi maksud batu yang berpalit dengan tanah. Perkataan عَصۡفٍ۬ pula bererti daun kayu yang kering. Seperti daun yang dimakan ulat adalah satu gambaran fizikal hancur berlubang tubuh badan akibat terkena batu yang dilontar oleh pasukan burung.

Ketiga-tiga ayat ini menceritakan bagaimana Allah swt menggagalkan rancangan jahat Abrahah dan tentera bergajah.
Kisah ini menekankan kekuatan akidah kerana keyakinan orang yang menegakkan agama Allah, tidak bimbang dan tidak takut dan bukannya seperti orang musyrikin Makkah seperti firman Allah swt bermaksud,

"Dan mereka (yang kafir) berkata; Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang). Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah Kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur)." (Surah Al-Qasas  ayat 57)

Seolah mereka menuturkan, "Kalau kita ikut Islam, kita akan diserang oleh kuasa besar dunia. Macam mana kita hendak lawan kerana kita tiada apa-apa. Oleh itu, jangan kita ikut Islam. Kita juga perlu ikut dunia lain, kehendak orang ramai, jika tidak dunia akan mengepung kita."

Percakapan ini biasa dituturkan oleh orang musyrikin pada zaman Rasulullah saw. Sesungguhnya orang Islam itu mesti yakin dan percaya kepada Allah swt, kepada kekuasaanNya dan kebesaranNya.

Peristiwa serangan bergajah ini juga telah dikisahkan oleh para ulama dalam kitab Tafsir, Hadis dan Sirah antaranya ialah Imam al-Qurtubi yang menyebut di dalam kitab tafsirnya. Disebut juga di dalam hadis sahih, ketika berlakunya fitnah dajjal, pada akhir zaman apabila dunia dalam kesempitan, orang-orang beriman dalam keadaan lemah, dajjal membawa seruannya mengajak manusia supaya mengakui dajjal Tuhan dan dia boleh memberi apa-apa sahaja yang diminta kepada sesiapa yang mengakui ketuhanannya dengan menggunakan sihir, perkara luar biasa yang diizinkan Allah swt kepada dajjal untuk menguji orang yang beriman, dan dajjal menyesatkan ramai manusia.

Dajjal boleh masuk ke semua negeri kecuali Makkah dan Madinah kerana dua tempat ini dipelihara oleh Allah swt. Walaupun tidak ada manusia yang sanggup memelihara dan mengawalnya, Allah swt mempunyai bala tentera yang ramai untuk mengawalnya sama ada tanah haram Makkah mahupun Madinah.

Orang kafir khususnya Yahudi mempunyai perancangan mahu menakluk tanah haram, kerana mereka juga mengaku tanah haram tanah yang mulia tempat para Nabi dan Rasul kepercayaan mereka. Mereka hendak merampas, tetapi Allah swt tidak mengizinkan. Jika tiada manusia yang menjaganya, akan ada tentera Allah yang memeliharanya.

Dalam surah al-Fil ini juga menunjukkan kebenaran kenabian. Kebenaran kenabian Muhammad saw, agama Islam dijaga dan Islam dijamin oleh Allah swt sehingga hari kiamat. Walaupun umat Islam hari ini lemah, dhaif dan tiada kuasa, ini adalah ujian daripada Allah swt. Ujian ini adalah supaya orang munafik merasa tiada harapan dan dia tidak bersama dengan barisan umat Islam lalu dia bersama saf kufur meninggalkan Islam kerana tidak ikhlas, tidak jujur, munafik dan berkepentingan diri sendiri.

Ayat ini menjadi ayat yang sangat penting, menjadi satu surah yang sangat mustahak, menguatkan akidah dan keyakinan kita kepada Allah Taala dan menjadi petanda hikmah yang besar. Allah swt menurunkan surah al-Fil di Makkah ketika Nabi saw ditekan, ditindas dan dianiaya dan juga untuk menguatkan keyakinan para sahabat bahawa lambat-laun mereka akan menang jua dengan pertolongan Allah swt. Apabila tiba pertolongan Allah swt, maka tiada siapa yang dapat menyekat. Allah Maha Berkuasa dan Maha Perkasa.


Pengajaran yang boleh diambil:

1. Melihat daripada latar belakang surah ini, orang Arab sendiri mempercayai dan yakin dengan kewujudan Allah swt walaupun di masa yang sama mereka menyembah berhala. Mereka yakin bahawa Allah swt akan mempertahankan Kaabah(rumah suci).

2. Dari kata Abdul Mutalib; “Saya ini hanya tuan punya unta-unta itu sahaja, sedangkan rumah Ka’bah ini ada tuan punyanya yang akan mempertahankannya.” Ulama tauhid mengambil pengajaran bahawa orang Arab sangat memahami perkataan ‘Rabb’. Tetapi mereka telah menolak ‘Ilah’. Oleh itu, kalimah syahadah tidak diterima oleh orang Arab kerana mempunyai perkataan ‘Ilah’.
Surah ini boleh digunakan untuk menakutkan atau melumpuhkan musuh. Bacalah di dalam peperangan sedang berlaku, ketika bertempur dengan musuh atau ketika dalam ketakutan. Insyaa Allah terpelihara dari kejahatan mereka.

Imam Al-Ghazali ra dan para wali berkata, “Sesiapa yang membaca Surah Al-Insyirah selepas Fatihah dalam rakaat pertama solat sunat subuh dan Surah Al-Fiil dalam rakaat ke dua, Insyaa Allah tidak akan dimudharatkan oleh musuhnya dan tiada jalan bagi musuhnya untuk mengkhianatinya.

3. Peristiwa tentera bergajah ini sangat termasyhur. Apakah sebenarnya yang hendak Allah swt ketengahkan? Kejadian ini tidak berlaku secara semulajadi. Bukan juga Allah swt membantu mereka bermakna pihak Quraisy adalah benar. Allah swt mematikan tentera bergajah adalah kerana takdirNya. Inilah perancangan Allah swt untuk kejadian yang lebih besar kemudiannya.

4. Peringatan Allah swt melalui peristiwa ini dengan persoalan yang menunjukkan kehairanan dan ganjil adalah merupakan sebahagian dari kecaman terhadap orang Quraisy dan orang Arab yang lainnya kerana sikap mereka yang degil untuk beriman kepada Allah swt.

5. Musuh Islam yang tamak dan haloba sentiasa mengintai tempat suci Islam. Namun Allah swt sendiri telah memelihara rumah suciNya termasuklah Madinatul-Rasul daripada rancangan jahat.

6. Muktahir ini banyak bencana alam telah berlaku seperti tsunami di Acheh dan di Jepun. Ramai yang mempersoalkan; “Kamu tidak tengok ke apa yang berlaku di Acheh?” atau “Kamu tidak tengok ke apa yang berlaku di Jepun?” Sepatutnya persoalan berbunyi; “Kamu tidak tengok ke apa Allah swt telah buat ke atas orang di Acheh?” atau “Kamu tidak tengok ke apa Allah swt telah buat terhadap orang Jepun?”Bencana ini merupakan satu peringatan dari Allah swt.

Oleh itu, orang Quraisy sepatutnya merasai ada kuasa Allah swt dalam kejadian tentera bergajah ini.

7. Sudah menjadi sikap manusia, jika ada sesuatu kejadian yang berlaku beserta dengan sebab musababnya, maka mereka menganggap perkara tersebut adalah lumrah alam. Contohnya, rumah terbakar; sebab musabab kebakaran adalah lintar pintas atau api pelita. Tidak terlintas di dalam fikiran mereka bahawa disebalik kebakaran itu ada kuasa yang lebih besar yang mengurus segalanya mengikut kehendakNya.

Manakala jika ada sesuatu kejadian yang berlaku diluar sebab musabab, maka mereka akan mengaitkan kejadian tersebut dengan kuasa luar seperti sihir atau karamah. Contohnya, melihat seseorang yang boleh berjalan di atas air. Sudah tentu mengaitkan kejadian itu dengan benda yang ghaib atau sesuatu yang karamah.

Tidak terlintaskah di fikiran bahawa segala sesuatu yang berlaku itu hanyalah boleh berlaku dengan keizinan Allah swt dan segala kekuatan adalah pemberianNya jua ?
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala Puji Bagi Allah Tuhan sekalian alam yang PenguasaanNya meliputi segala alam yang zahir, ghaib dan juga alam-alam yang tidak pernah dikenali manusia. Di atas RahmatNya juga, kita muslimin tidak teraba-raba mencari persoalan Siapakah Dia yang patut kita sembah dan berterima kasih kerana kita telah pun dianugerahkanNya dengan Islam yang membawa kita mengenal Pencipta kita.
Dengan RahmatNya juga kita dianugerahkan dengan Al-Quran sebagai panduan hidup dan penggerak kemajuan bagi setiap Muslim yang benar-benar beriman. Al Quran, wahyu yang diturunkan Allah melalui perantaraan Ruhul Quddus kepada Nabi Muhammad saw. Rahmatan lil 'Alamin, membentuk peribadi Rasullullah saw menjadi contoh manusia teragung yang seharusnya dijadikan ikutan semua yang bergelar muslim.

Sebelum Keputeraan Baginda pada 12 Rabiulawal, tahun 570 masihi menyaksikan satu peristiwa bersejarah terpahat dalam lipatan ingatan umat Islam di seluruh dunia. Sejarah yang menyaksikan ketamakan, kebencian dan kekufuran yang menguasai jiwa seorang Gabenor bongkak Dari Yaman. Abrahah Ashram, Gabenor yang dimaksudkan mengumpulkan segala kekuatan ketenteraan yang ada pada kerajaannya, mengorak langkah menghala satu tujuan tekad untuk menyerang Mekah dan menghancurkan Kaabah, rumah Allah yang menjadi Kiblat bagi umat Islam sehingga kiamat.

Dilengkapi dengan kenderaan perang antara yang paling digeruni pada zaman tersebut, gajah; menjadi petanda yang diingati oleh penduduk Mekah zaman tersebut lalu dipahatkan ke dalam lipatan sejarah di mana tahun berlakunya serangan tersebut dikenali juga sebagai Tahun Gajah. Terdorong oleh hasutan Iblis dan kekecewaan diatas "Kaabah' buatannya sendiri yang tidak dapat menarik tumpuan pedagang dan saudagar ke daerahnya, Abrahah dengan angkuh mencabar Allah swt, mengimpikan kehancuran Baitullah, binaan yang dibuat atas perintah wahyu Allah swt kepada Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as.

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya) , lagi Maha Besar (kekuasaanNya) (Al-Baqarah ayat 255)

Allah, hanya Dia mencukupi. Allah hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Allah, jika Dia mahukan, tentulah Abrahah Ashram ini mati serta dihancurkan sebaik melangkah keluar dari Yaman. Dan Allah, jika Dia mahukan tentulah seluruh alam yang terkandung makhluk-makhlukNya yang kufur kepadaNya ini Dia Binasakan sama sekali.

Alam langit nyaris pecah dari sebelah atasnya (kerana ngeri dan takutnya kepada kemurkaan Allah terhadap penduduk bumi yang lupakan kebesaran Allah sehingga menyeleweng dari jalan yang benar); dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Asy - Syuura ayat 5)

Tetapi, Dia Yang Maha Mengetahui mengenai segala tindakanNya. Ditangguhkan hukumanNya di dunia keatas Abrahah dan tentera-tenteranya itu merupakan satu rahmat, peringatan dan pengajaran bagi Muslimin supaya diambil akan iktibar. Sebaik Abrahah menghampiri kota Mekah, Allah Yang Maha Kuasa mengirimkan tenteraNya untuk menghancurkan gerombolan tentera bergajah ini. Tentera yang dikirimkan Allah swt merupakan burung-burung yang membawa bersama mereka ketul-ketul batu dari 'tanah liat keras yang dibakar' sebagai senjata untuk dihumbankan ke atas angkatan bergajah tersebut. Langit pun mula diselubungi bayangan azab Allah yang sedang menanti Abrahah dan tentera-tenteranya.

Saat perintah Allah swt dilaksanakan, ianya tidak diawalkan mahupun dilambatkan walau sedetik, burung-burung Ababil tersebut menghujankan tentera Abrahah dengan batu-batu dari 'tanah liat keras yang dibakar', menimpakan ke atas tentera-tentera Abrahah lalu mereka, termasuk Abrahah dihinggapi satu wabak penyakit akibat dari serangan tersebut yang kemudiannya mengakibatkan tubuh badan mereka seakan-akan kelihatan seperti daun-daun kering yang dimakan ulat. Mereka semua kemudiannya hancur sama sekali tanpa ada satu jiwa pun yang terselamat. Begitulah gambaran bagaimana Abrahah serta tentera-tenteranya dimusnahkan Allah dan gambaran ini disebut jelas oleh Allah dalam Surah Al - Fiil ayat satu hingga 5.
Amat malang sekali perkara yang tersirat yang sepatutnya dikaji dan diambil perhatian ini juga sentiasa diabaikan. Pengajaran-pengajar an yang telah diabaikan berabad lamanya ini kini sudah pun mula memakan diri umat Islam bila empayar-empayar Islam yang kuat satu ketika dahulu mula mengalami kejatuhan dan kemusnahan. Bila ayat-ayat Al-Quran serta pengajaran yang terdapat didalamnya diperlekehkan, sedikit demi sedikit kekuatan ummah semakin meluntur dan kemudian Allah swt. mencabut rasa takut dan gerun dalam hati musuh-musuh Islam. Hari demi hari mereka semakin berani memperlekehkan Islam dan umatnya. Ini semua adalah hasil perbuatan dan sikap umat Islam itu sendiri.

Bagi saintis muslim seluruh dunia, garispanduan mengenai segalanya yang ingin dicari kepastiannya ada terdapat dalam Al-Quran. Jadikan Al-Quran sebagai garis panduan supaya tidak tersasar dan membuang masa mengkaji perkara yang sudah jelas tidak langsung bertepatan dengan syariat dan apa yang dinyatakan Allah swt melalui Rasulullah saw.

Apakah perlu seluruh dunia Islam dihujani bom-bom kuffar barulah ummah akan kembali kepada ajaran sebenar Islam. Begitu juga dengan keadaan umat Islam di Malaysia kini. Kita seharusnya sedar dengan berbagai ancaman terhadap akidah dan pegangan iman kita selama ini. Kemunculan golongan munafik disebalik topeng Islam progresif, liberal, plural dan lebih ‘sederhana’ dari Islam asal yang tidak langsung berlandaskan kepada Al-Quran secara keseluruhannya semakin menjadi-jadi, ditambah pula dengan bantuan kewangan, sokongan dan moral dari pihak-pihak luar yang hanya ingin mengambil kesempatan.

Al-Quran bukan untuk diambil separuh atau mana-mana ayat yang disukai diikuti dan mana-mana ayat yang tidak disukai dan menepati citarasa dan cita-cita mereka ditinggalkan. Al-Quran perlu dihayati dan diamalkan keseluruhannya. Syarat bagi umat Islam untuk kembali menguasai dunia hanyalah dengan kembali bepegang kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw dan dari sinilah penguasaan ilmu sains dan teknologi hebat akan bermula. Sama seperti yang berlaku di zaman Rasulullah saw yang mula membentuk akhlak para sahabatnya menjadi mereka yang beriman kepada Allah swt dan kitabNya sepenuh hati. Dari sini para sahabat Rasulullah saw. ini mula mengorak langkah mengembangkan Islam dengan menguasai dunia dan seterusnya generasi yang mewarisi kemakmuran dan kekuatan ekonomi ini mula menguasai teknologi dan ilmu-ilmu yang kemudiannya melonjakkan tamadun Islam jauh kehadapan.

Dan pada waktu zaman kegemilangan inilah, Salahuddin Al-Ayyubi kembali menguasai BaitulMaqdis pada tahun 1187 masihi selepas BaitulMaqdis ditawan oleh tentera-tentera salib pada tahun 1099. Hampir seratus tahun lamanya masa diambil untuk menguasai semula Tanah Suci ketiga umat Islam ini selepas penguasaan keatasnya terlepas ke tangan tentera salib biarpun beberapa ratus tahun sebelum itu Saidina Umar Al-Khattab berjaya menakluknya pada tahun 638 masihi dan menguasainya selama hampir 500 tahun.

Perkara yang sama juga perlu direnungkan dan diambil langkah oleh umat Islam kini. Untuk kembali menguasai dunia, ianya mengambil masa dan pengorbanan, jika tidak dimulakan langkah dan usaha tersebut mulai sekarang, maka kejayaan yang diimpikan itu pasti akan terlontar lebih jauh kebelakang.

Jadi, kembalilah kepada Al-Quran, kerana disanalah bermula pengajaran dan kemajuan. Kembalilah kepada Al-Quran kerana disitulah bermulanya keamanan dan kembalilah kepada Al-Quran kerana disanalah kepastian masa hadapan.

1 comment:

  1. Terima kasih atas ilmu yang dikongsi..rahmat Allah ke atas kamu.

    ReplyDelete